Saturday 25 November 2017

Mr and Mrs Punahsihat


Kerja nasihat menasihati adalah satu perbuatan yang baik dan terpuji. Kerana dengan menasihati itu dapat membetulkan jalan yang bengkok kepada lurus, daripada mudarat kepada manfaat dan daripada salah kepada betul. 

Manakala perkataan punah itu pula membawa maksud binasa. Penasihat yang tulen bukanlah punahsihat. Punahsihat ialah orang yang suka menasihati tetapi dia tidak ada ilmu dalam bidang yang dia nasihatkan itu.

Ada yang paling teruk baru hidup setahun jagung tetapi sudah ada sifat-sifat punahsihat yang pekat dalam dirinya. Dia suka mempengaruhi orang dengan kata-kata yang dianggapnya betul. Sedangkan ilmu baru setahun jagung ini jelas tidak kematangannya. 

Ada orang mengambil remeh ilmu sebab dan akibat. Minda seperti ini adalah disebabkan sifatnya yang suka terburu-buru dan tidak berfikir secara mendalam tentang apakah akibat sesuatu pilihan yang diambil.

Tidak ada ilmu kerana tidak mahu mempelajari ilmu atau berasa sombong untuk mendengar ilmu daripada orang lain. Dia merasakan fikirannya yang tanpa asas ilmu itu betul dan akan sentiasa melahirkan sesuatu yang benar dan tepat.

Sedangkan jika urusan yang dinasihati itu sangat memerlukan kepada kajian, penelitian dan pengamatan yang mendalam kemungkinan untuk seseorang itu menjadi silap dalam mengeluarkan pandangan adalah lebih tinggi. Bagi mengurangkan kemungkinan ini, modal seperti ilmu yang benar adalah menjadi satu keperluan bagi seorang individu.

Ilmu berkenaan sebab dan akibat adalah ibarat harta yang tidak ternilai. Malah ia lebih bernilai berbanding apa-apa nilai harta material yang dimiliki oleh orang. Harta materi boleh dibeli dengan nilai wang ringgit tetapi ilmu perlu dipelajari dan diusahakan. 

Usaha mempelajari ilmu itu sudah tentulah sesuatu yang bukan mudah kecuali bagi mereka yang tekun dan mempunyai azam yang kuat. Yang tidak ada sifat seperti ini tidak mendapati ilmu kecuali sedikit sahaja. 

Menjadi sang punahsihat yang memberikan nasihat yang salah sudah tentu berakhir dengan kesilapan yang mendatangkan nilai kerugian. Samada sang punahsihat akan mengakui kesilapannya atau tidak selepas berlaku kerugian itu pula adalah satu persoalan yang lain. Kebiasaan dari mereka ini sudah tentu melarikan diri sejauh-jauhnya dan berharap orang lain akan menjadi kambing hitam.

Akhir kalam, orang yang gagal menilai sebab dan akibat akan merasai akibat. Akibat yang bakal dirasai itu adalah sebagai pengajaran kepada dirinya untuk menilai perbuatan punahsihat yang dilakukannya. Adakah seseorang punahsihat itu berkekalan dalam kepunahsihatan atau tidak selepas itu bergantung kepada pilihan yang diambilnya sendiri. 

"-:>TaMMaT<:-"

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...