Nasyid Sifat 20 ini diajarkan kepada sesetengah kita sejak kanak-kanak lagi. Tidak hairan jika kanak-kanak boleh menghafalnya. Kini ada kanak-kanak itu sudah pun menjadi dewasa dan mempunyai anak-anak pula. Tetapi adakah kita telah memahami dan menghayati makna-maknanya. Seterusnya menjadikannya sebagai "pakaian" kita seharian?
Audio - Youtube Raihan - Sifat 20
---
هَيَّا نَذْكُرْ صِفَاتَ الله
Marilah kita menyebut sifat-sifat Allah
هَيَّا نَعْرِفْ وَحْدَانِيَّتَه
Marilah kita mengenali ke-esaanNya
---
الله
---
وُجُود
Ada/Wujud
(1 sifat)
---
قِدَم بَقَاء مُخَالَفَتُهُ لِلْحَوَادِثِ قِيَامُهُ بِنَفْسِهِ
Sedia ada, Kekal Selamanya, Bersalahan dengan yang baharu, Berdiri dengan sendirinya
وَحْدَانِيَّة
Satu/Esa
(5 sifat salbiah, sifat yang menafikan persamaan dengan makhluk)
----
ٌقُدْرَة إِرَادَة عِلْم
Kudrat/kuasa Kehendak Ilmu
حَيَاة
Hidup
سَمَع بَصَر كَلَام
Mendengar/Pendengar Melihat/Pelihat Berkata-kata/Pekata
(7 sifat Maani, sifat yang ada)
---
قَادِرًا مُرِيدًا عَلِيمًا
Hal Keadaannya Berkuasa Hal Keadaanya Berkehendak Hal Keadaannya Mengetahui
حَيّاً
Hal Keadaanya Hidup
سَمِيعاً بَصِيراً مُتَكَلِّماً
Hal Keadaannya Mendengar Hal Keadaannya Melihat Hal Keadaannya Berkata-kata
(7 sifat perbuatan atau hal dikenali sebagai Maa'nawiyah)
(Berbeza syarahan mengikut mengikut Maturidi atau Asyairah)
--***--
Penerangan
Ini adalah modul yang dibangunkan oleh para ulama bagi mengenal sifat-sifat utama Tuhan Yang Maha Esa yakni Allah Azza wa Jalla berdasarkan 7 sifat Tuhan yang dijumpai di dalam Al-Quran. Sifat tujuh ini dinyatakan di dalam Kitab Fiqh Al-Akbar, kitab yang ditulis oleh ulama Hanafiah yang berdasarkan pengajian yang diberikan oleh Imam Abu Hanifah.
Syarahannya yang kemudian dibangunkan oleh Imam Abu Mansur Al-Maturidi yang kini dikenali sebagai aliran Maturidiah.
Satu lagi aliran adalah yang dipelopori oleh Imam Abu Hassan Ashaari yang kini dikenali sebagai aliran Asyairah. Pada asal tulisannya adalah menggunapakai 13 sifat utama kerana tidak memasukkan 7 sifat perbuatan qadim seperi aliran Maturidiah.
Namun demikian, terdapat ulama-ulama dalam aliran Asyairah sendiri yang menggunapakai sifat hal yang disebut Maa'nawiyah maka tersusunlah kesemuanya menjadi 20 sifat Allah yang wajib dengan memasukkan 7 sifat hal.
Berdasarkan tulisan Ibnu Asakir, Imam Abu Hassan Ashaari ini memulakan usaha ini selepas mengalami mimpi berjumpa Rasulullah SAW yang meminta beliau mempertahankan agama Islam berdasarkan apa yang telah diriwayatkan dari Al-Quran dan Sunnah.
Bukannya seperti golongan Muktazilah pada ketika itu yang melebihkan akal dengan menolak apa yang disampaikan melalui Al-Quran dan riwayat Hadis yang dilihat mereka bertentangan dengan akal.
Maka pendekatan yang dianugerahkan kepada Imam Abu Hassan Ashaari ialah kemampuan menafsirkan ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW dengan menggunakan akal secara munasabah tanpa menolak apa-apa yang telah disampaikan oleh Nabi SAW.
Ia adalah pendekatan tadabbur Al-Quran dan hadis dalam pada masa yang sama "tadabbur" atau mengamati tanda-tanda pada alam dengan menggunakan akal secara saksama.
Ia berbeza dengan satu kelompok umat yang melihat Al-Quran dan Hadis tetapi bersikap keterlaluan dalam penafsiran literal semata-mata tanpa mengamati alam dan berlakulah kesilapan dalam penafsiran. Kebanyakan kesilapan ini adalah bersifat kosmologi dan juga kesilapan dalam berfikir.
Wajib Aqli vs Wajib Syarak dan 3 Hukum Akal
Perlu difahami "wajib" di sini bukanlah bermaksud wajib secara syarak seperti contoh wajib solat 5 kali dalam sehari. Tetapi wajib di sini bermaksud wajib pada akal atau wajib aqli.
Wajib aqli ini bermaksud akal tidak dapat menerima kemungkinan atau probability sifat itu tiada. Maka dengan ini, ianya disyarahkan juga bersekali dengan 3 hukum akal iaitu Wajib, Mumkin/Harus, Mustahil.
Wajib aqli ini juga adalah berdasarkan dalil nas Al-Quran dan Al-Hadis, maknanya semua sifat 20 ini ada dinyatakan di dalam nas syarak.
Bukan terhad 20 Sifat
Bukanlah juga bermakna sifat-sifat Allah itu terhad kepada 20 semata-mata. Tetapi sifat 20 itu adalah sifat fundamental yang mana dengannya seorang insan itu mengenal sifat-sifat Allah yang lain. Ini juga kerana Allah telah menjadikan 7 sifat baharu pada diri insan yang sama lafaznya tetapi berlainan maknanya kerana perbezaan sifat baharu dan sifat qadim. Dengan sifat 7 inilah manusia mula mengenal Tuhannya.
Perbahasan Sifat Baharu dan Qadim
Qadim = Yang tiada permulaan
Maka dengan itu modul ini membahaskan perbezaan sifat baharu pada insan makhluk ciptaan dan sifat qadim yang dimiliki Sang Pencipta. Secara asasnya sesuatu yang bermula dengan tiada kemudian ia ada ialah sifat baharu. Sifat baharu juga menunjukkan ianya juga boleh berakhir atau musnah.
Sesuatu sifat yang tidak bermula dengan tiada dan dia sentiasa ada tanpa berakhir, maka ia adalah sifat qadim. Sifat qadim juga menunjukkan ianya tidak berakhir yang turut dinamakan Baqa' iaitu berkekalan tiada akhirnya.
Susunan Sifat
Struktur utama modul bolehlah disusun seperti berikut;
1 + 5 + 7 = 13 sifat (Asal modul Asyairah)
1 + 5 + 7 + 7 = 20 (Modul Maturidi dan sebahagian Asyairah)
5 sifat salbiah itu pula adalah syarahan atau perbahasan bagi mentafsirkan 5 sifat Tuhan yang ada di dalam Surah Al-Ikhlas. Surah Al-Ikhlas adalah satu surah yang menjadi asas kepada penciptaan alam.
4 daripada sifat 5 itu adalah berkaitan dengan sifat (Awal, Akhir, Zahir dan Batin) yang mana sifat 4 ini dinyatakan di dalam ayat Al-Quran itu sendiri.
Maka 5 = 4 + 1. Maka 1 di sini adalah berkaitan Ahad atau Esa yang bersifat dengan tunggal dan unik. Modul juga membahaskan perkataan Esa (Ahad) dan Satu (Wahid) yang mendalam perbahasannya dan menarik bagi siapa yang meminati ilmu.
Sifat 7
Sifat 7 juga boleh disusun menjadi 3 + 1 + 3. Simboliknya menjadi 313.
7 = 3 (Ilmu, Irodah, Qudrah ) + 1 (Hayah) + 3 (Sama', Basar, Kalam)
Syarahan boleh jadi 313, 133 atau 331 mengikut konteks ilmu.
Ilmu tadbir, tamadun Islam dan tanda-tanda kekuasaan Allah
Dari sini pecah masuk kepada ilmu tadbir kerana insan itu menggunapakai sifat 7 (Baharu) ini berulang-ulang setiap hari. Maka umat Islam membangunkan Tamadun Islam dengan sifat 7. Barulah jadi Madani secara hakiki.
Mempelajari, mengetahui dan beramal dengan sifat-sifat ini termasuklah amalan memerhatikan alam dan tanda-tanda kebesaran Yang Maha Pencipta. Tanda-tanda kebesaran itulah menunjukkan sifat-sifat Tuhan yang qadim dan mutlak serta menjadi punca utama penciptaan dari tiada kepada adanya makhluk.
Alam itu adalah apa jua selain Allah. Termasuklah alam semesta dan diri kita sendiri.
Dengan memerhatikan alam dan diri kita sendiri, kita memahami bahawa sifat-sifat makhluk itu bukanlah berdiri sendiri tetapi tertakluk kepada satu Zat yang berdiri dengan sendiri dan tidak memerlukan apa jua selain diriNya.
Itulah dinamakan sifat Iftiqar iaitu sifat kebergantungan atau keberhajatan. Dengannya kita memahami bahawa apa yang wajib pada akal dibergantungkan itu dan dihajati itulah satu-satunya Yang Layak Disembah.
Wallahua'lam
JAPDKIHBBAYRA

No comments:
Post a Comment