Saturday 4 November 2017

Apa itu Dark Matter dan Dark Energy?


Jika berlaku kes kerasukan oleh makhluk halus di sekolah, para psikologis yang berorientasikan aliran sains barat kebiasaannya akan mendakwa itu adalah fenomena disebabkan tekanan perasaan secara berjamaah kerana adanya musim peperiksaan atau pun ada juga yang menyalahkan cuaca panas menjadi sebab histeria berkenaan.

Ini kerana agak sukar bagi mereka yang telah diterap dengan fahaman sains 5 deria untuk mendefinasikan sesuatu kejadian dengan berasaskan kepada sesuatu entiti atau medium yang tidak dapat dilihat atau dikesan dengan 5 pancaindera.

Namun demikian fahaman saintis barat dengan menggunakan teknologi canggih mengamati angkasa lepas, kini dapat menerima sesuatu yang tidak dapat dilihat seperti Dark Matter (Benda gelap) dan Dark Energy (Tenaga gelap).

Maka apakah itu Dark Matter dan Dark Energy?
Dark Matter adalah teori sains mengenai keadaan satu benda yang berlainan daripada kewujudan benda-benda biasa. Benda-benda wujud kebiasaannya mempunyai sifat fizikal, mengambil ruang dan boleh diukur. 

Maka secara teorinya, Dark Matter tidak mempunyai fizikal, tidak mengambil ruang dalam alam semesta dan tidak boleh diukur. Ia berlainan sifat dengan benda-benda wujud yang boleh dikesan dengan 5 pancaindera.


Tetapi bagaimanakah para saintis dapat mengetahui kewujudan Dark Matter yang tidak boleh dilihat ini?

Sehingga kini tiada saintis yang berjaya melihat Dark Matter. Jadinya tiada pengamatan yang telah dilakukan terhadap Dark Matter sebagaimana mereka mengamati kewujudan dan sifat atom serta partikelnya. 


Walaupun Dark Matter tidak dapat dilihat, para saintis menanggapi kewujudannya sebagai benar berasaskan beberapa hujah antaranya:

1) Kesan daya tarikan graviti terhadap benda-benda wujud seperti protons dan neutron.

2) Kesan dan pengaruhnya terhadap struktur berskala besar alam semesta.

3) Kesan dan pengaruhnya terhadap pembentukan galaksi.

4) Kesannya terhadap latar belakang gelombang mikro alam semesta.

5) Suhu gas panas di galaksi-galaksi yang berubah secara cara interaksi dengan Dark Matters.

Dalam ertikata lain, Dark Matter dikatakan wujud kerana ukuran berat (Mass) sesuatu galaksi itu dianggap oleh para saintis lebih daripada berat fizikalnya yang boleh dilihat dengan pandangan mata. Bermakna ada benda-benda yang tidak dapat dilihat yang menyumbang kepada berat sebenar sesuatu galaksi itu. 

Bagaimana para saintis mengukur berat galaksi itu sesuatu yang sangat teknikal dan kita tidak masuk kepada perbincangan itu di sini.

Kebanyakan saintis zaman ini menerimapakai teori kewujudan Dark Matters.


Malah, pakar sains terkenal dunia Michio Kaku mengatakan pelajaran buku teks yang mengatakan alam dicipta dari atom adalah salah, kerana Dark Matter tidak diciptakan dari atom. 

Ada juga yang menyatakan wujud perkaitan Dark Matter dengan Black Hole dan juga titik misteri yang memulakan Big Bang. 

Dark Energy atau Tenaga Gelap pula adalah tenaga misteri yang dipercayai secara teorinya meliputi setiap ruang dalam alam semesta. Tenaga ini cenderung menyebabkan alam semesta mengembang dalam kadar yang cepat. 

Maka Dark Energy adalah satu konsep yang membantu untuk membina teori alam semesta mengembang dalam kadar yang cepat  

Kepercayaan adanya Dark Matter dan Dark Energy seperti ini menunjukkan saintis aliran barat telah mula menerima konsep entiti ghaib atau pun alam ghaib. Walaupun mereka masih mencuba untuk meneroka bukti-bukti kewujudan itu melalui kaedah sains dan matematik. 

Secara fitrahnya, pemikiran manusia pun sebegitu rupa dalam mencari kebenaran. Ada perkara yang telah tertanam dalam fitrah manusia maka manusia itu menerimanya tanpa ada percanggahan pendapat. 

Ada perkara yang manusia itu perlu berfikir untuk mencari kebenaran. Dengan kaedah berfikir yang benar, kebenaran itu dapat dikenalpasti.

Ada perkara manusia perlu mencari bukti-bukti selain berfikir untuk mencari kebenaran. 

Alam semesta adalah sarat dengan bukti-bukti kewujudan dan bukti-bukti ini sudah tentu menuju kepada satu makna. Itulah teori kewujudan yang dicari-cari oleh saintis moden pada hari ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...