Tuesday 24 January 2017

Melihat Perkembangan Rohingya Januari 2017


Melihat perkembangan isu Rohingya dari kejauhan. Walaupun kita tidak pergi mengikut NGO atau flotilla ke Rakhine, Myanmar tetapi kita perhatikan perkembangannya dari jauh melalui dada media massa. Sejak negara Malaysia dikatakan mencari pasal dengan Myanmar dengan isu Rohingya ini dan berlakulah pertengkaran di media massa di antara kedua negara sudah tentu kita tertanya-tanya apakah sesudah itu. Adakah langkah yang diambil oleh Malaysia adalah tepat? 

YAB PM sebelum mencari pasal itu telah berkata "apa nak jadi jadilah". Begitulah tekad dan keputusan pemimpin Malaysia ibarat kata pepatah Melayu "membujur lalu melintang patah". Sebaik sahaja mengeluarkan kenyataan keras ketika menyertai perhimpunan bantahan terhadap penindasan Rohingya itu, Malaysia telah mendapat bantahan daripada Myanmar dan menuduh Malaysia telah melanggar prinsip-prinsip Asean yang secara dasarnya tidak mencampuri hal-ehwal negara Asean yang lain.

Tetapi Malaysia tetap mengambil keputusan itu. Ini disebabkan dasar tidak campur tangan itu bukanlah sesuatu yang tidak ada batasnya. Pertamanya dasar itu bukanlah menyebabkan sesebuah negara Asean itu boleh melanggar hak asasi manusia seperti melakukan genoside atau pembunuhan etnik, memperkosa, membakar harta benda dan lain-lain pencabulan hak asasi manusia yang tersangat parah. Keduanya, pencabulan hak asasi manusia tersebut telah pun secara langsung memberi kesan kepada Malaysia yang mana dianggarkan lebih 50,000 orang Rohingya telah melarikan diri ke Malaysia dan menyebabkan negara menanggung kos menjaga pelarian yang mencecah jutaan ringgit sehari.

Malaysia juga mula dipersalahkan oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai kepentingan sendiri mengenai isu penyeludupan migran. Pihak-pihak tertentu ini juga cuba menunjukkan Malaysia tidak prihatin dengan keadaan pelarian-pelarian Rohingya seramai lebih 50,000 orang di dalam negara seperti tidak memberikan pekerjaan serta bantuan pendidikan yang sepatutnya. Malah Malaysia disalahkan kerana tidak memberikan kewarganegaraan kepada pelarian-pelarian Rohingya tersebut.

Yang memburukkan lagi keadaan adalah dengan terjumpanya kubur massal hasil kegiatan penyeludupan migran oleh sindiket antarabangsa di sempadan sebelah utara negara. Walaupun ianya tidak ada kena mengena dengan perlakuan oleh kerajaan Malaysia tetapi liputan berita luar negara cuba memberikan imej buruk kepada kerajaan Malaysia seolah-olah bertanggungjawab terhadap pembunuhan migran-migran tersebut.


Kejadian bot-bot pelarian yang pecah dan karam mengorbankan banyak nyawa termasuk kanak-kanak dan bayi juga telah menarik perhatian dunia khususnya dalam tahun 2015.

Selain itu, pencabulan hak asasi yang dilakukan oleh Myanmar terhadap orang-orang Islam di Rakhine, telah menyebabkan risiko serangan keganasan dilakukan oleh jemaah-jemaah ektrimis Islam dan menjadikan Malaysia sebagai transit kepada pergerakan kumpulan-kumpulan terbabit. Ini dibuktikan tertangkapnya suspek yang disyaki sebagai perancang untuk serangan-serangan ke atas Myanmar di dalam negara baru-baru ini. Dikatakan bahawa suspek adalah berasal daripada Indonesia.

Ini tidaklah menghairankan kerana apabila kita memerhatikan media massa di Indonesia, kumpulan tertentu ini melalui tokoh-tokohnya secara berterus terang memanggil orang Islam umumnya untuk melakukan serangan ke atas Myanmar.

Semua di atas menunjukkan tindakan Myanmar itu bukan sahaja memudaratkan penduduk Islam di dalam negaranya tetapi mempunyai kesan luaran kepada negara Asean yang lain.

Tindakan PM DS Najib walaupun dilihat kontroversi tetapi apa yang agak mengejutkan ialah ia disambut dengan positif oleh media antarabangsa yang berpengaruh. Ini membuatkan momentumnya bukanlah terhad kepada regional sahaja seperti di Asia tenggara atau negara-negara Islam tetapi berkumandang juga di negara-negara maju seperti USA, Perancis dan UK. Mungkin ada pengamal media mereka juga bersimpati atas apa yang berlaku kepada orang Rohingya dan mengambil kesempatan ini untuk memberikan highlight kepada kesengsaraan yang mereka hadapi. 


Media massa yang dimiliki oleh umat Islam dari pelbagai negara pula sudah tentu mengambil kesempatan ini untuk mewarwarkan lagi isu Rohingya ini dan menyusun strategi. Ini termasuklah kumpulan hak asasi manusia dari Myanmar yang terdiri daripada golongan Islam dan bukan Islam yang sekian lama memperjuangkan isu Rohingya ini.

Baru-baru ini Malaysia telah memanggil mesyuarat tergempar OIC bagi membincangkan isu Rohingya. Sudah tentu ia mendapat bantahan keras daripada Myanmar. Dalam ucapannya YAB PM telah menegaskan bahawa penindasan dan pembunuhan terhadap Rohinya mesti dihentikan serta merta. Hasilnya selepas itu OIC telah mengumumkan akan menghantar delegasi peringkat tertinggi untuk menyiasat apa yang berlaku di Rakhine Myanmar.


Ngo dari Malaysia pula bertekad untuk berlayar untuk memberikan bantuan kemanusiaan walaupun tidak mendapat kebenaran daripada Myanmar.

Walaupun kelihatan berkeras, akhirnya Myanmar dilihat tertekan dengan tekanan-tekanan yang diberikan oleh Malaysia dan juga masyarat dunia keseluruhannya. Media Myanmar sendiri menyiarkan berita negaranya akhirnya bersetuju menerima flotilla daripada Malaysia dengan beberapa syarat. Sumber. Diberitakan flotilla makanan daripada Malaysia akan mula berlayar pada 3 Februari 2017 dan disyaratkan berlabuh di Yangon, Myanmar dan bukannya Sittwe seperti yang dirancang sebelumnya.



Media Malaysia melaporkan bahawa daripada Yangon pula makanan akan dipunggah masuk ke lori-lori dan akan mengambil masa perjalanan 2 hari ke Sittwe. Di Sittwe makanan akan diagih-agihkan kepada masyarakat Rohingya di situ. Pengagihan makanan hanya diberikan untuk tempoh 2 hari sahaja. Kemudiannya flotilla akan berlayar ke Teknaf, Bangladesh bagi mengagih-agihkan makanan kepada pelarian yang dianggarkan seramai 150,000 orang disitu.

Dalam pada itu pula, pengumuman yang dibuat oleh DS Zahid Hamidi untuk memulakan skim pengambilan pekerja separuh mahir dari kalangan pelarian Rohingya bagi menjadikan mereka aset kepada negara dan bukannya liabiliti sudah tentu satu langkah positif yang menggembirakan semua pihak khususnya para pemegang kad UNHCR dari kalangan Rohingya ini. 

Sudah tentu dengan penuh debaran kita mengharapkan sesuatu yang positif dapat dihasilkan daripada usaha Malaysia ini. Seterusnya mencari pengakhiran kepada penderitaan umat Islam Rohingya. Amin.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...