Saturday 3 November 2018

Ulasan Buku - Origin (Asal-usul) : Dan Brown


Seorang programmer komputer yang genius bakal membuat satu pengumuman mengejutkan seluruh dunia. 

Kenapa ia pengumuman mengejutkan?

Kerana dia akan mengumumkan penemuan saintifik yang bakal merubah persepsi semua orang terhadap agama. Semua orang akan sedar bahawa agama adalah rekaan fantasi manusia semata-mata manakala hakikat sebenar adalah ajaran sains yang menunjukkan kepada semua manusia itu fakta yang sama yang tiada perselisihan mengenainya.

Sebelum membuat pengumuman yang dipancar ke seluruh dunia, programmer yang genius itu memutuskan untuk mendedahkan kepada tiga orang agamawan iaitu seorang Bishop Kristian, Rabbi Yahudi dan Ulama Islam. 

Hasilnya ia menyebabkan kerisauan yang amat sangat kepada ketiga-tiga agamawan tersebut. Maka apakah kandungan pengumuman yang hendak disampaikan oleh programmer komputer itu?

Pengulas disini tidaklah ingin mendedahkan sangat kandungan novel terbaru Dan Brown ini kerana itu akan menjadikannya anti-klimaks kepada para pembaca. 

Untuk mengetahui apa yang bakal diumumkan oleh programmer itu menjadi modal kepada novel untuk membuatkan para pembaca membacanya sehingga ke akhir. 

Sudah tentu pembaca tertanya-tanya apakah penemuan saintifik yang menyebabkan konsep agama menjadi tidak relevan lagi dan semua orang akan meninggalkan agama dan menjadi atheist.

Bagi yang biasa membaca buku Dan Brown, tentu sudah tahu beliau seorang penulis novel thriller yang fenomenal. Gubahan novel oleh beliau dibuat berdasarkan kajian yang mendalam terhadap tajuk-tajuk yang ingin disampaikan. 

Dalam novel kali ini pembaca didedahkan kepada berbagai teori saintifik berkenaan asal usul manusia, teknologi perkomputeran, teknologi artificial intelligent (kepandaian buatan), tempat-tempat bersejarah dan menarik di Sepanyol, berkenaan mazhab-mazhab agama Kristian khususnya di Sepanyol dan bagi perkara-perkara yang melibatkan seni binaan, lukisan, ukiran dan simbol. 

Sebenarnya banyak lagi yang ditawarkan oleh Dan Brown di dalam novel ini. Itulah yang antara faktor membuatkan beliau seorang penulis novel yang hebat.

Pada satu segi yang lain, novel Origin (asal usul) bermain dengan isu di sekitar persoalan "Dari mana kita datang, ke mana kita pergi?".

Ini adalah persoalan besar mengenai asal-usul manusia dan tujuan manusia itu wujud. Soalan ini cuba dijawab melalui agama dan sains. Sedikit sebanyak novel ini cuba menunjukkan bagaimana agama-agama menjawab persoalan ini dan kemudiannya dibandingkan dengan teori-teori sains seperti Darwin berkenaan evolusi.


Ahli sains barat mendakwa agama dicipta oleh manusia itu
sendiri berdasarkan fantasi wujudnya kuasa supernatural tertentu. 


Namun demikian, pemikiran berasaskan agama berkaitan isu ini lebih disentuh dari perspektif agama Kristian dan Yahudi. Walaupun ada watak seorang ulama Islam bertaraf Al-Alamah, pandangan dari agama Islam boleh dikatakan tidak disentuh langsung. 

Apabila mula membaca novel oleh Dan Brown ini, penulis tertanya-tanya apakah kandungan pengumuman itu dan adakah ia mewakili pandangan penulis novel itu sendiri. 

Dan disinilah "twist" oleh Dan Brown itu yang menunjukkan beliau seorang penulis thriller yang mahir. 

Pada pandangan pengulas, watak utama novel iaitu Professor Langdon mungkin mewakili pandangan sebenar Dan Brown. Selepas menyaksikan pendedahan yang dilakukan oleh programmer komputer yang genius, Professor Langdon sebenarnya mempunyai pandangannya sendiri. 

Pertembungan di antara agama dan sains ini adalah peperangan lama dan berterusan khususnya bagi agama Kristian. Kerana agama Kristian yang kita kenali sekarang ini adalah sejenis "organized religion".

Novel Dan Brown menyentuh isu Kristianiti dan Order Baru Dunia

Novel-novel Dan Brown sebelum ini sudah maklum ianya menyerang doktrin-doktrin di dalam agama Kristian. Ia menunjukkan agama Kristian di zaman moden sekarang adalah tercemar hasil infiltrasi satu pergerakan yang dipanggil Order Baru Dunia. 

Novel baru ini bolehlah dikatakan sebagai sambungan kepada serangan sebelum ini. 

Pengulas melihat persoalan utamanya ialah apakah takrifan tuhan itu? Bagaimana setiap agama itu mentakrifkan tuhan? Bagaimana pandangan seorang saintis barat pula mentakrifkannya?

Dan Brown adalah seorang penulis novel yang mengutarakan isu-isu seperti ini di dalam bentuk sebuah novel fiksyen.  Beliau mungkin mempunyai agenda tersendiri. 

Apa-apa pun sekiranya hendak mengetahui lebih lanjut silalah membaca sendiri novel dari Dan Brown ini. Namun demikian, pengulas mendapati pandangan Islam berkenaan isu ini tidak diperincikan walaupun ada watak orang Islam di dalamnya. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...