Monday 22 September 2014

MB Baru Selangor



Berakhir sudah satu filem epik yang panjang. Lagi panjang daripada semua filem-filem Lord of the Ring!

Ramai maklum yang YB Azmin Ali sudah mengintai-ngintai untuk menjadi Menteri Besar Selangor sejak sekalian lama. Beliau juga adalah antara orang kuat Parti Keadilan Rakyat yang banyak menyumbangkan jasa kepada parti berkenaan dan juga dikenali sebagai orang yang rapat dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Dengan perlantikan YB Azmin Ali ini bermakna berakhirlah juga cita-cita Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk mengangkat isteri beliau sendiri sebagai Menteri Besar Selangor. Khabar mengatakan Pakatan Rakyat terpaksa berkompromi dengan pilihan Sultan Selangor tersebut walaupun pada mulanya Anwar Ibrahim sendiri bertegas untuk berjumpa Sultan Selangor bagi menyatakan tiada sokongan majoriti Pakatan Rakyat untuk Azmin Ali.

Filem epik yang amat panjang ini telah mensajikan pelbagai babak ganas, ngeri, suka-dua, cemas, sedih, kisah pengkhianatan, pukul-memukul, tikam menikam dan ianya bersambung-sambung walaupun pada suatu ketika seolah-olah hendak berakhir. 

Ianya juga menguji institusi Raja di Malaysia itu sendiri. Tidak pernah lagi, kuasa Sultan dipersoalkan dan dibincangkan secara umum seperti di dalam filem ini. Kes Menteri Besar di Selangor menjadi sample dimana kuasa Sultan bagi memilih Menteri Besar telah diaudit secara publiknya oleh orang-orang berkepentingan dari kalangan ahli-ahli politik, sebahagian ahli akademik dan juga parti pembangkang sendiri.

Berkemungkinan kes konflik dengan Sultan ini bukanlah tidak pernah berlaku dan di dalam sejarah negara mungkin wujud kes-kes lain yang lebih besar isunya. Tetapi itu berlaku dalam era yang tidak mengenal internet dan globalisasi. Apa yang berlaku pada hari ini jelas mempunyai kesan kepada institusi di-Raja berkenaan.

Dilihat pihak-pihak tertentu telah mendesak Sultan Selangor ke tahap yang maksima, seolah-olah menguji setakat mana sebenarnya kuasa Raja-Raja Melayu di negara ini.

Motif Kajang Move

Walaupun filem mungkin telah berakhir, tetapi banyak persoalan yang masih belum terjawab. Persoalan ini berpunca daripada isu motif Kajang Move tersebut. Banyak tafsiran oleh pelbagai pihak berkenaan kenapa Kajang Move itu dilakukan walaupun ia jelas satu pembaziran kepada duit rakyat Selangor yang telah memilih wakil rakyat di Kajang.

Tafsiran motif ini pula berbeza-beza mengikut pihak-pihak yang berkepentingan. Bagi Anwar Ibrahim dan kumpulannya, sudah tentu mereka menyatakan tujuan mereka tersendiri. Bagi rakyat Selangor dan pengikut PKR, PAS yang tidak bersetuju pula mereka mungkin menyangka langkah Kajang itu adalah sesuatu yang bersifat peribadi dan sangat political dan tidak dilakukan demi kebaikan rakyat Selangor.

Antara dakwaan yang timbul ialah perebutan jawatan Menteri Besar Selangor itu adalah bagi memudahkan proksi yang dilantik untuk menjadi Menteri Besar (Dalam kes ini adalah seorang isteri) menggunapakai dana yang jumlahnya ber-biliun-biliun bagi tujuan sebuah parti politik. Jika dakwaan ini benar, adakah dengan perlantikan Menteri Besar Selangor yang baru ini bakal meredakan isu yang timbul ini.

Ramai yang mempunyai persepsi bahawa Y.B Tan Sri Khalid Ibrahim berdegil untuk tidak meletakkan jawatan adalah semata-mata tidak mahu pihak tertentu mengambil kesempatan terhadap hasil usaha beliau mentadbir negeri Selangor secara berjimat cermat sehingga dapat mengumpulkan dana yang jumlahnya berbilion.

Apa-apa pun, diharap rakyat Selangor tidak kira apa juga parti politik dapat mengambil pengajaran daripada kemelut yang berlaku ini.

Diucapkan tahniah kepada YB Azmin Ali atas perkenan Sultan Selangor dan selamat menjalankan amanah sebagai Menteri Besar Selangor.


Pak Long adalah salah seorang author incikposmen

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...