Monday 6 November 2017

Kes Jenayah Terhadap Penuntut Universiti Tempatan


Melalui satu periwayatan yang dianggap kuat, ada maklumat mengenai kejadian jenayah telah berlaku di salah sebuah universiti tempatan. Tetapi malangnya pengurusan universiti memilih untuk tidak melaporkan kejadian tersebut atas sebab-sebab tersendiri.

Sebelum ini sudah ada desas-desus serta bukti yang menunjukkan keadaan kawalan keselamatan di kolej kediaman pelajar di universiti terbabit adalah lemah. Malah menjadi tandatanya kepada pelawat-pelawat yang sentiasa memasuki universiti berkenaan. Perkhabaran yang didapati melalui pelajar-pelajar pula mereka sentiasa tidak berpuashati dengan keadaan keselamatan mereka sendiri.

Ini kerana pada waktu-waktu tertentu, ada individu-individu yang tidak dikenali yang mirip pekerja-pekerja asing masuk dan duduk santai di kawasan kediaman pelajar-pelajar. 

Apabila diselidik lebih mendalam, rupanya sebelum ini pun telah ada beberapa kejadian jenayah berlaku tetapi ditutupi oleh pengurusan universiti. Sikap tidak bertanggungjawab dan khianat oleh pengurusan universiti ini bukan sekadar tidak wajar tetapi memperlihatkan teladan yang tidak baik kepada para pelajar yang masih mentah dan belum lagi menempuh realiti kehidupan bekerja.

Awal-awal lagi mereka ditunjukkan teladan bahawa korupsi itu adalah suatu kebiasaan. Menutupi jenayah yang berlaku adalah satu kesalahan di sisi undang-undang malah adalah sesuatu yang tidak bermoral dan korup. Apatah lagi ada mangsa yang tertindas.  

Di kalangan pelajar pula tertanya-tanya mengapa proses keadilan tidak berlaku dan mengapa pihak pengurusan universiti dengan sengaja menutup jenayah yang telah berlaku. 

Kejadian rogol misalnya melibatkan mangsa dan penjenayah. Mangsa mengalami kerosakan dari segi maruah dan juga fizikal. Penjenayah yang melarikan diri perlu dicari dan dihadapkan kepada mahkamah. Proses keadilan perlu dijalankan agar pihak mangsa mendapat keadilan sewajarnya. 

Proses siasatan oleh pihak polis pula memakan masa dan sudah tentu mendapatkan barang kes sesuatu yang sangat penting. Tetapi jika tiada laporan polis dibuat, kesan-kesan bukti mungkin sudah hilang dan penjenayah pun sudah melarikan diri bersama bukti-bukti yang tidak dapat dikesan. 

Dalam zaman ini, menutup kes sebegini hanyalah seakan-akan menutup bangkai gajah. Jika seorang yang bercuti di luar negara dengan isteri orang pun boleh dicari maklumatnya, apatah lagi bagi kes seperti ini sudah tentu dengan mudah boleh dicari maklumat mangsa, tarikh, masa dan tempat kejadian berlaku, kolejnya di mana, kursus pengajian mangsa, rakan sebiliknya siapa dan lain-lain.

Dengan mudah juga dapat diketahui sebab-sebab utama penjenayah dapat pecah masuk ke dalam bilik pelajar tersebut akibat dari kelemahan spesifikasi pada bangunan. Apatah lagi spesifikasi kawalan keselamatan yang sangat lemah yang disediakan oleh pihak pengurusan universiti. 

Anehnya, walaupun telah berlaku kes sebegini, pihak pengurusan universiti masih lagi terkial-kial dengan menguruskan kawalan keselamatan di kolej khususnya di tempat kediaman pelajar. 

Perlukan kes-kes seperti ini berlaku beberapa kali lagi dan terbongkar sehingga seakan menjadi satu pecahan belon yang sangat kuat sehingga mengejutkan satu alam semesta. Akhirnya benar-benar akan membawa aib yang tersebar ke seluruh alam?

Universiti sepatutnya menjadi tempat bermulanya perkembangan peradaban dan tamadun. Bukannya menunjukkan sebaliknya. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...