Saturday 20 September 2014

Kisah-kisah mistik Shamsiah Fakeh (Update dari Pak Cik)

Buku Memoir Shamsiah Fakeh.
Tetapi dalam buku ini tiada kisah-kisah mistik tersebut.
Saya menulis lagi kali ini. Mungkin author-author lain agak sibuk dan tidak dapat melakukan penulisan. Mereka meminta saya untuk menulis lagi. Saya berfikir selepas itu tentang apa yang hendak ditulis. Apa yang boleh saya berkongsi dengan tuan-tuan dan puan-puan sekalian untuk bersama-sama dimanfaatkan. 

Kerana, saya memegang satu prinsip, apa-jua yang diperkatakan dan disampai akan dipertanggungjawabkan. Sekiranya kita melakukan salah pasti kita akan terima akibatnya. Jika tidak kita terima di dunia, maka kita pasti terima di akhirat.

Oleh itu saya hanya mahukan kebaikan sahaja di dunia dan diakhirat. Saya tidaklah mahu membuat sesuatu yang tidak kena pada undang-undang dan syariat. Kedua-duanya mempunyai hukuman masing-masing.

Saya lihat orang-orang muda zaman ini terlalu gopoh dalam mengambil tindakan. Tidak memperdulikan sebab akibatnya. Tidak lama dahulu, saya telah mengajar sesuatu tantang sabab akibat ini kepada saorang perempuan muda. Keheranan saya kerana pada usia sebegitu belum tangguh kefahamannya mengenai sabab akibat. Pokoknya apa yang kita lakukan, haruslah kita cermati apakah akibatnya. Itulah yang telah menjadi sunnah ataupun fitrah yang terzahir pada batin dan zahir alam ciptaan Tuhan ini.

Baiklah, saya bukanlah hendak bersyarah panjang. Akan tetapi, saya ingin berkongsi pengalaman saya yang tidak seberapa ini. Pengalaman saya bertemu muka dengan saorang orang tua yang juga menjadi rakan sekolah seorang tokoh wanita yang agak terkenal juga. Beliau ialah rakan kepada Allahyarhamah Shamsiah Fakeh.

Saya tidaklah mahu bercerita lanjut mengenai siapa itu Shamsiah Fakeh. Mungkin pembaca sekalian sudah kenal ataupun sekiranya tidak kenal akan beliau silalah tuan-tuan dan puan-puan mencarinya dalam enjin carian Google. Selain Google, tuan-tuan dan puan-puan juga boleh membacanya daripada Wikipedia yang terkira sebagai satu sumber terbuka itu.

Kisah mengenai Shamsiah Fakeh ini menjadi buah mulut di kalangan orang-orang kampung kerana banyak kisah-kisah mistik dikaitkan dengan beliau. Kisah-kisah ini pada suatu ketika dahulu tersebar dengan meluas ataupun bolehlah saya menggunakan perkataan orang zaman sekarang ini iaitu "viral".

Kisah-kisah mistik 

Kisah-kisah yang didengar ini kebanyakkannya dari mulut ke mulut. Bukanlah saya melihatnya dengan mata kasar mahupun diceritakan sendiri oleh Shamsiah Fakeh kepada saya. Oleh itu, untuk dipercayai ataupun tidak terpulanglah kepada penilaian masing-masing. Saya sendiri bersifat tawaquf iaitu saya tidak membenarnya dengan yakin dan dalam masa yang sama tidak pula saya mengatakannya tidak benar. 

Antara yang tersebar pada ketika itu ialah Shamsiah Fakeh ini mempunyai ilmu ghaib. Beliau diceritakan mempunyai kebolehan untuk mengghaibkan diri beliau dan kebolehan ini beliau gunapakai bagi melarikan diri daripada buruan mata-mata gelap dan pihak tentera yang memburu beliau yang ketika itu masih menjadi anggota Partai Komunis Malaya.

Diceritakan pada satu ketika, para mata-mata gelap telah berjaya mengepung rumah beliau dengan jumlah orang yang mencukupi. Seorang anggota mata gelap telah mendengar dari luar rumah berkenaan suara anak kecil yang menangis dan seorang perempuan yang sedang mendodoikan secara membuaikan anak itu dalam buaian. Setelah yakin akan keberadaan perempuan itu di dalam rumah, semua anggota pun menyerbu masuk ke dalam rumah berkenaan. Alangkah terkejutnya anggota-anggota tu apabila mendapati tiada saorang pun dalam rumah itu. Anehnya mereka mendapati buaian itu masih lagi bergerak-gerak saolah-olah seseorang baru mengambil anaknya dari buaian.

Cerita seperti ini yang mengisahkan Shamsiah Fakeh meloloskan diri daripada tangkapan adalah banyak dan mula menjadikan beliau digeruni dan pada masa yang sama dikagumi oleh orang-orang kampung pada ketika itu.

Cerita dari mulut ke mulut juga melalui seorang saudaranya yang pernah terserempak dengan Shamsiah Fakeh di dalam hutan, menceritakan bahawa Shamsiah mengatakan kepadanya di dalam kitab Al-Quran Majid, iaitu satu chetakan yang digunakan pada zaman itu, terdapat ayat-ayat yang dimerahkan dakwatnya. Orang ini mendakwa Shamsiah mengatakan ayat-ayat itu mempunyai keistimewaan tertentu jika orang itu tahu.

Jika tuan-tuan dan puan-puan pernah membaca berkenaan sejarah hidup beliau. Sudah tentu maklum yang Shamsiah Fakeh ini akhirnya telah melarikan diri dan bersembunyi di China. Satu cerita yang diceritakan oleh seorang saudara saya dan cerita ini diceritakan pula oleh bapa saudaranya yang menjadi rakan satu kelas dengan Shamsiah Fakeh semasa di pengajian madarasah. Bapa saudaranya itu mendakwa Shamsiah Fakeh telah datang ke satu kenduri yang dihadirinya di kampung dan menghampirinya seolah-olah ingin berjumpa. Bapa saudaranya itu yang terkejut dengan kejadian itu membuat seperti tidak ada apa-apa yang berlaku kerana semua maklum yang Shamsiah Fakeh masih lagi di China.

Malang bagi Shamsiah Fakeh, walaupun besar jasanya kepada komunis pada ketika itu, dan setelah lama beliau menetap di China bertahun-tahun, negara China itu tidak sudi memberikan tahap kewarganegaraan kepada beliau. Akhirnya dengan jasabaik Perdana Menteri Dr Mahathir, beliau telah membawa pulang Shamsiah Fakeh dan beliau berterima kasih kepada Dr Mahathir atas sebab itu.

Berbual dengan saorang rakan sekolah Shamsiah Fakeh

Kemudiannya, saya berpeluang untuk menziarahi saorang tua, rakan kepada Shamsiah Fakeh semasa pengajian di madrasah. Hasrat saya adalah untuk menziarahi beliau, bertanya khabar dan juga sudah jadi amalan saya ketika itu apabila berjumpa dengan orang yang mempunyai banyak pengalaman dan ilmu, saya mempelajari sedikit sebanyak apa juga ilmu yang sudi dikongsikan bersama.

Entah bagaimana pula, saya sendiri tidak ingat muasalnya, kami mula bercerita mengenai Shamsiah Fakeh ini. Kesempatan dalam pada itu, saya bertanyakan kepada beliau akan kebenaran kisah-kisah yang banyak diceritakan orang itu. Akan tetapi, sehingga akhir perbualan kami saya tidak mendapat jawapan yang pasti daripada orang tua ini.

Ini kerana beliau kemudiannya bercerita akan satu peristiwa.

(Update)

Beliau berkata pada suatu ketika, nama beliau menjadi nama yang dikehendaki oleh Bintang Tiga. Sehinggalah sampai suatu hari, di waktu maghrib dikala beliau sedang mengaji membaca ayat Al-Quran beliau telah dimaklumkan oleh seseorang yang satu kumpulan Bintang Tiga hendak datang berjumpa dengan beliau. Bercerita tantang itu, beliau terus membacakan sepotong ayat Al-Quran yang dibaca oleh beliau sebaik sahaja sebelum kedatangan orang yang memberikan maklumat itu. 

Sepanjang saya mengaji agama dengan para ustaz dan ustazah, sehingga bolehlah serba sedikit saya memahami bahasa Arab, saya tidak pernah menghafal ayat yang dibaca oleh orang tua berkenaan. Ayat itu bukanlah daripada surah-surah lazim yang biasa dihafal mahupun daripada ayat-ayat Al-Quran yang biasa orang membacanya sebagai wirid. Oleh itu saya tidak pasti daripada surah manakah  asalnya sepotong ayat berkenaan. Saya hanya dapat mengesan satu perkataan yang khusus yang kebiasaannya tiada pada surah-surah Al-Quran yang lain.

Akibat daripada ketakutan yang amat sangat, beliau telah bergegas turun daripada rumah kampung beliau bagi melarikan diri daripada ditangkap kumpulan Bintang Tiga berkenaan. Kerana amat takutnya, setelah berlelahan berlari beliau telah jatuh pengsan di dalam satu sawah bendang. Beliau kemudiannya telah ditemui serta diselamatkan oleh orang-orang kampung. Seusai sedar, barulah beliau sedari bila dimaklumkan oleh orang-orang kampung bahawa ketika berlari berkenaan beliau telah melampaui satu pagar yang ketinggiannya adalah lebih tinggi daripada beliau sendiri dan sebuah sungai yang sederhana besarnya. Yang anehnya pakaian beliau pada ketika itu tidak basah dek air sungai itu dan hanyalah dikotori oleh tanah dan air bendang.

Adapun kesemua itu tidaklah ia berlaku kecuali dengan izin Allah Taala jua. Kudrat makhluk itu pada hakikatnya adalah terbatas dan tidaklah dapat dibandingkan dengan kudrat Khaliq atau Yang Maha Pencipta. Sekiranya Dia menghendaki akan sesuatu sudah pasti ia akan terjadi.

Selesai orang tua itu bercerita, saya tidak tergerak langsung untuk menanyakan kembali dari surah manakah ayat terakhir yang dibacanya itu sebelum beliau melarikan diri dari ditangkap. Mungkin juga bukanlah bahagian saya untuk mengetahui ayat berkenaan. Mungkin saya tidaklah perlu mengetahui perkara-perkara seperti itu. Oleh itu janganlah bertanyakan kepada saya tentang perkara ini.

Namun, akhirnya pada satu hari, saya teringatkan satu perkataan khusus yang ada pada ayat tersebut. Saya ketika itu sangat tergerak hati untuk melihat di dalam mu’jam yang boleh menunjukkan indeks ayat-ayat Al-Quran. Saya mendapati ada beberapa ayat yang menggunakan perkataan khusus ini. Jumlahnya ayat tersebut bolehlah dibilang dengan jari.

Oleh Pak Cik incikposmen.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...