Saturday 6 February 2016

Melihat Perbezaan Antara Mufti Dr Maza dan Ustaz Zamihan Al-Ghari


Kecoh di kalangan umat Islam apabila dua tokoh agamawan ini saling mengeluarkan kenyataan pedas ke atas satu sama lain melalui media sosial. Ada yang maklum mengenai apakah yang menjadi pertikaian di antara dua tokoh yang menegakkan aliran masing-masing tetapi kebanyakannya masih tertanya-tanya apakah isu sebenar yang dihadapi oleh dua tokoh ini. 

Kedua-duanya dilihat mempunyai perseteruan yang kuat dan saling jatuh menjatuhi antara satu sama lain. Maka apakah yang menjadi isu sebenarnya? Berikut adalah analisa secara umum.

Secara ringkasnya, Ustaz Dr Zamihan Mat Zain Al-Ghari ialah presiden Persatuan Ahlu Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) dan aktif dalam memperjuangkan aliran Al-Ashairah dan Al-Maturidiah dalam bab akidah dan memperjuangkan mazhab yang 4, khususnya mazhab Syafie untuk suasana Malaysia ini. Beliau juga tegas dan lantang menentang apa yang dinamakan oleh ramai sebagai kumpulan "Wahabi".

Dr Maza atau nama sebenarnya Dato' Dr Asri Zainul Abidin adalah berorientasikan aliran apa yang dinamakan oleh kumpulan aliran kumpulan ini sebagai salafi. Golongan "salafi" ini memperjuangkan amalan yang ditafsirkan mereka sebagai amalan orang-orang terdahulu yang mereka anggap sebagai tulen dan tidak bercampur dengan rekaan orang terkemudian. Golongan ini menentang apa jua yang mereka anggap sebagai bidaah dan amalan yang dikategorikan mereka sebagai syirik. 

Ruang pertikaian di antara 2 tokoh ini bolehlah dikategorikan kepada 2 iaitu;

1. Akidah
2. Ibadah

Jika berlaku debat di antara 2 orang tokoh ini, inilah 2 bidang yang akan menjadi hujah dan kritikan di antara satu sama lain.

Akidah
Kumpulan yang menamakan diri mereka "salafi", cenderung untuk menyalahkan kumpulan satu lagi kerana mereka berpegang dengan mazhab Asyairah yang diasaskan oleh Abu Hassan As-Shaarie atau Maturidi yang diasaskan oleh Abu Mansur Al-Maturidi. Mereka menuduh mazhab ini adalah rekaan baru (bidaah) dalam soal akidah dan tidak wujud di zaman Nabi SAW, para sahabat, serta 2 generasi selepas itu yang ditafsirkan sebagai selamat dari segi akidah dan amalan mereka. Selain itu terdapat perbezaan di antara mereka mengenai penggunaan takwil dalam menafsirkan dail-dalil syarak. Adakah boleh menggunakan takwil atau pun secara literal semata-mata.

Kumpulan yang mempertahankan aliran Asyairah dan Maturidiah pula memberikan hujah bahawa aliran tersebut adalah sah dan mempunyai sokongan yang sah daripada dalil-dail sumber utama Al-Quran dan As-Sunnah. 

Selain daripada Asyairah dan Maturidiah, golongan tasawuf dan tariqat juga dikaitkan dengan golongan yang kuat menentang golongan salafi ini. 

Ibadah 
Ada beberapa pertikaian untuk subjek-subjek tertentu dalam agama di antara dua kumpulan ini. Antaranya ialah dalam soal tawassul kepada Nabi SAW. Kumpulan Asyariah dan Maturidiah cenderung untuk menerima tawassul secara umum walaupun setelah ketiadaan Nabi SAW. Manakala kumpulan yang menentangnya tidak bersetuju dan mengharamkan tawassul setelah ketiadaan Nabi SAW.

Selain itu isu maulid, doa qunut, bacaan Yasin malam jumaat, ziarah kubur, sedekah Al-Fatihah dan subjek-subjek lain yang kumpulan salafi menolak pengharusan amalannya.

Punca tekanan yang memuncak yang menyemarakkan lagi pertikaian

Dipercayai puncanya ialah apabila gerakan yang mempertahankan Asyariah dan Maturidiah di seluruh dunia menuduh aliran "salafi" ini sebagai punca kepada kegiatan terrorisme atau keganasan di seluruh dunia. Mereka menggelarkannya sebagai wahabi atau salafi jihadi.

Maka beberapa sekatan telah dilakukan bagi menentang pengaruh kumpulan "salafi" ini dari segi pergerakan dan juga penyebaran ideologi. Dikatakan Universiti Al-Azhar di bawah pimpinan baru telah mengeluarkan dari silibus universiti semua buku-buku yang berorientasikan aliran salafi atau wahabi ini.

Secara umumnya aliran salafi ini dikaitkan dengan 3 tokoh yang menjadi tunggak kepada berkembangnya aliran ini iaitu;

1. Sheikh Ibnu Taimiyah
2. Sheikh Muhammad bin Abd Wahab
3. Sheikh Nasirudin Albani


Sheikh Albani yang menjadi rujukan Dr Maza dalam bidang Hadis.

3 tokoh ini dianggap oleh aliran Asyariah dan Maturidiah sebagai kontroversial. Ada yang menganggap tokoh Sheikh Muhammad bin Abd Wahab adalah fitnah Najdi yang dimaksudkan dari hadis Nabi SAW. Sheikh Muhammad bin Abd Wahab inilah puncanya diambil nama "wahabi" tersebut. Beliau dikaitkan dengan keluarnya tanah Arab daripada kerajaan Turki Uthmaniyyah dan pembunuhan ulama-ulama beraliran sufi dan tariqat di tanah Arab yang didakwanya sebagai sesat dan mengamal bidaah dan syirik.

Sementara itu, ulama-ulama berselisih pandangan tentang Sheikh Ibnu Taimiyah. Ada yang menerima dan ada yang menolak Sheikh ini. Ada yang menerima tetapi mengkategorikan pandangan-pandangan beliau sebagai ganjil. 

Bagi Ustaz Zamihan, beliau menolak Sheikh Ibnu Taimiyah secara total. Di sini kita bakal melihat tentangan sengit di antara dua pihak iaitu Ustaz Zamihan dan Dr Maza kerana seolah-olah tidak ada titik persamaan dari segi cabang-cabang utama fiqh. 

Ini juga mengingatkan kembali pertembungan 2 tokoh ulama di timur tengah iaitu Sayid Hassan As-Saqqaf mewakili aliran bermazhab serta asyairah maturidiah dengan Sheikh Adnan Aroor yang mewakili aliran salafi.

Debat di antara Sayyid Hassan As-Saqqaf dengan Sheikh Adnan Aroor
disiarkan secara langsung di televisyen.
Sayid Hassan As-Saqqaf merupakan guru kepada Ustaz Zamihan dan antara dakwaan yang dilemparkan oleh kumpulan salafi kepadanya ialah seorang syiah yang berpura-pura sebagai ahlu sunnah. Dakwaan ini kemudiannya terbawa-bawa sehingga Ustaz Zamihan sendiri telah dituduh sebagai seorang Syiah.

Dakwaan ini bertentangan dengan sikap aktif Ustaz Zamihan sendiri yang keras menentang aliran Syiah dan memberikan ceramah anti Syiah di merata tempat. Dikhabarkan Ustaz Zamihan pernah memberikan taklimat kepada majlis Raja-raja bagi pindaan Perlembagaan Persekutuan memasukkan selepas perkataan Islam diikuti dengan perkataan Ahli Sunnah wal Jamaah. Sudah tentu seorang Syiah walaupun bertaqiyah (berpura-pura) tidak akan membuat satu tindakan yang membunuh aliran sendiri.


Sayyid Hassan As-Saqqaf.
Ustaz Zamihan juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa Sayid Hassan AsSaqqaf itu bukan maksum dan pandangan beliau boleh diterima atau ditolak.

Satu persoalan yang menarik adakah debat di Malaysia ini akan mengulangi isi debat di antara Sayid Hassan As-Saqqaf dan Sheikh Adnan Aroor? Apa yang lebih menarik dalam debat itu ialah Sayid Hassan As-Saqqaf dilihat berhujah dengan cerdas dan lebih bersedia dengan rujukan. 

Namun demikian kedua-dua pihak dilihat mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing dalam debat tersebut. Ada juga kritikan daripada Sheikh Adnan Aroor terhadap Sayid Hassan As-Saqqaf perlu diambil berat seperti dalam hal mengkafirkan sahabat tertentu.

Debat Ustaz Zamihan dan Dr Maza ini berlaku ketika suasana dalam negara sedang menumpukan kepada usaha-usaha kepada menentang fahaman Islam ekstrem yang melibatkan kumpulan Daesh. Dikatakan pula kumpulan ini banyak mengambil rujukan daripada aliran salafi seperti Sheikh Ibnu Taimiyah, Sheikh Muhammad bin Abdul Wahhab dan Sheikh Abdullah Azam untuk dijadikan modul perjuangan mereka.

Debat ini juga berlaku ketika ada negeri-negeri bertegas dengan aliran salafi dan wahabi sehinggakan beberapa tokoh dilarang untuk masuk dan mengajar di negeri-negeri tertentu. Mungkin disebabkan terasa tekanan semakin memuncak, Dr Maza mengambil langkah bersetuju untuk berdebat dengan matlamat untuk menghasilkan sesuatu yang positif bagi aliran mereka.

Sudah tentu ramai yang keliru mengenai apa yang berlaku dan kenapa kedua-dua tokoh ini ingin berdebat. Ada pula yang tidak kisah debat diadakan supaya kedua-dua tokoh ini dapat berbincang dan mencari penyelesaian masing-masing.

Pada pandangan penulis, perkara yang diperdebatkan ialah perkara besar dan telah menjadi pertikaian di antara umat Islam selama beratus tahun. Walaupun pada zahirnya yang melakukan debat adalah dua susuk lelaki orang tempatan tetapi mereka mewakili aliran masing-masing yang berkembang di seluruh dunia. Adalah terlalu ambitious sekiranya ia dianggap sebagai pertikaian peribadi di antara dua tokoh agamawan yang begitu mudah untuk diselesaikan.

Adakah perdebatan di antara dua tokoh agamawan tempatan ini akan berlaku juga dan menjadi siaran langsung sebagaimana diwar-warkan? Mari kita tunggu dan lihat.

Keywords
Ektremisme agama di Malaysia : Satu Perbincangan
Debat Ustaz Zamihan Dr Asri / Dr Maza 
Diskusi ilmiah salafi wahabi jihadi
Maza vs Zamihan

9 comments:

  1. melihat post ni, nampak sngt dibuat berdasarkan kajian dr sebelah pihak saja. tak adil. Sudahkah tabayyun seperti mana yg Alah suroh? Sudahkah clarify setiap hujah dan pendapat dari mereka, mmbuat bacaan dgn hati yg lapang n ikhlas? mengkaji untuk mencari kebenaran bukan untuk mmbuka aib dan buat fakta palsu..saudara, mengkafirkan (baca baik2,, bukan kritik tapi mengkafirkan) sahabat radhiallahuanhum secara jelas itu bukan lg ahli sunnah wal jamaah..baik guru atau murid, baik helah(tipu) atau secara terang2 di youtube atau debat..kita tidak respect org yg menghina sahabat nabi, bahkan kita keji manusia yg keji sahabat baginda saw..walaupon pandangan beliau nampak "cerdas" "berilmuan".. sekian.

    Ya..saya x suka hassan as saqqaf dan saya x suka zamihan, bkn kerana dengki tp kerana akhlak mereka dlm berdakwah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ustaz Zamihan dan Sheikh Hassan Saqqaf adalah dua individu berbeza. Belum tsabit untuk mengatakan Sheikh Hassan Saqqaf itu syiah. Malah jika diberikan kemungkinan itu ada belum tentu pula segala murid beliau itu menjadi syiah.

      Kerana seseorang itu boleh sahaja berguru dengan ramai orang. Dalam satu universiti juga terdapat pensyarah dengan pelbagai fahaman. Student pula bebas berguru dengan bermacam-macam jenis pensyarah. Untuk mengatakan student itu berfahaman dengan fahaman pensyarah tertentu adalah kurang tepat apatah lagi adanya penafian.

      Jika seseorang "dilihat" mengkafirkan sahabat tertentu, tidaklah boleh dikatakan seorang lain juga yang ada perkaitan murid guru juga mempunyai pandangan yang sama. Apatah lagi guru kepada Ustaz Zamihan bukanlah seorang itu sahaja bahkan ramai.

      Wallahua'lam.

      Delete
  2. Ada info anda yg kurang tepat.. Baca dan ikutilah Kedua2 fb mereka.. Maka akan lihat perbezaan.

    ReplyDelete
  3. Nak dengar apa dengan Ustaz Zamihan tu.Dia pn berguru dengan Tok Guru aliran Syiah.M3ngaku ahli sunnah waljamaah.Dah tu mengkafirkan orang pulak serta mencaci ulama'.

    ReplyDelete
  4. zamihan.. berakhlak rendah, kerana apa yg diperkatakan atau hujahkan adalah dari mulut beliau sahaja yg bangga dgn ilmunya..bukan dari hati beliau..kerana akhlak yg baik hanya dtg dari hati yg bersih.. insyaallah allah tidak bersamanya ketika meyampaikan ilmu. sebab tu dia boleh maki sana sini, kafirkan org sesuka hati dia..kita doakan dia mendapat hidayah dari allah. agamawan yg bijak bukan hanya boleh menghafal tapi kena lebih bijak dan perlu otak yg cerdik utk menghuraikan utk kefahaman yg satu(benar) kerana kebenaran hanya ada satu sahaja.

    ReplyDelete
  5. Ustaz Zamihan berkata " bukan semua syiah itu kafir",dan "umat islam di malaysia hendaklah patuh kuasa pada kuasa tertinggi iaitu kuasa eksekutif", "apa jua yg ditetapkan kuasa eksekutif" (bukankah umat islam sepatutnya lebih patut patuh pada Al Quran dan Sunnah?)katanya dalam salah satu ceramahnya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pandangan ulama muktabar Islam sekarang adalah syiah itu ahli kiblat maka bukan tergolong kafir atau keluar dari Islam. Kecuali sebahagian puak syiah yang jelas kekafirannya dengan perbuatan tertentu seperti menyembah Syaidina Ali r.a.

      Atas alasan itulah secara umumnya syiah masih lagi dibenarkan masuk ke Makkah menunaikan haji. Perlu diingat juga syiah ada banyak cabang dan bukan datang daripada Iran sahaja.

      Kuasa eksekutif pula adalah kuasa pemerintah yang bertanggungjawab mentadbir berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah jua. Tidak salah mengatakan taat kepada pemerintah kerana itu juga adalah arahan yang terbit daripada Al-Quran dan As-Sunnah juga.

      Walaupun di sini kita tidak tahu secara jelas samada Ustaz Zamihan ada menyebut sebegitu kerana tiada rujukan tetapi jika ada ia tidak menjadi kesalahan.

      Delete
  6. Assalamualaikum..saudara anonymous,sy bukan berilmu tinggi macam saudara tapi jika DNA sheikh hassan as saqqaf itu benar2 keturunan nabi muhammad SAW,boleh tak sy mintak di akhirat nanti saudara bertanggungjawab kelak..?? Sy marah sebab org yg menuduh keluarga Nabi shallallahu alaihi wasallam sebagai org yg buruk,jika saudara beranggapan sedemikian maka sy kata saudara adalah makhluk yg sombong dgn ilmu saudara miliki sekarang..tapi biar saje Allah yg membalasnya dan samada buruk atau baik..Aamiin2..

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum..saudara anonymous,sy bukan berilmu tinggi macam saudara tapi jika DNA sheikh hassan as saqqaf itu benar2 keturunan nabi muhammad SAW,boleh tak sy mintak di akhirat nanti saudara bertanggungjawab kelak..?? Sy marah sebab org yg menuduh keluarga Nabi shallallahu alaihi wasallam sebagai org yg buruk,jika saudara beranggapan sedemikian maka sy kata saudara adalah makhluk yg sombong dgn ilmu saudara miliki sekarang..tapi biar saje Allah yg membalasnya dan samada buruk atau baik..Aamiin2..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...