Friday 27 November 2015

Ulasan Filem : Moneyball


Kita dapat banyak belajar daripada sesebuah filem. Filem yang bagus pula dapat memberikan mesej yang baik dan juga pengajaran yang berguna. Secara realitinya, banyak filem yang bagus pada masa kini yang boleh kita tonton. Kadangkala selepas letih seharian menumpukan tenaga dan akal fikiran bekerja, saya akan memetik remote control secara random untuk Channel Astro yang berbaloi untuk ditonton. Tidak kiralah samada ia filem, dokumentari, rancangan diskusi intelektual atau apa sahaja. Kebiasaannya saya tidak merancang untuk menonton sesuatu. 

Dan tiba-tiba saya lihat filem ini baru bermula, saya tertarik kepadanya sejak babak mula lagi. Mungkin seseorang yang menonton filem ini dapat menikmatinya berdasarkan sudut yang menjadi tarikan kepada diri masing-masing. Jika anda suka bermain besbol (mungkin orang yang bermain kriket juga) akan tertarik dengan filem mengenai sukan besbol ini.

Tetapi saya tidak bermain besbol. Saya juga tidak suka permainan besbol. Mungkin saya adalah tipikal Malaysian yang seperti orang British lebih sukakan bolasepak dan memandang besbol ini membosankan. Walaupun begitu, saya telah menikmati filem ini sehingga akhir. Apakah daya tarikannya?

Mungkin juga anda seorang cikgu matematik atau pun pelajar statistik, anda mungkin mahu menonton filem ini. Kalau tidak pun, mungkin seorang pengurus atau CEO. 

Bagi pandangan saya, filem ini adalah berkaitan pengurusan. Bagaimana seseorang itu menguruskan satu pasukan besbol bagi mencapai kemenangan dalam setiap perlawanan yang dicapainya. Saya tidaklah mahu membuat review mengenai filem tersebut, kerana sudah tentu ia boleh dibaca melalui wikipedia seperti di sini.

Tetapi apabila saya menonton filem ini, saya teringatkan kejohanan bolasepak dunia dimana Brazil telah tewas kepada Jerman dalam tahun 2014 dengan kekalahan 7 - 1 di Brazil sendiri. Satu malapetaka peringkat nasional pada Brazil ketika itu.

Ini kerana pasukan Jerman pada ketika itu telah berjaya membawa satu permainan yang sangat menarik. Pada pendapat saya satu hybrid. Gabungan permainan antara sains dan seni. Sains adalah satu pendekatan yang dikatakan lebih dekat dengan pasukan England. Seni pula lebih sinonim dengan corak bermain Brazil sendiri. Jerman berjaya menggabungkan dan mengharmonikan kedua-duanya. Akibatnya Brazil kalah teruk.

Dalam filem ini pula, pengurus pasukan besbol Oakland Athletes yang baru Billy Beane (lakonan Brad Pitt) telah melantik seorang pegawai yang merupakan graduan yang baru lepas universiti lulusan ekonomi sebagai pembantunya dalam mengurus pasukan. Pembantunya ini adalah seorang yang mahir dalam kiraan statistikal atau dalam bidang ini dikenali sebagai sabermetricBilly Beane telah mempertaruhkan pasukan beliau dengan menggunakan pendekatan statistikal ini yang lebih memberikan kesan dalam pemilihan pemain. Satu pendekatan baru yang belum lagi teruji keberkesanannya. 

Akibatnya, pandangan tradisional pasukan pemantau yang terdiri daripada bekas pemain-pemain besbol berpengalaman tidak diambil kira. Sudah tentu berlakulah konflik antara kedua-duanya. Untuk melihat konflik-konflik itu anda perlu menontonnya untuk memahaminya. 

Sudah tentu perjalanannya tidaklah semudah dan setepat kiraan matematik. Tetapi filem ini bukan sains fiksyen. Ia berdasarkan kisah benar. Walaupun banyak kalah pada mulanya, tetapi pengurus pasukan berjaya menstabilkan keadaan dengan satu penyelarasan kepada teknik pemilihan pemain yang digunakan. Hasilnya pasukan telah menang 20 perlawanan berturut-turut.

Apa yang tergambar dalam fikiran saya ialah bagaimana pengurus telah berjaya mengharmonikan kedua-dua pendekatan. Macam yang diperkatakan tadi. Bagi saya satu pendekatan yang mungkin hasilnya berbaloi tetapi untuk melaksanakannya bukanlah semudah kata-kata atau pun sepantas keyboard warrior menaip dengan keyboardnya.

Ya, anda mungkin obses dengan cara matematikal atau saintifik anda dalam mengurus sesuatu kerja dan melihatnya sebagai terbukti. Orang lain mungkin melihatnya sebagai satu seni dan bekerja dengan pendekatan freestyle yang kurang tekanan. Siapa pula yang hendak menggabungkan kedua-duanya?

Apatah lagi untuk meninggalkan sesuatu yang dianggap sudah terbukti kepada sesuatu yang tidak meyakinkan. Sudah tentu ada dilemanya bukan? 

Namun, bagi yang nak buat pula, dia akan buat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...