Friday 6 November 2015

PAS semakin matang?


Apa salahnya PAS bekerjasama dengan UMNO dalam hal perkara yang melibatkan kebaikan dan juga kepentingan umat?

Dari aspek manakah yang menjadi kesalahan atau dosa kepada kerjasama yang baik dan dianjurkan dalam Islam seperti itu?

Seorang ahli PAS telah menyatakan kepada kenalan saya yang beliau merasakan kekecewaan kerana PAS kini lebih berminat untuk bekerjasama dengan parti UMNO berbanding dengan melibatkan diri dalam pembentukan Pakatan baru yang dibentuk bersama-sama Parti Amanah, DAP dan PKR. 

PAS kini bukanlah PAS yang diharapnya dahulu sentiasa bermusuhan dengan UMNO dan memandang UMNO sebagai satu musuh yang sebenar-benar musuh dan wajib ditumbangkan dengan apa cara sekalipun. PAS dahulu dilihat mengeluarakan kenyataan sehingga sanggup berkerjasama dengan syaitan untuk menjatuhkan UMNO.


Mungkin ahli PAS ini adalah seorang ahli parti itu yang mewakili  sejumlah ahli yang tidak bersetuju PAS keluar daripada Pakatan gabungan DAP, PKR dan AMANAH. Tetapi pada masa yang sama ahli ini tidak pula keluar daripada PAS untuk menyertai AMANAH walaupun pendiriannya adalah seperti dasar Parti Amanah itu yang dikatakan orang adalah dibentuk untuk menjadi platform kepada Anwarinas dari dalam PAS yang disokong kuat oleh DAP. 

PAS juga telah mengeluarkan beberapa kenyataan pengakuan yang ia telah pun insaf daripada menggunakan pendekatan di masa lepas yang sebenarnya bertentangan dengan Islam itu sendiri. PAS ketika itu kerana sangat terpengaruh dengan momentum politik yang dibawa oleh rakan politik dalam Pakatan telah hanyut dalam ombak tsunami "reformasi" sehingga melupakan prinsip-prinsip teras di dalam Islam.

Mungkin "kenyataan-kenyataan" pengakuan yang dikeluarkan PAS ini tidak sejelas seperti sepatutnya tetapi berselindung di sebalik perkataan-perkataan seperti "masalah komunikasi" dan sebagainya. Tetapi jelas PAS kini tidaklah seperti dahulu. Dilihat PAS tidak ikut serta di dalam kempen Pakatan baru dalam menyerang PM dan juga UMNO dalam isu 1MDB dan juga dalam mendesak PM meletakkan jawatan. 

Ini dapat difahami dan sepatutnya itulah yang berlaku. Jika PAS terheret dalam kempen politik seperti itu sedangkan Parti AMANAH itu masih lagi berada di dalam Pakatan, seolah-olah PAS telah merendah-rendahkan lagi maruah dirinya. Apabila pengkhianatan berlaku dan berlaku satu demi satu oleh ahli parti sendiri dan parti itu tidak dapat memberikan reaksi atau pun berbuat apa-apa, itu merupakan satu petanda parti itu tidak dapat menjalankan fungsinya dengan sihat. Malah menjadi perkakas kepada orang tertentu yang mempunyai kepentingan bagi mencapai matlamat politik mereka. 

Ada juga pandangan yang mengatakan kini PAS telah menjadi lebih matang selepas pergolakan yang berlaku di dalam partinya. PAS kini lebih matang dalam menentukan haluan partinya dan tidak akan mudah di"hijack" kumpulan tertentu sepertimana berlaku di masa yang lepas.

Tahap kematangan ini perlulah diuji. Ujian bagi PAS ialah bagaimana PAS dapat bekerjasama dengan UMNO tanpa menjejaskan prinsip-prinsip Parti itu yang berasaskan Islam dan bagaimana pula supaya kerjasama antara dua parti itu sebenar-benarnya dapat menguntungkan Islam dan umatnya. 

Umat Islam sudah lama menunggu kerjasama tag team yang dapat menzahirkan seribu manfaat ini. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...