Gambar dari Blog Tun Abdul Hamid |
Pandangan Mantan Ketua Hakim Negara ke-12 itu
yang disiarkan di Blog beliau.
Link seperti di bawah.
SALAHKAH
JIKA PENGUSAHA LAUNDRET
MELETAKKAN TANDA “UNTUK ORANG ISLAM SAHAJA”?
Jawapan
saya: Tidak.
Sepanjang
ingatan saya, saya tidak pernah berjumpa satu peruntukan undang-undang di
Malaysia yang mengatakan perbuatan itu salah di sisi undang-undang. Tolong
tunjuk kepada saya jika ada.
Pengusaha
laundret adalah seorang individu, bukan pihak berkuasa kerajaan. Peruntukan
Perlembagaan mengenai kesamarataan (Perkara 8) tidak terpakai kepada seorang
individu. Peruntukan itu hanya terpakai kepada kerajaan.
Mari kita
lihat peruntukan berkenaan.
Klausa (1)
mengisytiharkan bahawa setiap orang adalah sama rata disisi undang-undang dan
berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.
Klausa (2)
pula melarang adanya diskriminasi, antara lain, atas alasan agama dalam
mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan dalam
sesuatu pihakberkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang
berhubungan dengan perkara yang tersebut dalan klausa itu.
Perhatikan
bahawa semua larangan itu tidak berkenaan dengan seorang individu.
Pengusaha
laundret adalah seorang ahli perniagaan. Dia boleh memilih untuk berniaga
dengan sesiapa yang dia mahu. Dia tidak perlu memberi apa-apa sebab kepada
sesiapa.
Seorang
peniaga tentu sekali mahu perniagaannya maju. Untuk itu dia perlu menarik
seberapa ramai pelanggan ke kedainya. Jika, sebagai seorang pengusaha laundret,
dia dapati perniagaannya lebih maju jika ia dibuka kepada orang Islam sahaja,
terserahlah kepadanya untuk membuka kedainya kepada orang Islam sahaja.
Jika
kebanyakan bakal pelanggannya orang Islam dan mereka tidak akan datang ke
kedainya jika mesin yang sama digunakan untuk mencuci basuhan orang bukan Islam
biar apa pun sebabnya, apa salahnya jika dia meletakkan tanda itu? Kita tidak
boleh menyalahkan pengusaha laundret jika pelanggan atau bakal pelanggannya
tidak suka mesin yang sama digunakan oleh orang bukan Islam untuk mencuci
basuhan mereka. Kita juga tidak boleh menyalahkan pelanggan atau bakal
pelanggan pekedai itu jika mereka tidak mahu pergi ke kedai itu jika hal
seperti itu berlaku. Mungkin mereka merasa jijik, kotor atau geli memikirkan
seluar dalam yang dipakai oleh orang-orang yang tidak membasuh najis kencing,
berak dan haidnya atau tuala yang mungkin digunakan untuk mengeringkan bulu
anjing juga dimasukkan untuk dicuci dengan mesin yang saya walaupun secara
berasingan.
Satu cara
lain untuk mencapai tujuan yang sama ialah dengan meletakkan
tanda
yang menyatakan: Tidak dibenarkan memasuki culi atau seluar dalam yang dipakai
oleh orang-orang yang tidak mencuci kencing, berak dan darah haid dengan air; tuala
yang digunakan untuk mengeringkan atau terkena bulu anjing atau pakaian atau
kain yang terkena darah, daging
atau
mana-mana bahagian daripada babi atau makanan yang diperbuat daripadanya!
Kita tidak
boleh mengharapkan seorang pengusaha laundret untuk menulis sedemikian dan
siapakah yang akan membacanya?
Perlu
diingati bahawa ini bukan sahaja soal hukum. Ini juga soal perasaan seseoang
pelanggan atau bakal
pelanggan
terhadap persepsinya mengenai perkara tersebut dan reaksinya. Pengusaha
laundret adalah penerima akibatnya. Salahkah jika dia cuba mengurangkan
kerugiannya dengan berusaha mengelak sebabnya? Mungkin dia sendiri pun merasa
geli melihat perkara seperti itu berlaku. Salahkah jika di cuba mengelaknya?
Demikian
juga, kebanyakan orang Islam keberataan menyewa rumah mereka kepada orang bukan
Islam kerana mereka tidak mahu anjing, makanan yang mengandungi daging babi
atau minuman arak di bawa masuk ke dalam rumah mereka atau mereka tidak mahu daging
babi
atau
makanan yang mengandungi daging babi atau minuman arak diletak di dalam peti
ais mereka, jika ia disediakan. Salahkah jika dalam iklan mereka
menyebut "Orang Islam Sahaja"?
Jangan
terlalu sensitif terhadap perasaan orang bukan Islam sehingga orang bukan Islam
tidak perlu sensitif terhadap perasaan orang Islam. Ini tanggungjawab bersama.
Tun Abdul Hamid Mohamad
13 10 2017
Link Lagi
http://www.malaysianbar.org.my/selected_judgements/gender_discrimination_beatrice_fernandez_v._sistem_penerbangan_malaysia_anor_2004_ca.html
No comments:
Post a Comment