Sunday 22 October 2017

Maksud dan Makna Metafizik - Sheikh Hamza Yusuf

Metafizik adalah satu terma yang digunakan dalam abad pertama Sebelum Masihi oleh Andronicus of Rhodes, iaitu editor dan penyusun kepada hasil-hasil kerja Aristotle, merujuk kepada hasil tulisan Aristotle terhadap bidang teologi (berkaitan ketuhanan), yang mana Andronicus telah susunkan selepas tulisan Aristotle terhadap ilmu fizik; 

Terma tersebut secara literalnya membawa makna "apa yang menyusuli fizik". Asalnya hanyalah untuk menunjukkan kedudukan buku hasil tulisan Aristotle mengenai teologi selepas buku Fizik tersebut. Namun demikian, label tersebut kekal digunapakai sebegitu.

Kemudian setelah masa berlalu, ia dikenali ramai sebagai "bidang kajian ilmu terhadap apa yang disebalik dunia fizikal". Aristotle sendiri seringkali merujuk perkara tersebut sebagai "teologi" dan kadangkala sebagai "falsafah yang terawal".

Dikatakan terawal kerana ia berkaitan dengan punca terawal setiap sesuatu, dan bukannya merujuk kepada nilai sifat sesuatu itu. Aristotle meyakini ianya sebagai salah satu bidang kajian terpenting yang harus ditempuh oleh manusia.


Ahli metafizik mencari kefahaman mengenai "zat" atau "kewujudan" sebagai sesuatu yang wujud, berlainan dengan ahli fizik yang lebih memahami "zat" itu sebagai objek yang bergerak, atau seorang ahli matematik yang mendalami "zat" sebagai kuantiti yang abstrak, atau bagi seorang ahli sains yang mengkaji kesemua kepelbagaian sebagai spesis haiwan dan bukan haiwan.

Ahli metafizik juga cuba untuk memahami jenis-jeniz zat, termasuklah yang bukan materi iaitu di dalam kefahaman hakikat bukan materi seperti Tuhan, para malaikat, ruh, serta pengalaman keruhanian di dalam alam yang tidak ada misal perbilangan.

Metafizik juga adalah sains bidang abstrak, yakni percubaan untuk memahami hakikat setiap sesuatu daripada segi unsur bukan materi dan lebih universal. (Sains Fizikal, dari segi ini, mempunyai dimensi metafizikalnya tersendiri iaitu di dalam undang-undang universal terdapat beberapa kenyataan tentang unsur yang abstrak atau terasing dari setiap satu kejadian yang berlaku itu). 


Matlamat Metafizik adalah untuk memahami prinsip-prinsip yang terawal termasuklah isu sebab-sebab (asbab) kepada akibat, fitrah asbab itu, skop asbab dan hadnya. Kebiasaannya ia meneliti apa yang difikirkan oleh akal manusia, termasuklah apa yang manusia itu anggap sebagai sesuatu yang diterimapakai oleh semua orang (pra-tanggapan). Termasuklah penelitian terhadap bagaimana kita menanggapi dunia di depan mata dan apakah impak pra-tanggapan kepada kehidupan manusia. Kajian terhadap kesan pra-tanggapan ini jarang sekali dikajiselidik oleh kebanyakan orang. 

Sebagaimana kata-kata Socrates "Kehidupan yang tidak dikajiselidik adalah kehidupan yang tak bernilai".

Secara pastinya, metafizik menunjukkan kaedah menganalisa permasalahan dari prinsip paling asas, yang kemudiannya membolehkan soalan-soalan yang lahir daripada sesuatu permasalahan itu cuba dijawab pada peringkat asbab (sebab-sebab kepada akibat). Yakni pada peringkat yang akar umbi yang terselindung dari pandangan mata zahir. Bukan hanya mencari jawapan kepada sesuatu permasalahan dari cabang-cabangnya yang terlihat pada mata zahir.

Dari segi ini, metafizik mendahului segala kaedah-kaedah. 
...



Terjemahan Bebas serta dari Sumber Asal.

Untuk melihat artikel penuh berbahasa Inggeris sila ke; https://renovatio.zaytuna.edu/article/the-matter-of-metaphysics

Makna Maksud Takrif Definasi Metafizik
Apa itu metafizik

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...