Sunday 20 January 2019

Minister Kristian mendapat petunjuk melalui seorang kanak-kanak Islam


Kisah Jeff Burns, seorang minister Kristian dari negara Amerika Syarikat yang mendapat petunjuk dari Tuhan untuk mengusahakan jambatan perhubungan dengan komuniti Islam.


CERITA JEFF BURN

Hai di sini Jeff Burn, selamat datang ke channel saya. Saya akan menceritakan kisah bagaimana Tuhan menggunakan seorang kanak-kanak muslim mengubah secara total hati saya. Cerita yang sama dikongsikan kepada anda ini telah diceritakan juga di synagog-synagog Yahudi, masjid-masjid dan gereja-gereja seluruh negara ini. 

Saya juga telah bercerita di beberapa negara di seluruh dunia dan ramai yang menemui inspirasi dan harapan dari cerita ini. Ia bukanlah cerita untuk orang-orang Kristian semata-mata tetapi ia juga bagus didengari oleh orang Islam, cerita untuk Jesus dan sesiapa juga yang beriman dengan kepercayaan yang baik.  

Saya sendiri adalah seorang pengganut Kristian dan pengikut Jesus. Cerita ini mengisahkan sejenis transformasi yang saya terpaksa lalui. Saya selalu menceritakan kepada orang ramai ianya adalah serupa dengan kisah seorang yang berjumpa Jesus di jalan Damaskus. 


Orang itu sangat membenci orang-orang Kristian pada ketika itu. Selepas berjumpa Jesus di jalan Damaskus itu hatinya terus berubah dan hilanglah kebencian. 

Dalam beberapa cara, Tuhan telah mengetuk pintu saya dengan kuat. Saya mengamalkan ajaran kristian dengan kuat tetapi dalam konteks hubungan saya dengan orang-orang Islam, saya tidak mengamalkan ajaran Kristian yang sebenar kepada mereka.

Saya menceritakan kisah ini kepada anda dan berharap anda akan menyukainya. 


KEBENCIAN TERHADAP ORANG ISLAM

Sebelum tahun 2005, saya terpaksa berterus terang pada ketika itu saya membenci orang-orang Islam. Saya tak sepatutnya menggunakan perkataan seperti itu. Tak mungkin seorang minister Kristian menggunapakai perkataan "membenci" sesiapa pun. Itu memang sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Tetapi hakikatnya saya sangat membenci orang-orang Islam ketika itu.

Saya tak suka mereka. Saya menyampah dengan mereka. Saya menyebut benda-benda yang teruk terhadap mereka. Saya langsung tak mahu adanya apa-apa hubungan pun dengan mereka. 

Saya tak mahu sebut di sini benda-benda yang pernah saya kutuk mereka. Sudah bertahun-tahun saya berasa malu kerana sikap saya itu. 

Sekarang Tuhan telah menyembuhkan saya dari semua itu dan kini saya hanya memiliki rasa cinta. Tapi sebelum itu saya sangat membenci orang-orang Islam dan tak mahu ada apa-apa hubungan dengan mereka.


MENERIMA EMAIL JEMPUTAN

Selepas berkhidmat sebagai Minister Kristian untuk 18 tahun, saya ingat lagi waktu itu bulan Disember 2004. Saya sedang duduk di meja studi dan berfikir mengenai fasa seterusnya kehidupan saya. Saya menyedari saya telah menerima satu email ketika itu.

Email itu menyatakan "Kami ingin menjemput anda untuk menghadiri kelas selama 3 bulan di Carolina Utara". Tempatnya adalah di sebuah gereja dan kelas tersebut adalah mengenai agama Islam. 

Perlu diingatkan bahawa peristiwa ini berlaku 3 tahun selepas kejadian 9/11 (WTC dirempuh 2 pesawat). 

Kelas itu akan ada Imam dari orang Islam, orang-orang Kristian dan lain-lain orang, hadir untuk membincangkan setiap minggu. Matlamatnya adalah untuk memahami agama Islam dengan lebih baik. Dan lainnya adalah untuk bagaimana orang-orang Kristian sepatutnya bersikap dan bereaksi terhadap orang-orang Islam.

Pada masa itu, saya tak mahu langsung. Saya rasa agak dingin dan langsung tak mahu menghabiskan 3 bulan mempelajari agama Islam. Senarai benda paling akhir yang saya ada niat tak nak buat.

Tetapi email tersebut sentiasa menanyakan kepada saya dan merayu untuk saya hadir ke kelas itu. Katanya anda adalah pastor yang berpengaruh di kawasan anda. Anda boleh menggalakkan orang lain hadir jika anda tidak mahu datang.

Saya tak ada langsung rasa kemahuan untuk hadir ke kelas itu.  


MARAH KERANA DITEMPELAK ISTERI

Satu hari saya bercerita dengan isteri saya. "Anda tahu tak? Tak mungkin saya hadir ke kelas macam itu". 

Isteri saya menjawab "Sayang, anda tahu tak? Anda seorang suami yang baik, anda mengambil pendirian yang tegas menentang rasisme...". 

Ya, saya mengambil pendirian sedemikian sehinggalah mendapat ugutan daripada pihak tertentu. Antaranya dalam isu orang Amerika berketurunan Afrika yang telah hadir ke gereja dan menimbulkan ketegangan di kalangan orang kulit putih. 

Isteri saya berkata lagi "Anda berjuang menentang rasisme itu dengan hebat dan saya berasa sangat berbangga dengan pendirian anda...tetapi...".

"Bila menyentuh isu orang-orang Islam, anda sebenarnya adalah seorang rasis sepenuh hati anda!".

Wow.. isteri saya berkata sebegitu dan perkataannya sangat menyentuh hati saya. Saya menjadi sangat marah. Sehingga ada rasa untuk memukul dia. Tetapi dia adalah isteri saya, saya tak boleh pukul isteri saya. Itu satu perbuatan yang tak baik.

Saya memandangnya dan saya senyum sambil berkata "Lousiana.. ok begini syaratnya! Saya mahu Jesus Christ (Nabi Isa a.s) muncul di hujung katil saya dan arahkan saya untuk ambil kelas itu. Barulah akan melakukannya!".

Tetapi saya perlukan ID untuk memastikan orang itu adalah Jesus Christ. Saya fikir dengan meletakkan syarat begitu saya merasa sangat bijak, kerana perkara sebegitu sudah tentu tidak akan berlaku. 

Masa terus berlalu dan email tersebut sentiasa bertanya dan saya sentiasa menjawab tidak. Akhirnya, saya merasa tidak mahu dilihat sebagai anti-progressif maka saya membuat keputusan untuk mencuba kelas berkenaan. 

Saya fikir apalah sangat mudarat yang datang dengan semata-mata saya mengambil kelas itu.


AKHIRNYA MENGIKUTI KELAS MENGENAI 
AGAMA ISLAM

Dalam kelas itu, ada bermacam bacaan mengenai Islam yang melebihi daripada sekadar apa yang saya ingin tahu. Mereka membawa berbagai Imam dan penceramah berlainan latar belakang. Rupanya banyak benda mengenai Islam yang saya tidak faham. Banyak perkara yang saya salah faham. 

Di situ saya mendapat kefahaman yang sebenar. Namun demikian saya hanya mahu sekadar itu sahaja. Saya tidak mahu menambah lagi dengan apa-apa aktiviti yang lain.

Dalam kelas yang berjumlah 60 hingga 70 peserta itu saya suka duduk di tepi meja makanan. Kerana kalau ada perkara-perkara yang membosankan saya lebih suka mengambil makanan. 

Tiba-tiba satu pengumuman dibuat, "Sebagai syarat untuk mendapat sijil menghadiri kelas ini, anda diminta untuk membuat persahabatan dengan orang Islam".

Saya menjerit di dalam hati "Tidaak!! Tidak. Tidak. Tidak. Saya tak mahu bersahabat dengan orang Islam!"

Pengumuman itu bersambung dengan "... anda juga dikehendaki menghadiri masjid di salah satu program dakwah yang mereka laksanakan."

Saya merasa seperti mahu mati. Permintaan ini memaksa saya keluar dari zon selesa saya.

Tetapi latar belakang Kristian saya adalah Southern Baptist. Sebagai Southern Baptist kami mempunyai budaya untuk mendapatkan sijil pengiktirafan bagi apa yang dilakukan. Saya mahu dapatkan sijil pengiktirafan itu. 

Budaya ini memang normal di kalangan Southern Baptist khususnya kawasan luar bandar. Mereka pergi ke gereja dan mereka mendapat sijil kehadiran. Saya ada fail bertimbun-timbun mengandungi sijil-sijil ini.

Ia tak begitu bermakna sekarang, tetapi pada ketika itu ia betul-betul menjadi satu faktor penggerak. Ia disebabkan budaya itu. Saya inginkan bukti yang saya telah hadir kelas ini. 


KEJADIAN DI STARBUCK CAFE

Satu hari, saya sedang duduk minum di dalam Starbuck Cafe. Saya ketika itu berfikir mengenai kelas tersebut. Segala persoalan sedang berperang di dalam minda saya. 

Anda tahu, macam masalah yang mengganggu fikiran anda dan membuatkan anda sukar tidur malam?

Ketika itu saya duduk dan sedang membaca manual kelas berkenaan. Saya melihat gambar seorang wanita muslim dengan tudung kepala. Orang lelakinya pula dengan janggut dan kopiah. 

Saya berkata dalam hati, jurang di antara orang Islam dan Kristian terlalu besar. Saya hanyalah budak kecil bagi Southern Baptist, takkanlah Tuhan hendak menyuruh saya membina jambatan perhubungan di antara komuniti Kristian dan rumah Bani Ismail (muslim). 

"Takkan Engkau menyuruh saya membuat urusan ini, Engkau memilih lelaki yang salah. Ini di luar zon selesa saya, sudah pasti Engkau tak mahu saya lakukan urusan ini".

Saya terfikir sekurang-kurang sebagai seorang Kristian saya boleh melakukan doa kepada Tuhan. Saya melihat sekeliling dan pastikan tiada orang yang sedang melihat.

Ketika itu sebelah tangan saya masih memegang cawan Cappucino. Sebelah tangan saya memegang dahi sambil kepala menunduk. 

Saya pun berdoa "Ya Tuhan!! Jika Engkau menyuruh aku untuk membina jambatan perhubungan kasih sayang terhadap rumah bani Ismail atau komuniti Islam maka Engkau harus beri aku tanda-tanda yang sangat jelas sehingga aku tak akan meraguinya".

Sebaik sahaja saya mengucapkan doa itu, segala masalah yang bersimpul dalam diri saya pun dirasakan hilang. Semua itu hilang bukanlah disebabkan ada rasa rahmat Tuhan turun kepada saya. Tetapi ia hilang disebabkan saya meminta petunjuk dalam bentuk satu syarat.

Sebenarnya Southern Baptist, kami tak percaya kepada tanda petunjuk. Maka saya tak menjangkakan Tuhan akan memberikan tanda petunjuk. 

Kefahaman Southern Baptist ialah tidak akan percaya mukjizat kecualilah dia melihat dengan mata kepala sendiri. Saya masa itu merasa terlepas dari masalah. Sebab saya fikir Tuhan tak akan mengadakan tanda itu dan pada masa yang sama saya telah menyepak bola ke gelanggang Tuhan (untuk tindakan Tuhan selanjutnya).

Saya terus duduk di situ dan merasakan sedikit lega. Tiba-tiba seorang budak lelaki muncul berdiri di sebelah meja bulat di hadapan saya. Di atas meja bulat itu ada magic markers yang saya bawa untuk kelas. 

Budak lelaki itu memandang kepada saya dengan penuh perhatian. 

Saya tidak merasakan apa-apa yang pelik sebab adalah kebiasaan bagi budak-budak sekolah datang meminjam sesuatu seperti highlighter, magic markers dan benda seumpamanya dari meja-meja pelanggan di dalam cafe itu. 

Dia datang ke meja itu dan berkata "Tuan.. bolehkah saya meminjam salah satu magic marker tuan?".

"Sudah tentu si kecil, anda boleh ambil yang berwarna biru" kata saya.

"Tidak tuan, saya lebih suka yang berwarna oren".

Nampaknya si kecil benar-benar tahu apa yang dia mahukan. Saya katakan kepadanya "Ambillah".

Budak ini ambil magic marker itu dan pergi ke sebelah bahagian meja yang bertentangan dengan saya duduk. Menarik keluar kerusi dan duduk di atas kerusi itu sambil menghadap saya.

Dia menarik penutup magic marker dan Tuhan sahaja yang menjadi saksi saya ketika itu. Dia memandang tepat ke mata saya dan berkata, 

"Tuan.. sementara itu, nama saya Omar. Saya berumur 5 tahun. Saya berada di sini untuk mengajar tuan beberapa perkataan Arab!".

Ketika itu jantung saya seolah-olah dipanah petir. 

Dihadapan saya adalah seorang budak lelaki, memakai pakaian seragam pra-sekolah Islam. Dia memandang tepat ke mata saya di dalam pakaian sekolah kecil itu. Dia menarik satu helai kertas putih dari pad saya di atas meja dan mula menulis satu kalimah Arab. 

Kemudian dia menyebut kalimah Arab itu dengan suara yang lantang. Begitu lantang bagi seorang anak kecil 5 tahun.

Saya duduk tergamam di situ sambil merasakan lutut menjadi lemah. Saya merasakan seakan-akan mahu pengsan. Saya sebenarnya betul-betul rasa nak pengsan. Saya sangat terkejut dengan kejadian ini.

Seolah-olah Tuhan berkata kepada saya masa itu "Kamu mesti fikir Aku tak boleh buat benda macam ni"

Tuhan telah mendapat perhatian saya. Tuhan telah memberikan lelaki Kristian ini yang datang dari Southen Baptist satu tanda petunjuk sebagai menjawab doa yang saya sendiri pohon.

Sebelum saya dapat berfikir dengan jelas apa Omar buat, tiba-tiba terdengar suara seorang perempuan dari sebelah kiri saya, menjerit "Omar, apa yang kamu buat? Jangan kacau lelaki tu!!".

Saya kata kepada perempuan itu "Puan tidak mengapa, Omar boleh buat apa sahaja yang dia nak buat".

Seolah-olah saya telah berjumpa Jesus secara zahir di atas jalan Damaskus. Seakan-akan juga kisah Nabi yang terperangkap di dalam perut ikan. 

Saya telah diberikan perhatian dan tidak akan melawan lagi tanda-tanda kebesaran Tuhan. Saya bersedia untuk mendengar petunjuk yang akan diberikan kepada saya melalui si kecil anak orang Islam ini.

Kemudian Omar menulis satu perkataan dan berkata "Sekarang tuan pula yang tulis"

Maklumlah tulisan anak kecil 5 tahun bukanlah sekemas seperti tulisan orang dewasa. Saya lihat perkataan itu dan saya tulis sebagaimana yang dia tulis. Saya ingat saya sudah membuat yang terbaik.

Tetapi dia memandang saya dan menggeleng "Itu semua salah. Ini nampak teruk. Saya akan datang ke tempat tuan dan pegang tangan tuan dan saya ajarkan bagaimana menulis perkataan".

Omar datang ke sebelah meja saya dan pegang tangan saya. Dia menggerakkan tangan saya dan bersama-sama kami menulis satu perkataan Arab. 

Saya katakan kepadanya "Omar, saya belajar Hebrew di Southern Baptist. Bunyi perkataan ini macam Hebrew". Maklumlah kedua-dua bahasa Arab dan Hebrew adalah bahasa Semitik.

Omar menjawab "Ia langsung tak serupa dengan Hebrew. Ia adalah bahasa syurga!"

Saya memberi reaksi "Wow, ok".

Dalam masa menulis perkataan Arab itu, sehinggalah saat ia selesai, segala kebencian saya terhadap orang-orang Islam telah hilang. 

Segala rasa pahit, tidak senang, bangga diri dan kerisauan semua hilang. Dan ia digantikan dengan rasa cinta kepada Tuhan, cinta kepada Jesus, Tuhan telah letakkan rasa cintaNya di dalam hati saya. 

Mula dari saat itu saya mencintai orang-orang Islam, saya tidak merasa risau dengan mereka. Saya anggap mereka sebagai rakan-rakan, malah macam saudara. 

Dan itulah yang telah merubah kehidupan saya.

Rasa tidak senang itu telah hilang dan tidak pernah datang kembali.

Setelah itu saya berjumpa dengan wanita yang juga ibu kepada Omar. Saya berkata "Saya sangat kagum dengan Omar. Mungkin Omar boleh menjadi seorang guru yang hebat pada masa akan datang".

Wanita itu membalas, 

"Kami sebenarnya sangat terkejut dengan peristiwa ini. Sebenarnya Omar adalah seorang kanak-kanak yang sangat pemalu. Dia tak pernah pergi berjumpa dengan orang yang dia tak kenali atau seorang bukan ahli keluarganya dan buat sebagaimana dia buat dengan anda".

"Kami duduk di meja tadi dan cuba mencari jawapan kepada apa yang menggerakkan Omar bangun dari kerusinya dan datang kepada anda untuk mengajar perkataan Arab itu!". Tambah wanita berkenaan.

Ingatlah yang saya sendiri telah memohon doa sebelum itu. Saya tahu jawapan kepada persoalan wanita itu. Cuma saya tidak bersedia untuk bercakap mengenainya.

Saya keluar dari Cafe itu dan melihat ke atas langit sambil berkata, 

"Ya Tuhan. Amen. Kerana Engkau telah memberikan petunjuk kepadaku maka untuk saki baki hidupku ini, saya akan menjadi seorang pendamai di antara orang-orang Islam dan Kristian. Saya akan buat apa sahaja Engkau minta saya buat".

"Saya akan jemput sekali komuniti Yahudi, saya jemput sekali yang lain-lain untuk menjadi satu komuniti yang cantik dan berkasih sayang. Kerana petunjuk yang Engkau berikan kepada saya".

Itulah yang sudah bertahun-tahun saya lakukan. Semua berpunca dari Tuhan menggunakan seorang kanak-kanak muslim untuk menawan hati saya. 

Saya harap anda menyukai cerita saya. 
__________________

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...