Saturday 7 January 2017

Kisah Ahmad Ibnu Fadlan Bertemu Orang-Orang Viking

Gambaran Ahmad Ibnu Fadlan
daripada filem 13th Warrior.
Ahmad Ibn Fadhlan adalah seorang Qadi Arab yang menulis kisah pengembaraan di dalam makalah yang diberi tajuk "Risalah". Penulisan beliau di dalam "Risalah" ini diterjemahkan ke dalam berbagai bahasa oleh pengkaji-pengkaji sejarah. Ianya turut menjadi ilham kepada Michael Chricton untuk menulis Novel berjudul "Eaters of The Death" (Mereka yang memakan mayat). Novel ini kemudiannya menjadi sumber insprirasi kepada filem The Thirteenth Warrior (Pahlawan ke-13).

Dikatakan bahawa penceritaan daripada Ahmad Ibnu Fadlan ini adalah deskripsi yang paling terperinci mengenai orang-orang Viking pada zaman itu. Bagi ramai pengkaji sejarah pula penceritaan beliau adalah yang paling dipercayai dan paling unik. 

Didalam "Risalah", penulisnya menceritakan bagaimana perjalanan yang dilalui oleh beliau dan juga pengembara-pengembara lain pada zaman itu. Termasuklah pelbagai kaedah para pengembara menyeberangi sungai-sungai. Beliau menceritakan juga tentang tumbuh-tumbuhan sepanjang perjalanan yang ditempuhi. Pengkaji sejarah mengganggap penceritaan beliau adalah terbaik berbanding dengan yang lain daripada zamannya.

Dalam tahun 921, beliau telah dihantar oleh Khalifah Muqtadir dari Baghdad kepada Raja Bulghar untuk mengajar Raja itu agama Islam. Dalam perjalanan itu Ahmad Ibnu Fadlan menulis pengalaman beliau bertemu dengan berbagai jenis manusia. Dikatakan 1/5 daripada penulisan beliau itu dikhususkan kepada orang-orang Viking yang dinamakannya sebagai orang "Rus".

Orang Viking @ Rus

"Mereka datang dari negeri-negeri sebelah utara, melabuhkan kapal mereka di Sungai Volga dan mendirikan rumah-rumah papan yang besar di tebing sungai. Di dalam setiap rumah papan tersebut ada sepuluh hingga dua puluh orang, lebih kurang itu."

Kapal Viking sedang berlabuh di Sungai Volga.

Orang Viking pada zaman Ahmad Ibnu Fadlan itu dipanggil orang Arab dengan gelaran "Russ" atau "Russiyah". Ada pengkaji sejarah yang berpandangan nama Russia modern diambil daripada perkataan ini. Mereka juga dikenali sebagai Norseman. 

Dikatakan panggilan Russ kepada Viking itu hanya digunapakai oleh orang sebelah timur. Manakala orang Perancis dan Sicily memanggil mereka "Normans". Perkataan "Vikings" dikatakan digunapakai oleh orang-orang British.

Tinggi macam pokok kurma
"Saya tak pernah berjumpa dengan jenis manusia seperti mereka ini. Mereka mempunyai badan yang paling hebat dari kalangan manusia. Tingginya seolah-olah pokok kurma, berambut perang dan kulit kemerah-merahan".

Badan Orang Viking.
Kuda mereka juga jenis besar
berbanding kuda Arab.

"Setiap seorang mempunyai sebuah kapak, sebilah pedang dan sebilah pisau yang akan mereka bawa kemana-mana". Orang-orang Viking yang dilihatnya juga mempunyai tatoo hitam kehijauan daripada jari-jemari ke leher mereka. 

"Mereka adalah makhluk Allah yang paling pengotor. Mereka tidak membersihkan diri dari kotoran semasa membuang air besar. Malah tidak membasuh diri dengan air selepas itu". 

Walaupun Ahmad ibnu Fadlan mengakui orang-orang Rus membasuh tangan, muka dan kepala setiap hari tetapi dilakukan dalam cara paling kotor yang menggunakan satu basin yang sama. 


"Setiap pagi seorang hamba abdi perempuan akan membawakan satu basin air yang dihadapkan kepada tuannya. Tuannya akan membasuh muka dan tangannya. Kemudian membasuh rambutnya dari air basin tersebut. Disitu juga dia melecitkan hidungnya dan meludah ke dalam basin. Apabila selesai hamba perempuan itu akan membawa basin kepada lelaki sebelah tuannya. Yang mana akan melakukan perbuatan yang sama seperti tuannya" 

"Hamba perempuan itu akan mengulangi basin kepada lelaki-lelaki lain sehingga mereka semua telah mencuci hidung, meludah ke dalam basin, membasuh muka dan rambut masing-masing"

Dalam tahun 922, Ahmad menyaksikan bagaimana mereka membuat ritual penyembahan kepada tuhan-tuhan mereka dengan meletakkan korban-korban yang ditambat di atas kayu-kayu yang ditegakkan di atas tanah. Ritual ini bertujuan untuk memohon kepada tuhan-tuhan sembahan mereka untuk mengurniakan wang-wang perak yang banyak sebagai hasil dagangan mereka. 

Selain itu, Ahmad turut telah menyaksikan satu ritual pengebumian seorang ketua pelayaran Viking yang disemadikan bersama kapalnya secara dibakar. Ketua pelayaran itu disemadikan bersama kapalnya, barang-barang berharga termasuklah makanan-makanan yang mahal, arak, haiwan seperti anjing, kuda dan keldai. Juga turut dibakar dengan kapal itu ialah seorang hamba perempuan milik ketua pelayaran tersebut yang dikatakan secara sukarela mengikut tuannya. 

Upacara Bakar Kapal. Kelihatan seorang hamba perempuan diangkat
oleh beberapa orang Viking sebelum kapal dibakar. 
"Apabila salah seorang ketua mereka mati, keluarganya akan bertanyakan kepada hamba-hamba perempuan miliknya. "Siapa salah seorang dari kamu yang rela mengikuti tuan kamu?" Salah seorang mereka menjawab "Saya rela". 

"Selepas itu apabila berkata demikian tidak ada lagi berpatah balik. Dalam kebanyakan masa, salah seorang daripada hamba-hamba perempuan akan memilih menjadi sukarela."

Teks "Risalah" dari Ahmad Ibnu Fadlan
Sumber: Gilwellian/Wikimedia Creative Commons


Orang-orang Viking yang ditemui Ahmad Ibnu Fadlan dipercayai berasal daripada timur Scandanavia. Mereka mengembara bagi berdagang barang-barangan mereka dan juga memperdagangkan hamba. Catatan menunjukkan orang-orang Viking mempunyai kemahiran berperang yang hebat dan mereka menghasilkan peralatan perang yang bermutu tinggi. Orang Viking tertarik untuk berdagang dengan orang-orang Arab untuk mendapatkan wang perak yang dihasilkan di negara-negara Arab ketika itu. 

Umat Islam ketika itu mempunyai ketamadunan yang tinggi berbanding dengan umat lain. Budaya keilmuan yang ada pada Ahmad ibnu Fadlan ketika itu yang membuatkan beliau menulis makalah mengenai perjalanan pengembaraan seterusnya membuat pemerhatian yang berkualiti terhadap manusia dan alam sekitarnya. 

Penulisan ini membuatkan nilainya pada hari ini sangat tinggi kerana tiada penulisan lain dari zaman itu yang setanding dengannya dalam menceritakan sifat-sifat orang Viking. "Risalah" yang ditulis oleh Ahmad Ibnu Fadlan kini menjadi rujukan pengkaji-pengkaji sejarah, ilmuwan dan pakar akademik dan dianggap sebagai satu sumber sejarah yang amat berharga, khususnya mengenai perihal orang Viking.

Youtube - Credit Hag Sin
Di dalam Filem 13th Warrior - Digambarkan Ahmad ibnu Fadlan adalah seorang Arab 
yang bijak. Beliau mampu mempelajari bahasa Viking dengan hanya mendengar dan menghafal 
dalam jangka masa tidak sampai satu malam.
Sumber :

https://en.wikipedia.org/wiki/Ahmad_ibn_Fadlan

http://archive.aramcoworld.com/issue/199906/among.the.norse.tribes-the.remarkable.account.of.ibn.fadlan.htm

http://www.sammustafa.com/Resources/Fadlan.pdf

Lain-lain sumber.

1 comment:

  1. selepas tengok filem the 13th warrior. rasa tak sabar nak baca buku Ibnu Fadlan yang bakal diterbitkan oleh baytul hikma hasil terjemahan Arsyad Pendang. terima kasih atas perkongsian kisah Ibnu Fadlan. semoga Allah merahmatinya

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...