Saturday 29 April 2023

Adakah Ibnu Sayyad itu Dajjal yang dimaksudkan?


                      

Kisah Ibnu Sayyad

Umumnya, semua orang Islam mengetahui wujudnya Al-Dajjal yang dimaklumkan kedatangannya melalui perkhabaran dari hadis-hadis Nabi SAW. Fitnah terbesar kepada umat manusia semenjak Nabi Adam A.S.

Ramai pula tidak mengetahui tentang wujudnya seorang lelaki pada zaman Nabi SAW yang mana para sahabat Nabi SAW malah umat Islam sehingga hari ini berselisih pandangan sama ada ianya Al-Dajjal yang dimaksudkan atau tidak.

Selepas Nabi SAW berhijrah dari Makkah ke Madinah, di situ terdapat seorang lelaki muda atau seorang budak dari keturunan orang yahudi. Namanya ialah Sofi ibnu Sayyad. Juga boleh dipanggil Sofin. Orang memanggilnya Ibnu Sayyad (Soyyad). 

Ketika itu masih budak yang belum baligh. Ketika itu telah tersebar berita di kalangan para sahabat yang dia itu adalah Al-Dajjal yang direncanakan akan keluar pada akhir zaman.

Rasululullah SAW sendiri tidak diberikan oleh Allah dengan ilmu tentang hakikat budak lelaki ini, adakah dia Al-Dajjal atau pun bukan.

Para sahabat dan orang Madinah ketika itu takut dan amat khuatir dengan budak ini. Budak aneh yang mempunyai keupayaan luar biasa seolah-olah seorang dukun, penyihir, ahli ramal dan dikatakan mempunyai hubungan serta berinteraksi dengan para syaitan yang membantunya dengan berita-berita tentang masa depan seseorang.

Ahli sejarah pula tidak dapat mengesan secara pasti salasilah keturunan yahudi yang dinisbatkan kepada Ibnu Sayyad ini. Tidak juga nasab Arabnya jika ada. Terdapat dakwaan dari Ibnu Sayyad sendiri yang beliau serta anaknya adalah dari Bani Najaz, tetapi Bani Najaz sendiri bersumpah atas mimbar Nabi SAW yang Ibnu Sayyad bukan dari kalangan mereka. 

Di sini asal usul Ibnu Sayyad itu menjadi misteri.


Perihal Nabi SAW menguji Ibnu Sayyad

Rasulullah SAW pun mahu mengetahui adakah Ibnu Sayyad ini adalah Al-Dajjal atau pun bukan. Pada suatu hari, Nabi SAW datang kepada Ibnu Sayyad ketika orang Yahudi yang lain sedang bekerja di ladang.

Nabi SAW berkata kepada Ibnu Sayyad,

      “Adakah engkau bersaksi bahawa aku ini Rasulullah (utusan Allah)?”

Ibnu Sayyad menjawab,

      “Aku bersaksi bahawa anda adalah Nabi bagi para ummi (kaum yang buta huruf)”.

(Umat Yahudi menggelarkan bangsa Arab sebagai ummiyyin iaitu golongan yang buta huruf)

Perkara yang aneh berlaku apabila Ibnu Sayyad pula bertanya kepada Nabi SAW,

      “Adakah engkau bersaksi bahawa aku ini Rasulullah (utusan Allah)?”

Nabi SAW menjawab balik,

      “Aku berlindung dengan Allah. Aku beriman dengan Allah dan para rasul-Nya”

Nabi SAW kemudian bertanya?

      “Siapa yang engkau lihat?”

Ada yang menafsirkan pertanyaan ini bermaksud apa yang engkau lihat ketika di dalam mimpi atau keadaan jaga. Perincian ada dinyatakan di bawah.

Ibnu Sayyad menjawab,

      “Aku lihat satu yang benar dan satu yang dusta”

Nabi SAW berkata kepadanya,

      “Telah bercampur baur urusan engkau (baik bercampur buruk). Maka engkau tidak tahu hakikat urusan sebenarnya


Ibnu Sayyad cuba membaca fikiran Nabi SAW

Pada suatu hari yang lain pula, Nabi SAW berkata kepada Ibnu Sayyad,

      “Aku sembunyikan dalam dadaku/fikiranku sesuatu. Aku mahu engkau cuba menekanya”

Ibnu Sayyad berkata,

      “Ad-Dukh..”

      “Apa yang engkau katakan?” Tanya Nabi lagi.

      “Ad-Dukh..” ulang Ibnu Sayyad.

Maka Nabi SAW pun berkata, 

      “Pergi jauh. Setakat itu sahajalah kemampuan engkau”

Apabila Nabi SAW ditanya apa yang disembunyikan, Nabi SAW menjawab,

      “Telah diturunkan ke atas aku satu surah namanya Ad-Dukhan.”

Dikatakan budak tersebut mendapat ilham daripada para syaitan tetapi ilham tersebut tidak mampu menjelaskan sepenuhnya apa yang sebenarnya disembunyikan dalam fikiran Nabi SAW. Ini dilihat dari kemampuan Ibnu Sayyad mendapat tahu perkataan itu sebagai Ad-Dukh, iaitu separuh daripada perkataan sebenar iaitu Ad-Dukhan.


Penglihatan Ibnu Sayyad 

Dalam riwayat yang lain, Nabi SAW bertanyakan Ibnu Sayyad,

        “Apa yang engkau lihat?”

                “Aku lihat arash (singgahsana) di atas air” jawab Ibnu Sayyad.

        “Engkau telah lihat arash Iblis di atas air” kata Nabi SAW.

                “Aku lihat beberapa yang benar dan beberapa yang dusta. Atau beberapa yang dusta  dan satu yang benar” kata Ibnu Sayyad.

         “Telah bercampur aduk dakwaan engkau” kata Nabi SAW.

Syarahan ulama menjelaskan beberapa yang benar (صادقين) dan beberapa yang dusta (الكاذبين) boleh membawa maksud orang atau individu (seperti malaikat dan syaitan) atau pun perkhabaran itu sendiri atau samada khabar benar atau dusta.

Maknanya ada telahan Ibnu Sayyad itu tepat tetapi ada pula yang meleset.

Ini adalah seperti modus operandi seorang scammer atau dukun yang penipu. Dia akan memberikan info berkenaan sesuatu perkara dan orang yang mendengarnya akan merasakan kebenarannya tetapi tanpa disedari dia akan memasukkan unsur-unsur penipuan atau dusta kemudiannya.

Nabi SAW menyiasat siapa Ibnu Sayyad

Pada satu hari yang lain pula, Nabi SAW bersama Umar Al-Khattab RA datang secara senyap  bergerak dari pokok ke pokok menuju ke tempat Ibnu Sayyad untuk menyelidik atau menyiasat lebih lanjut. Dilihat Ibnu Sayyad tengah berbaring seakan tengah tidur dengan mulutnya berkata sesuatu yang tidak jelas.

Sebaik sahaja Nabi SAW mendekati budak itu untuk mengamati apa yang disebutnya, perkara itu disedari oleh ibu kepada Ibnu Sayyad. Lalu ibunya keluar dari rumah dan berteriak, “Wahai Sof, wahai Sof. Ini Muhammad (SAW)”.

Nabi SAW memberitahu “Jikalau ibunya membiarkan, sudah tentu aku dapat tahu apa yang sebenarnya”. Iaitu samada Ibnu Sayyad itu Al-Dajjal atau bukan.

Kerana hakikat perkara ghaib itu hanyalah diketahui oleh Allah SWT secara mutlak. Adapun makhluk ciptaan, telah tetap padanya kekurangan dari segi ilmu dan kemampuan perbuatan.

Antara usaha yang dilakukan oleh Nabi SAW ialah menghantar Abu Zar RA untuk bertanya kepada ibu Ibnu Sayyad berkaitan kelahirannya.


Kisah Umar Al-Khattab RA ingin membunuh Ibnu Sayyad

Sebelum itu Umar Al-Khattab RA pernah berkata kepada Nabi SAW,

       “Biarkan aku membunuhnya (Ibnu Sayyad)” Umar RA ingin fitnah kekeliruan yang berlaku ke atas penduduk Madinah itu berakhir. Bunuh, habis cerita.

Nabi SAW menjawab,

       “Tidak wahai Umar, jika benar ia Al-Dajjal maka engkau tidak akan dapat membunuhnya. Jika dia bukanlah Al-Dajjal tak ada guna engkau membunuhnya” 

Ini kerana takdir telah ditetapkan Al-Dajjal itu akan dibunuh oleh Nabi Isa AS. Al-Dajjal tidak akan dibunuh oleh orang lain.


Kisah para sahabat dengan Ibnu Sayyad

Kisah Ibnu Sayyad ini pun tersebar di kota Madinah ketika itu. Kalangan para sahabat Nabi SAW sendiri berlainan pendapat tentang siapakah Ibnu Sayyad sebenarnya. 

Pandangan Abu Zar RA

“Bersumpah sepuluh kali mengatakan Ibnu Sayyad itu Al-Dajjal lebih aku sukai daripada bersumpah satu kali dia bukan Al-Dajjal”. Pandangan Abu Zar ini setelah mengetahui pendirian Umar Al-Khattab yang dinyatakan di depan Nabi SAW.

Pendirian Saidina Umar Al-Khattab RA

Saidina Umar Al-Khattab RA telah bersumpah di depan Rasulullah bahawa Ibnu Sayyad adalah Al-Dajjal. Rasululullah tidak mengingkari kenyataan Saidina Umar itu dan tidak pula mengatakannya benar.

Ada pula kalangan sahabat bertawaqquf (berhati-hati dengan tidak mengeluarkan kenyataan membenarkan atau menafikan Ibnu Sayyad itu Al-Dajjal).

Pengalaman Abdullah ibnu Umar RA

Seorang sahabat Nabi SAW, Abdullah ibnu Umar RA atau dikenali sebagai Ibnu Umar adalah anak kepada Saidina Umar Al-Khattab RA. Beliau ingin mendapat kepastian apakah hakikatnya Ibnu Sayyad ini, siapakah beliau sebenarnya? Benarkah dia Al-Dajjal sebagaimana dakwaan ayah beliau, Saidina Umar Al-Khatab RA?

Ibnu Umar maklum yang sifat Al-Dajjal itu adalah buta sebelah matanya sebagaimana dikhabarkan oleh Nabi SAW. Tetapi Ibnu Sayyad ini tidak buta pun sebelah matanya. Paling kurang pada pandangan zahir manusia.

Namun pada satu hari Ibnu Umar berjalan di jalanan dan bertembung dengan Ibnu Sayyad. Tiba-tiba kelihatan kepada Ibnu Umar Ibnu Sayyad itu cacat sebelah matanya.

Ibnu Umar pun terkejut dan tertanya-tanya, adakah benar dia Al-Dajjal yang dimaksudkan.

Apabila Ibnu Umar melihat hal keadaan yang berlaku kepada Ibnu Sayyad itu beliau mula mempunyai keyakinan sepertimana keyakinan ayah beliau. 

Beliau pun bertemu dengan Ibnu Sayyad dan bertanya,

       “Ibnu Sayyad, apa yang berlaku kepada mata engkau? Adakah ia buta sebelah? Bagaimana jadi buta sebelah, bukankah sebelum ini baik sahaja?”

Ibnu Sayyad menjawab,

        “Aku tak tahu, aku bangun dan ia sudah jadi begini”

Ibnu Umar merasa tidak puas hati dan berkata,

        “Engkau tidak tahu? Bukankah mata engkau terletaknya pada kepala engkau?”

Ibnu Sayyad menjawab,

       “Kalau Allah menghendaki boleh sahaja ia (mata) berpindah ke tongkatmu itu” Ibnu Sayyad mula bertengkar dengan Ibnu Umar.

Ibnu Umar menjadi sangat marah dan memukul Ibnu Sayyad dengan tongkatnya. Ianya menjadikan Ibnu Sayyad menjadi sangat marah pula sehinggalah perkara aneh berlaku, badannya mengembang menutupi jalan.

Ibnu Umar pun cepat-cepat beredar dan pergi ke rumah saudara perempuan beliau Hafsah RA, isteri Nabi SAW. 

Hafsah RA bertanya dengan nada kecewa,

       “Apa yang engkau sudah lakukan wahai Abdullah? ”

Ibnu Umar menjawab,

       “Aku hanya nak memastikan.”

Hafsah RA berkata,

       “Tidakkah engkau telah mendengar Nabi SAW berkata, Al-Dajjal itu keluar disebabkan satu perkara yang membuatkannya marah? Maka adakah engkau ingin membuatkannya marah?”

Selepas wafat Rasulullah SAW 

Ibnu Sayyad membesar di Madinah. Ketika dewasa, Ibnu Sayyad telah berkahwin dan mempunyai anak yang ramai. Dia juga dikenali sebagai seorang yang mempunyai anak yang ramai dan harta yang banyak di Madinah.

Selepas satu tempoh, Ibnu Sayyad memeluk agama Islam. Dia dikenali dengan Abdullah ibnu Sayyad selepas pengislamannya.

Setelah memeluk agama Islam, Ibnu Sayyad ingin membuat safar dari Madinah ke Mekah bagi menunaikan umrah atau haji (berbeza riwayat tentang ini). Rombongan safar tersebut bersama sahabat-sahabat Nabi SAW. Di antaranya ialah Abu Said Al-Khudri RA.

Dalam perjalanan tersebut, rombongan pun berhenti untuk berehat. Masing-masing pun membuat urusan masing-masing dan tinggallah Abu Said Al-Khudri RA berdua sahaja bersama Ibnu Sayyad. Ibnu Sayyad melihat keadaan itu maka dia pun membawa barang-barangnya untuk diletakkan berdekatan dengan barang-barang Abu Said Al-Khudri RA.

Duduklah mereka dan tidak ada orang lain selain mereka berdua sahaja. Sebenarnya Abu Said Al-Khudri RA berharap dalam perjalanan itu beliau tidak bertemu dengan Ibnu Sayyad. Beliau sama sahaja seperti sahabat lain amat khuatir dan bimbang tentang Ibnu Sayyad.

Berkata Abu Said Al-Khudri RA “bawalah barang-barang kamu ke tempat yang lebih teduh di situ” dengan harapan Ibnu Sayyad berada jauh daripada dirinya. Ibnu Sayyad pun memindahkan barangannya ke tempat yang lebih teduh seperti yang dikatakan. Kemudian dia mengambil susu daripada barangannya dan membawa kepada Abu Said Al-Khudri RA.

        “Minumlah” Ibnu Sayyad menawarkan susu tersebut kepada Abu Said Al-Khudri RA.

Abu Said Al-Khudri RA sama sekali ingin mengelak daripada meminum susu tersebut, beliau memberikan alasan cuaca sangat panas dan susu tersebut panas dan beliau tidak mahu minum atas sebab itu. 

Abu Said Al-Khudri RA berkata menceritakan peristiwa itu, beliau ketika itu sangat-sangat inginkan berjauhan dari Ibnu Sayyad.

Ibnu Sayyad kemudian berkata kepada Abu Said Al-Khudri RA,

        “Wahai Abu Said, engkau adalah sahabat Nabi SAW. Sesungguhnya demi Allah aku merasa ingin mengambil tali dan menggantungkan diri sendiri di pokok sebab percakapan orang mengatakan aku ini Al-Dajjal”

        “Wahai Abu Said, engkau adalah sahabat Nabi SAW. Engkau telah mendengar hadis mengenai Al-Dajjal. Bukankah engkau tahu yang dia kafir tetapi aku ini orang Islam?”

Ketika itu Abu Said RA berfikir betul juga, Al-Dajjal bukan orang Islam. Beliau pun mula rasa tenang.

        “Bukankah Nabi SAW telah berkata Al-Dajjal tidak mempunyai anak, tetapi aku ada anak di Madinah?” Tambah Ibnu Sayyad.

Abu Said RA pun mengiyakan perkara itu, memang Ibnu Sayyad ada anak di Madinah.

        “Bukankah Nabi SAW telah berkata Al-Dajjal tidak dapat masuk ke Mekah tetapi aku ini datang dari Madinah dan nak mengerjakan umrah di Mekah?” Tambah Ibnu Sayyad lagi.

Abu Said RA mendengar semua itu dan mengatakan benar apa yang diperkatakan Ibnu Sayyad. Itulah ciri-ciri Al-Dajjal yang tidak ada pada Ibnu Sayyad ketika itu. Abu Said RA pun merasa tenang dan aman dari kerisauan yang dirasainya sebelum ini.

Secara tiba-tiba nada percakapan Ibnu Sayyad berubah.

        “Ada pun aku ini sebenarnya mengenali dia (Al-Dajjal)”

        “Aku kenal siapa bapanya dan ibunya”

        “Aku juga tahu dimana tempat dia sekarang”

Abu Said pun terkejut dan kerisauannya datang kembali. Beliau pun bertanya untuk kepastian, adakah Ibnu Sayyad gembira kalau sebenarnya dia sendiri adalah Al-Dajjal itu?

        “Jikalaulah ternyata Al-Dajjal itu sebenarnya diri aku sendiri, aku tidak ada masalah tentang itu” kata Ibnu Sayyad dengan selambanya.

Abu Said sangat terkejut dan panik serta berkata “Celakalah engkau sepanjang hari ni!”

Pandangan aneh Jabir RA, seorang sahabat Nabi SAW

Jabir RA mendakwa Ibnu Sayyad itu adalah Al-Dajjal sebagaimana sumpah dan dakwaan Umar Al-Khattab RA.

Orang yang bertanya Jabir RA adalah Ibnu Abu Salamah RA.

        “Tetapi bukankah dia (Ibnu Sayyad) telah mati?” Tanya Ibnu Abu Salamah.

            “Walaupun dia telah mati!” Tegas Jabir RA yang waktu itu ditanya selepas kematian Ibnu Sayyad. 

Kerana secara logik akalnya, seorang manusia itu hanya mati sekali sahaja. Selepas kematiannya tamatlah ceritanya. Tetapi dalam kes ini, kita dapat lihat sesuatu pendapat yang lain dan aneh dari seorang sahabat Nabi SAW.

      “Tetapi bukankah dia (Ibnu Sayyad) telah masuk Islam?” Tanya Ummu Salamah mengenai keislaman Ibnu Sayyad, kerana Al-Dajjal sebenar adalah seorang kafir.

          “Walaupun dia telah masuk Islam!” Tegas Jabir RA. 

  “Tetapi bukankah dia telah masuk ke Madinah” Tanya Ummu Salamah lagi. Al-Dajjal dikhabarkan oleh Nabi SAW tidak dapat masuk ke Madinah dan Mekah.

          “Walaupun dia telah masuk ke Madinah!” Tegas Jabir RA. 

Dilihat di sini walaupun ada sifat zahir Ibnu Sayyad itu bertentangan dengan apa yang dikhabarkan oleh hadis Nabi SAW tetapi Jabir RA masih mengatakan Ibnu Sayyad itu adalah Al-Dajjal. 

Keyakinan Jabir ini antaranya disebabkan beliau pernah melihat Umar Al-Khattab bersumpah depan Rasulullah mengatakan Ibnu Sayyad adalah Al-Dajjal dan Nabi SAW tidak mengingkarinya.

Dari perspektif yang lain pula, ianya boleh membawa satu kefahaman secara kontekstual kepada hadis Nabi SAW iaitu sifat yang dikhabarkan merujuk kepada sifat dalam tempoh keluarnya Al-Dajjal itu sewaktu akhir zaman seperti tiada keturunan, tidak boleh masuk Mekah dan Madinah dll dan bukannya sifat-sifatnya yang terzahir sebelum waktu itu. 

Pandangan para ulama

Para ulama berselisih pandangan sama ada Ibnu Sayyad itu Al-Dajjal Akbar (Besar) yang dimaksudkan atau pun dajjal-dajjal kecil yang datang sebelum dajjal besar itu. Ramai ulama yang mengatakan Ibnu Sayyad bukanlah Al-Dajjal besar itu.

Kajian ulama terhadap hadis mengenai Ibnu Sayyad ini juga turut mengambil kira hadis perkhabaran mengenai Al-Dajjal dari Tamim Ad-Dari. Seorang sahabat yang telah berlayar di lautan dan kapal beliau telah dipukul ombak sehingga ke sebuah pulau. Di sana beliau telah bertemu Al-Dajjal dalam keadaan dibelenggu atau dirantai. 

Kaedah untuk memahami kedua-dua hadis tersebut yang seolah-olah bertentangan ada dibincangkan para ulama tetapi di sini hanya memadai ditumpukan kepada kisah Ibnu Sayyad.

Anak-anak Ibnu Sayyad ada yang menjadi perawi hadis

Oleh kerana Ibnu Sayyad hidup pada zaman Nabi SAW tetapi memeluk Islam selepas kewafatan Nabi SAW, maka Ibnu Sayyad tidak termasuk dalam kalangan sahabat. Kerana belum Islam pada ketika itu.

Tetapi ada yang memasukkan Ibnu Sayyad dalam kalangan tabiin, iaitu generasi yang datang selepas generasi para sahabat.

Manakala ada dua orang anak Ibnu Sayyad dikenali sebagai perawi hadis Nabi SAW. Walaubagaimanapun jumlah hadis yang diriwayatkan sedikit jumlahnya. Mereka ialah;

1- Al-Walid bin Abdullah bin As-Soyyad Al-Madini

2- Umarah bin Abdullah bin As-Soyyad Al-Ansari

Para ahli hadis dari kalangan tabiin menganggap mereka sebagai terpercaya/tsiqah dan diriwayat hadis dari mereka. 

Tetapi terdapat juga riwayat..

Ada riwayat mengatakan Ibnu Sayyad meninggal di Madinah dan disolatkan di sana.

Ada riwayat mengatakan anak-anak Ibnu Sayyad kemudian telah mati kesemuanya, dan tinggallah pada akhirnya Ibnu Sayyad tidak berketurunan. Ibnu Sayyad kemudian dikatakan terlibat dengan peperangan Hirrah, menyertai penduduk Madinah menentang pasukan Hajaj bin Yusuf As-Saqafi.

Ibnu Sayyad kemudian dikatakan hilang atau ghaib selepas peperangan tersebut. Dia tidak ditemui samada dari kalangan orang yang hidup atau pun yang terbunuh. 

Ini berkait dengan kenyataan dari Jabir RA, “Kami kehilangan Ibnu Sayyad di dalam peperangan Al-Harrah”.

Dari situ, ada yang mengesyaki dialah Al-Dajjal yang sebenar.


Satu lagi riwayat aneh..

Abu Nuaim Al-Asbahani mencatatkan dalam sejarah Al-Asbahan yang mana Al-Asbahan adalah satu kawasan yang sekarang ini di dalam Iran. 

Dilaporkan ayah kepada Hasan Ibnu Abdur Rahman berkata,

            “Tatkala kami menawan Asbahan, di sana ada satu jarak dalam kadar tiga batu di antara pasukan kami (orang Islam) dan pihak yahudi. Kami selalu mendatangi ke tempat itu dan memilihnya. Pada satu hari aku memasukinya dan di situ aku melihat orang-orang yahudi sedang menari dan memukul alat musik. Maka aku tanyakan kepada seorang kenalan di situ. Apa yang kamu sedang buat? Adakah kamu nak melawan kerajaan?”

            “Dia menjawab, “Tidak. Raja kami yang selama ini kami mohon kepada Allah, yang dengannya kami dijanjikan kemenangan ke atas bangsa Arab akan datang ke sini esok hari”

                “Orang yang selalu kamu kata dijanjikan kemenangan ke atas bangsa Arab itu?”

                “Ya,” jawab kenalan itu.

                “Aku pun bermalam di atas bumbung rumahnya kerana khuatir keselamatan diriku, sehinggalah subuh dan aku pun bersolat di situ. Ketika telah terbit matahari, tiba-tiba kelihatan debu-debu terhasil daripada ramai orang-orang yahudi sedang berjalan masuk menuju ke dalam kota. Kelihatan seorang lelaki yang dikalungkan kalungan bunga dan orang-orang yahudi sedang menari-nari dan memukul alat musik.”

                “Bila aku tengok betul-betul, rupanya dia ialah Ibnu Sayyad. Dia masuk ke dalam kota dan sehingga sekarang tidak keluar-keluar”.

Masalah dengan riwayat ini dikatakan ianya berlaku dalam pemerintahan Umar Al-Khatab, Khalifah ke-2. Jarak waktu antara pembukaan Asbahan dan perang Al-Harrah yang dikatakan disertai Ibnu Sayyad kemudiannya ialah kira-kira 40 tahun. 

Sekiranya info ini dikira benar, maka ada dua kemungkinan. 

Pertama, Ibnu Sayyad dari Madinah datang ke Isbahan untuk membuat konspirasi dan kemudian balik ke Madinah. 

Kedua, penceritaan ini mengambil kira waktu tempoh 40 tahun selepas menawan Isbahan yang mana dalam tempoh itu tentera Islam masih berjaga mengawal Isbahan.

Dan Ibnu Sayyad datang ke Isbahan selepas 40 tahun pembukaan atau ditawan tentera Islam.


Kesimpulan

Tidak ada masalah untuk mempercayai Ibnu Sayyad itu Al-Dajjal atau tidak bergantung kepada keyakinan masing-masing berdasarkan bukti-bukti yang ada. Umat Islam sejak zaman Nabi SAW berlainan pendapat tentang hakikat Ibnu Sayyad.

Kisah Ibnu Sayyad telah lepas tetapi apa yang boleh kita pelajari ialah pengajaran daripadanya. Satu susuk manusia yang dikatakan Al-Dajjal di zaman Nabi SAW yang telah menimbulkan kekeliruan yang dahsyat di kalangan para sahabat dan ilmuwan Islam selepas itu.

Bayangkan pula kekeliruan yang berlaku apabila Al-Dajjal yang dalam “full mode” mengikut rencana yang sebenar keluar di akhir zaman ini. 

Semoga kita dilindungi dari fitnah Al-Dajjal.


Wallahua’lam.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...