Thursday 2 November 2017

Bisnes : Zaman Globalisasi Yang Mengancam Bisnes Terkawal


Bukan setakat Uber dan Grabcar sahaja yang mengancam pendapatan pemandu-pemandu teksi tempatan yang berdaftar secara berlesen dengan pihak berkuasa tempatan serta patuh dengan undang-undang dan peraturan. Tetapi semakin lama semakin banyak pula bisnes secara maya yang melintas sempadan Malaysia tanpa tertakluk kepada kawalan ekonomi yang ditentukan kerajaan dan negara. 

Pelbagai Akta Parlimen telah diluluskan untuk mengawal serta meregulasi perkhidmatan atau servis yang diberikan oleh pengusaha-pengusaha bisnes tempatan seperti pengusaha teksi, hotel, homestay atau apa jua bisnes yang boleh dibuat ala-ala Uber.

Malah bukan setakat kereta, motorsikal pun sudah mempunyai servis serupa seperti Dego Ride. Namun demikian servis ini telah dilarang di Malaysia oleh kerajaan atas sebab-sebab keselamatan. Sebaik sahaja larangan dikeluarkan oleh Kabinet, beberapa individu yang menjalankan Dego Ride telah dikeluarkan saman oleh JPJ. 


Tetapi sebenarnya ia bukanlah semudah itu untuk melaksanakan penguatkuasaan. Bagaimanakah anggota penguatkuasa hendak menguatkuasakan saman sekiranya servis itu adalah berdasarkan akaun online yang didaftarkan di antara pelanggan dan juga individu yang menawarkan servis. Kecualilah yang menyaman itu adalah pelanggan itu sendiri. 

Dalam kata lain, anggota JPJ bertindak menyamar menjadi pelanggan dan setelah berlakunya transaksi barulah adanya bukti yang menunjukkan individu yang memandu motorsikal berkenaan mempunyai akaun Dego Ride dan boleh didakwa atas menawarkan servis bisnes yang terlarang.

Pengusaha Dego Ride masih lagi boleh terlepas sekiranya pelanggan itu tulen dan tiada maklumat mengenai transaksi terlepas kepada pihak penguatkuasa.

Selain Dego Ride, Uber juga telah memulakan servis menggunakan motorsikal seperti ini.

Bagi pengusaha hotel dan motel pula mereka dikawalselia oleh Akta, perundangan serta peraturan tertentu dalam negara. Itu tidak termasuk homestay kerana ianya bukan dikawal oleh perundangan yang sama sehingga hari ini. 

Tetapi kini ada pula Applikasi seumpama Uber bagi rumah-rumah sewa. Pelanggan boleh menyewa rumah-rumah persendirian atau bilik untuk sewaan harian atau bulanan bergantung kepada kesediaan pemilik rumah atau bilik berkenaan. 


Antara applikasi telefon pintar yang popular bagi sewaan rumah atau bilik ialah AirBnB. Dalam Malaysia sahaja sudah ada banyak pengusaha-pengusaha yang berdaftar dengan AirBnB menawarkan rumah atau bilik sewa. Pelanggan boleh mencari rumah sewa dengan menaip lokasi di mana rumah sewa berkenaan dikehendaki, kemudiannya AirBnB akan memaparkan rumah-rumah sewa yang berdaftar dengannya serta individu yang mengusahakannya. 


Gi Kota Bhari boh..
Antara rumah AirBnB di Kota Bharu
Servis seperti ini dikatakan mendatangkan pendapatan lumayan sehingga ada yang sanggup menawarkan rumah-rumah yang baru dibeli bagi tujuan disewa oleh pelanggan. Dikatakan juga pelabur-pelabur hartanah tempoh singkat yang sangkut disebabkan tidak dapat menjual rumah kategori high end dalam tempoh yang dikehendaki juga akhirnya memilih cara sewaan AirBnB untuk mendapatkan kembali nilai pelaburan atau mengurangkan kerugian.

Sehingga kini, belum ada kaedah bagi mengutip cukai bagi pengusaha-pengusaha applikasi seperti ini walaupun mungkin ada di antara mereka yang sepatutnya sudah boleh dikenakan GST. 

Ada pula produk rentas sempadan yang benar-benar berpotensi mengancam ekonomi negara dengan cara menjejaskan matawang tempatan. Produk seperti Bitcoins mempunyai potensi untuk menjejaskan nilai matawang tempatan sekiranya penggunaannya tidak dapat dikawal. 



Mungkinkah akan sampai satu masa permintaan serta penggunaan matawang internet seperti ini mendapat sambutan sehingga negara-negara terpaksa menerimanya seperti menerima penggunaan Uber, Grabcar dan AirBnB? 

Diceritakan bahawa antara faktor Amerika Syarikat menyerang Iraq pada suatu ketika dahulu adalah kerana Iraq mengumumkan tidak menggunapakai US Dollar sebagai matawang transaksi bagi minyak. Jika ini benar, adakah Amerika Syarikat akan menyerang Bitcoins kerana bertindak merampas kuasa US Dollar sebagai medium dalam transaksi utama bisnes?

Ini memandangkan di Amerika Syarikat sendiri sudah pun dibuka beberapa ATM bagi transaksi Bitcoins. Sedangkan Bitcoins sendiri tidak mempunyai central bank yang mengawal matawang dikatakan hanya berasaskan algoritma komputer itu. 

Soalan lain, adakah undang-undang penggubahan wang haram dapat mengekang sebarang transaksi illegal yang dibuat di dalam medium Bitcoins?

Adakah Bitcoins juga matawang transaksi impian para scammers?

Bukan ini sahaja, sudah tentu banyak lagi produk hasil ciptaan generasi zaman ini yang akan muncul.

Masa bakal berlaku dan menyaksikan produk-produk kreativiti manusia yang terhasil daripada zaman Internet of All Things yang mungkin membawa manfaat atau ancaman kepada individu, rakyat dan negara. 

Keywords

Uber
Grabcar
AirBnB
Bitcoin

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...