Tuesday 12 August 2014

Kisah Gambar Yang Dipertuan Agung pada duit kertas negara Malaysia.



Kisah ini adalah berdasarkan kajian seorang penulis buku yang membuat temuramah dengan seorang orang tua, bekas pelajar kepada seorang ulama, dalam usaha beliau untuk melengkapkan sebuah buku berkenaan sejarah Negeri Sembilan. 

Pada suatu malam Tuanku Abdul Rahman Ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad yang merupakan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang dilantik Empat Undang pada ketika itu bermimpi.

Dalam mimpi tersebut, baginda melihat Raja-raja Melayu memanggil diri baginda dengan panggilan "Manaf".

Dengan perasaan penuh tanda-tanya baginda kemudiannya bertanyakan perihal mimpi itu kepada seorang ulama di Negeri Sembilan ketika itu iaitu Maulana Maadah bin Layang. Beliau seorang ulama yang lahir hasil daripada Pengajian Darul Ulum, India.

Maulana Maadah memohon tempoh untuk mengkaji tafsir mimpi tersebut. Selesai mengkaji, Maulana Maadah pun mengkhabarkan kepada baginda Tuanku Abdul Rahman tafsiran mimpi tersebut iaitu;

1. Tuanku akan mendapat kedudukan yang tertinggi dan tiada yang lebih tinggi daripada Tuanku.

2. Tuanku akan dikenang sampai bila-bila

Kemudiannya apa yang ditafsirkan oleh Maulana Maadah bin Layang itu dizahirkan oleh Allah Taala dengan takdirNya, dimana;

1. Tuanku Abdul Rahman Ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad dilantik oleh Majlis Raja-raja Melayu menjadi Yang Dipertuan Agung Malaysia yang pertama.

2. Gambar baginda dicetak pada setiap wang kertas yang digunakan negara Malaysia.

Baginda Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad memerintah sebagai Yang Dipertuan Agung Malaysia yang pertama dari 31 Ogos 1957 sehingga 1 April 1960.


Tuanku Abdul Rahman (tengah) bersama Maulana Lebai Maadah (paling kiri bertarbus).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...