Friday 12 September 2014

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK/GDP) Malaysia meningkat 6.4% untuk suku ke 2.


KUALA LUMPUR 15 Ogos - Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua 2014 mencatat pertumbuhan 6.4 peratus berbanding 6.2 peratus pada suku pertama tahun ini.
Pencapaian suku kedua itu dijangka mampu melepasi sasaran 5.5 peratus tahun ini setelah KDNK separuh pertama mengukuh kepada 6.3 peratus berbanding separuh pertama 2013 sebanyak 4.4 peratus.



Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, prestasi positif itu didorong oleh peningkatan eksport yang baik dan permintaan kukuh pada peringkat domestik terutama oleh sektor swasta.

Beliau berkata, aktiviti daripada sektor swasta dijangka terus menjadi pemacu bagi pertumbuhan ekonomi dan mendapat manfaat daripada pemulihan ekonomi di peringkat global terutama Amerika Syarikat (AS), Jepun dan negara-negara rantau Asia.

"Berdasarkan asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi negara meningkat sebanyak 1.8 peratus berbanding peningkatan suku pertama 2014 sebanyak 0.8 peratus," katanya pada sidang akhbar Perkembangan Ekonomi dan Kewangan di Malaysia pada suku kedua 2014 di sini hari ini.

KDNK pada harga semasa berjumlah RM262.8 bilion pada suku pertama dengan peningkatan sebanyak RM25.3 bilion berbanding suku kedua 2013. Pada harga malar 2005, KDNK mencatatkan nilai RM205.6 bilion.

Jelas Zeti, pelaburan swasta mencatat pertumbuhan dua angka sebanyak 12.1 peratus melibatkan pelaburan dalam sektor perkhidmatan dan perkilangan manakala penggunaan swasta meningkat 6.5 peratus disokong oleh guna tenaga yang stabil dan kenaikan upah yang berterusan.

Namun, katanya, perbelanjaan sektor awam merosot sebanyak 1.3 peratus mencerminkan perbelanjaan kerajaan yang lebih rendah untuk emolumen serta bekalan dan perkhidmatan manakala pelaburan awam pula juga merosot sebanyak 3.3 peratus disebabkan oleh perbelanjaan yang lebih rendah untuk aset tetap oleh Kerajaan Persekutuan dan perusahaan awam.

Beliau berkata, lebihan dagangan mencatat RM18.4 bilion pada suku kedua tahun ini manakala eksport kasar meningkat kepada 14.2 peratus. Dalam masa sama, import kasar juga meningkat pada kadar 8.6 peratus.

"Bagi ekonomi Malaysia, pertumbuhan eksport dijangka menjadi perlahan sedikit pada separuh kedua 2014, sebahagiannya mencerminkan kesan asas yang nyata dalam tempoh sama pada 2013," ujar beliau.

Menurutnya, berdasarkan perubahan tahunan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP), kadar inflasi pada suku kedua mencatat penurunan 0,1 peratus berbanding suku pertama iaitu 3.4 peratus disebabkan oleh inflasi yang lebih rendah dalam kategori makanan dan minuman bukan alkohol serta kategori perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api.

"Bagaimanapun, dijangkakan kadar inflasi meningkat sedikit tahun depan ekoran pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus mulai 1 April. Tetapi, kadar ini akan kembali kekal stabil ke angka purata jangka panjang tiga peratus pada 2016," jelas beliau.


Artikel Penuh: Sumber Utusan Melayu


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...