Thursday 12 October 2017

Misteri Stephen Paddock - Suspek Kes Tembak Orang Awam di Nevada, Las Vegas


Suspek di dalam kejadian tembakan terhadap orang ramai dalam sebuah konsert penyanyi lagu country di Nevada, Las Vegas, Amerika Syarikat baru-baru ini dikenali sebagai Stephen Paddock.

Individu bernama Stephen Paddock ini menimbulkan tandatanya mengenai motifnya melakukan perbuatan yang sama sekali tidak dijangkakan oleh sesiapa pun yang mengenali dirinya. Walaupun kumpulan Daesh cuba mengambil kesempatan dengan mendakwa individu yang seorang penjudi profesional itu telah masuk Islam beberapa bulan sebelumnya dan tindakannya itu menjalankan kerja-kerja jihad Daesh tetapi pihak siasatan Amerika Syarikat sehingga kini amat sukar mempercayai dakwaan Daesh itu.

Selain merupakan seorang penjudi profesional yang berjudi sehingga satu juta US Dolar semalaman, Paddock tidak dikenali tertarik dengan mana-mana fahaman atau pun agama. Paddock juga mempunyai seorang wanita berusia 62 tahun yang berasal daripada Filipina. Sebelum melakukan perbuatan menembak itu Paddock telah menghantar teman wanitanya itu ke Filipina dan setelah wanita itu tiba di sana Paddock mengirimkannya duit kira-kira 100 ribu US Dollar untuk wanita itu membeli rumah. Teman wanitanya itu beranggapan mungkin Paddock hendak memutuskan hubungan mereka dengan tindakan itu.

Beliau sama sekali tidak menyangka Paddock akan membuat perbuatan jenayah atau keganasan sehingga menyebakan kematian 58 orang dan kecederaan lebih 500 orang. Satu kecelakaan yang merupakan jumlah korban yang terbesar bagi kes tembakan terhadap awam di Amerika Syarikat. Teman wanitanya itu tidak dapat menceritakan tentang kelakuan dan peribadi Paddock yang boleh menjangkakannya akan mengambil keputusan seperti itu. Bagi beliau, Paddock adalah seorang yang baik. Cuma kadangkala beliau melihat Paddock mengerang seorang diri di atas katil sambil menyebut Oh My God.

Adik kepada Paddock sendiri merasa terkejut dan tercengang sebaik sahaja mengetahui abangnya melakukan perbuatan tersebut. Beliau mengatakan seolah-olah merasakan langit tiba-tiba runtuh dan sangat kehairanan kenapa abangnya yang dikenali sebagai seorang lelaki normal memilih melakukan perbuatan jenayah seperti itu. Beliau menganggap abangnya seorang yang sangat bijak dan mempunyai duit yang banyak. Beliau bukanlah seorang penjudi yang calang-calang kerana terlibat dalam perjudian jenis risiko tinggi yang sukar tetapi mendatangkan keuntungan besar kepadanya.

Dalam satu kenyataan mahkamah yang diperolehi oleh daripada satu kes tuntutan sivil yang dibuat oleh Paddock, dia menggambarkan dirinya sebagai penjudi yang gemarkan risiko tinggi. Dia berjudi setiap malam dan tidur pada waktu siang. Jika dia menginap di bilik-bilik hotel mewah tetapi dia tidak ada masa untuk bersiar-siar di lobi hotel atau di kolam renang. Dia menyatakan dirinya tidak gemar untuk berjemur.

Penjudi Profesional

Selain itu Paddock menceritakan dirinya sebagai seorang yang happy go lucky. Setiap kali menekan butang untuk bermain mesin judi dia mendapat pulangan sekitar 100 dollar hingga 1,350 dollar. Dalam satu hari dia boleh meletakkan taruhan sehingga 1 juta USD dan tidak menganggap  itu sebagai jumlah yang besar. Paddock berjudi dengan purata 14 jam sehari dan 365 hari setahun.

Ketika berjudi Paddock mengelakkan diri daripada meminum arak bagi memaksimumkan kecerdasan akal fikirannya untuk memberikan tumpuan kepada hasil mesin judi.

Saudara mara rakan wanitanya ada menziarahi Paddock dan Paddock menunjukkan dengan rasa bangga bilik yang menjadi koleksi senjata-senjata yang terdiri daripada raifel bukan automatik dan automatik serta peluru-peluru. Diceritakan Paddock beranggapan adalah menjadi hak kepada rakyat Amerika Syarikat untuk memiliki senjata secara sah mengikut undang-undang. Tetapi sudah kita tidak mahu senjata-senjata ini jatuh ke tangan orang-orang yang tidak dikehendaki, ujarnya.

Bagi sesiapa yang mengenali Paddock mempunyai persepsi Paddock adalah lelaki yang normal. Apa yang mendorong Paddock melepaskan tembakan bertalu-talu dari biliknya di hotel pada malam itu menjadi misteri kepada kumpulan penyiasat. Mereka sukar mencari motif perbuatan Paddock.

Paddock terlalu bijak untuk dikatakan tidak faham sebab dan akibat. Malah dia merancang segalanya dengan teliti. Satu nota ditemui di atas meja di dalam bilik dimana Paddock melepaskan tembakan dan nota itu mengandungi perkiraan matematik mengenai jarak bilik dan padang orang ramai yang menyaksikan konsert pada malam itu. Juga dalam perkiraannya adalah ketinggian bilik dari tanah dan    kecerunan arah tembakan. Ianya adalah bagi memastikan tembakan yang dibuat menghasilkan jumlah korban yang maksimum.

Bagaimana Paddock membuat kiraan untuk melawan mesin judi sehingga boleh menang maka begitulah perkiraan Paddock bagi memastikan tembakannya pada malam itu membunuh seramai nyawa yang mungkin. Hasilnya Paddock telah memecah rekod korban mangsa akibat tembakan ke atas orang awam di Amerika Syarikat.

KEMUNGKINAN MOTIF

Adakah logik Paddock melakukan pembunuhan orang awam itu kerana terpengaruh dengan ideologi Daesh sepertimana yang didakwa oleh kumpulan itu?

Melihatkan tiada tanda-tanda Paddock memeluk Islam seperti mengucap kalimah syahadah di depan 2 orang saksi, pergi ke masjid, bersolat atau membaca buku-buku yang berunsurkan Islam maka motif itu sukar dikaitkan dengannya kecualilah ada bukti baru yang menunjukkan ke arah itu. Ini kerana Paddock sendiri menjalani kehidupan yang bertentangan dengan ideologi seorang Daesh atau pun fahaman seorang muslim yang patuh dan taat kepada ajaran Islam.

Oleh kerana siasatan ke atas Paddock tengah menghadapi jalan buntu, beberapa teori pula muncul sebagai cubaan untuk menjelaskan kelakuan anehnya itu. Ada yang mengaitkan Paddock sebagai seorang yang mengalami penyakit mental. Penyakit mental ini dikaitkan dengan sesuatu yang tidak kena kepada fizikal Paddock. Dalam kes ini adalah otaknya. Golongan yang mengeluarkan teori seperti ini mengaitkan Paddock dengan kes Whitman iaitu seorang remaja yang menembak orang ramai dari atas bangunan satu kejadian yang berlaku dalam tahun 60-an. Remaja itu kemudiannya ditembak mati didapati mempunyai tumor pada otaknya yang dipercayai membuatnya bertindak agresif.

Tetapi mempercayai teori ini sudah tentu mendatangkan masalah lain. Selain tidak ada bukti saintifik yang muktamad untuk mengaitkan tumor dengan sikap memberontak dan mengganas. Jika teori ini diterimapakai sudah tentu menjadikan semua orang yang mempunyai tumor atau masalah ketumbuhan di otak mereka sebagai berpotensi besar menjadi pengganas yang akan melakukan perbuatan pengganas bila-bila masa sahaja.

Kemudiannya adalah mereka yang menghidapi tumor di otak akan dikuarantin atau pun dihadkan pergerakan atau dipantau dengan paksaan memakai peranti tertentu bagi mengelakkan mereka bertindak di luar jangka?

Kasino-kasino pula mempunyai sistem keselamatan yang sangat ketat. Paddock mungkin tidak termasuk dalam orang yang disyaki kerana Paddock adalah seorang VIP dalam kalangan penjudi-penjudi. Paddock diberikan layanan istimewa supaya dia boleh berjudi dengan taruhan wang yang banyak. Pihak keselamatan kasino mungkin sukar mempercayai orang seperti ini terpengaruh dengan ajaran Daesh.

Otak, jiwa dan ruh

Ini juga terjadi kerana fahaman sains yang diterapkan oleh barat dan di sini Amerika Syarikat sangat berorientasikan fizikal atau fizik. Otak adalah sesuatu yang dapat dikesan oleh pancaindera lima tetapi jiwa atau ruh adalah sesuatu yang tidak dapat dikesan dan diuji kaji melalui makmal sains atau makmal pembedahan.

Apa yang mereka gagal kaitkan ialah kehidupan duniawi Stephen Paddock yang tidak normal berbanding kehidupan orang biasa. Stephen Paddock hidup sebagai seorang penjudi handalan sehingga tidak tidur malam kerana berjudi selama 14 jam sehari, 365 hari setahun. Paddock menghidapi penyakit keresahan dan berdasarkan simtom yang diceritakan rakan wanitanya Paddock kadangkala mengerang sendirian di atas katil sambil menjerit. Ini diperkuatkan lagi apabila Paddock disahkan diberikan ubat Valium sebagai menenangkannya daripada keresahan yang menghantui diri.

Penyakit yang dihadapai oleh Paddock secara tepatnya bolehlah dinamakan penyakit jiwa yang berkaitan dengan ruh atau apa yang dipanggil dalam bahasa Inggeris sebagai "soul". Tetapi ini tidak dapat dibuktikan dalam hasil siasatan saintifik yang dijalankan mengikut fahaman sains moden yang tidak bertunjangkan wahyu.

Semua mengakui Paddock seorang lelaki yang baik dan gentleman. Secara moralnya, Paddock tidak melakukan kesalahan apa-apa kepada publik sebelum kejadian itu. Kerana moral itu sendiri adalah mengikut ketetapan persepsi yang difahami oleh manusia itu sendiri. Apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh dibuat adalah berdasarkan naluri manusia yang merasakan ia baik atau buruk.

Sains Fizikal

Tetapi seseorang yang tidak mempercayai adanya kuasa yang lebih tinggi memberikan definasi tersebut boleh sahaja berfikir untuk memilih melakukan sesuatu yang diluar adat kebiasaan fahaman manusia itu. Kerana bagi dirinya ia hanyalah satu persepsi yang mengongkong manusia itu semata-mata dan mengakibatkan manusia itu hidup di atas aturan tertentu. Sekiranya seseorang melakukan perkara yang bertentangan ia sebenarnya tidak mendatangkan apa-apa mudarat jika dia telah mati. Seseorang yang mati tidak dapat menjalani hukuman di atas muka bumi ini kerana itu hanyalah siksaan yang dirasai oleh mereka yang masih hidup.

Mungkin kerana itulah undang-undang dipanggil Kanun Keseksaan. Orang yang melakukan jenayah disiksa kerana perbuatan jenayah itu yang tidak diterima oleh persepsi orang ramai.

Orang yang tidak percaya kepada Tuhan akan memandang rendah akibat jenayah, kerana apabila mindanya telah mengatakan apabila dia mati segala-galanya akan tamat dan dia tidak akan dinilai oleh sesiapa pun kerana dia telah terlepas dari tangkapan polis dan perbicaraan di mahkamah. Kepercayaan seperti inilah yang memberikan risiko kepada menaiknya jumlah potensi pesakit-pesakit jiwa seperti ini yang bakal melaksanakan sesuatu yang diluar jangka.

Sebelum melakukan jenayah, dia juga mungkin tidak memberikan nilai apa pun kepada nyawa mangsa-mangsa yang bakal ditembaknya. Apa yang bernilai adalah individu yang pernah memberikan kesan emosional atau pun hubungan kasih sayang seperti rakan wanita, adik beradik atau sanak saudara.

Kasih-sayang?

Dalam kes ini, Paddock meminta teman wanitanya agar balik ke Filipina dan kemudiannya memberikannya sejumlah wang untuk membeli rumah di sana. Jelas, Paddock tidak mahu menyusahkan teman wanitanya atas satu perbuatan yang jika dia akan lakukan akan menggemparkan satu dunia.

Mungkin Paddock masih membezakan mangsa-mangsa. Kategori manusia yang sepatutnya mati dan kategori manusia yang sepatutnya mati.

Perbuatan Paddock dalam perancangan ini adalah amat teliti dan dia sedar akan sebab akibatnya. Malah Paddock telah merancang untuk membunuh diri sebagai salah satu kemungkinan jika dia tidak dapat melepaskan diri daripada hotel berkenaan. Dan apa yang terjadi ialah dia telah membunuh diri bagi mengelakkan daripada ditangkap sekumpulan polis yang menyerbu biliknya pada ketika itu. Paddock dipercayai menembak dirinya sendiri.

Kenapa Paddock ingin menembak pengunjung-pengunjung konsert tersebut? Kenapa Paddock mahukan mereka mati?

Apakah sifat-sifat khusus pada mangsa-mangsa ini yang menyebabkan Paddock berfikir mereka layak untuk ditamatkan nyawa mereka begitu sahaja?

Satu misteri yang sudah pasti sukar dijawab dengan ilmu pengetahuan sains fizikal manusia biasa.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...