Tuesday 23 September 2014

Guan Eng kata PAS khianat : Bila PAS nak tarbiyah DAP ni? - Pak Long

Mampukah PAS membebaskan diri
dari dikawal orang lain?
Sejak "tahaluf siyasi" PAS bersama-sama DAP selepas terpengaruh dengan pesona Dato' Seri Anwar Ibrahim dan terhanyut dengan konsep asing makkal sakhti, PAS lebih dipengaruhi oleh parti DAP berbanding DAP dipengaruhi oleh Parti PAS.
"DAP berasa kesal dengan pengkhianatan empat orang ahli exco Selangor PAS terhadap prinsip solidariti dan demokrasi serta kegagalan untuk setia bersama enam lagi exco DAP dan PKR yang dipecat secara tidak adil oleh bekas MB yang kehilangan sokongan majoriti DUN Selangor." Kata Lim Guan Eng.
Sumber Malaysian Insider.


Kiranya DAPlah yang berjaya mentarbiyah dan mendidik PAS supaya berakhlak dengan akhlak yang digariskan oleh DAP. (sebuah Parti yang namakan oleh Presiden PAS sebagai Parti Sekularis Sosialis itu).

Apa tidaknya, ini dapat dibuktikan dengan adanya jamaah kedua dalam parti PAS itu yang telah berani menunjukkan wala' (kesetiaan dan ketaatan) mereka kepada pimpinan selain PAS. Mendakwa presiden mereka tidak mempunyai kuasa memutuskan keputusan tertentu, silap dalam membuat keputusan sehinggalah mendakwa keputusan presiden hanyalah pandangan peribadi semata-mata dan tidak wajib dipatuhi.
"Wahai Allah, Ya Tuhan kami, bukalah hati pemimpin kami agar menilai kontrak tahaluf siyasi dengan rakan komponen kami. Wahai Allah menilai dengan maksud andai wajar diteruskan biarlah penghujungnya menguntungkan survival Islam, Melayu, institusi di-Raja, Bahasa Melayu, ataupun kemenangan yang hampir"
Ya Allah Ya Tuhan kami, kamu tunjukkanlah kepada rakan tahaluf siyasi agar pandai menghormati kami dalam sama-sama berbincang dan membuat keputusan, kami tidak mahu peristiwa Kajang Move, kami dipaksa menerima arahan. Wahai Allah kami bukan hampas untuk mereka" 
"Wahai Allah, kamu berikan taufik dan hidayah kepada sekutu kami agar pandai menghormati kami dalam mempertahankan dasar perjuangan kami, janganlah mereka kurang sopan memaki hukum syariat Islam dan dasar perjuangan kami. Tetai pandai pula meminta pertolongan kami untuk berkempen dalam PRK Teluk Intan, Perak"
"Ya Rab, tidak wajar untuk mereka terus menunjukkan ijtihad yang salah. Penentangan terhadap keputusan Presiden dan Majlis Syura Ulama"
Antara kandungan doa yang dibacakan dalam ucapan  Dr Azhari Ariffin - Muktamar PAS 2014.
Sebaliknya mereka sanggup menyebelahi pihak lain walaupun mereka terpaksa memejam mata terhadap kepincangan pihak tersebut yang jelas dihadapan mereka. Sebagai satu contoh, bilakah parti PAS diajak berbincang secara rasmi berkenaan Kajang Move? 

Satu langkah unilateral yang diambil oleh Anwar Ibrahim tanpa konsultansi dengan Presiden PAS, Mursyidul Am dan juga Majlis Syura yang menjadi badan tertinggi dalam memutuskan sesuatu dasar di dalam parti politik itu. 

Jika satu  kumpulan Anwarinas didalam Parti PAS itu dikatakan mewakili PAS dalam perkara itu, sudah tentu mereka melaporkannya kepada ketiga-tiga di atas. Itu baru satu contoh!


Pak Long suka singgah dekat blog Helen Ang ni, dia rajin update artikel.
Artikel Helen berkenaan di sini.
Asas Tahaluf Siyasi

Sebab ramai juga yang berbondong-bondong masuk PAS semasa era reformasi untuk Anwar Ibrahim dulu, mungkin Parti PAS terlepas pandang untuk mentarbiyah mereka ini. Sebaliknya mereka tidak sempat ditarbiyah dan dididik dengan tarbiyah asal PAS oleh golongan ulama. 

Disebabkan tahaluf siyasi yang tidak terkawal itu jugalah mereka dimanipulasi dengan dibawa turun ke setiap perhimpunan-perhimpunan haram yang tidak aman sehingga ke tahap berketuakan seorang yang memperjuangkan LGBT iaitu Ambiga.

Anak-anak muda serta mereka yang baru menyertai PAS itu merasakan inilah sebenarnya PAS. PAS yang friendly dengan hak-hak asasi manusia yang difahami oleh barat dan tidak jauh bezanya dengan parti PKR. Oleh kerana sibuk berdemonstrasi, mereka tidak sempat mendapat didikan daripada ulama-ulama di dalam PAS, sebaliknya terpengaruh dengan kata-kata Anwarinas yang menguasai media massa dalam PAS. 

Tidak hairanlah mereka sangat terkeliru apabila mendengar Anwarinas berkata kalimah Allah harus diberikan kepada orang-orang Kristian bagi digunakan dalam konteks ayat yang mensyirikkan dalam bible. Satu pandangan serong yang bertentangan dengan fatwa majlis Ulama Malaysia, Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Harun Din serta majlis Syura ulama PAS itu sendiri.

Sedangkan asas tahaluf siyasi yang sebenar ialah satu kerjasama PAS bersama parti-parti lain berasaskan perkara-perkara yang dipersetujui bersama dan bukan perkara yang tidak dipersetujui apatah lagi mencarik asas pegangan PAS yang tidak boleh dikompromikan.
"Tidakkah tiap-tiap orang wakil rakyat kita berbaiah, masa nak jadi calon berbaiah, wallahi.. wabillahi.. watallahi..Berbaiah! Mana besar baiah dengan surat aku-janji?! 
"Kita ada perbezaan ideologi dan matlamat perjuangan, ini mesti faham"
"PAS berdasarkan kepada Islam. PKR berdasarkan sekular pragmatik. DAP berdasarkan kepada sekular sosialis!"
"Kita bukan satu parti!, ni kita tahaluf macam satu parti, nak tidur sama, nak makan sama, ini silap!! Ini fakta tahaluf yang mesti kita faham"
Antara ucapan Presiden PAS - Muktamar PAS 2014. 
Jika ahli-ahli parti PAS itu faham benar apa sebenarnya tahaluf siyasi itu sudah tentu mereka sedar bahawa telah banyak peristiwa dan kejadian yang berlaku telah menyebabkan fatalnya tahaluf siyasi tersebut. Sekiranya benar tahaluf siyasi itu bersandarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah, ianya perlu didasarkan dengan kedua-dua itu tanpa kegagalan. Kegagalan hanya akan menyebabkan PAS hanyalah tinggal Parti Islam pada nama semata-mata.

Kemelut negeri Selangor yang baru kelihatan mahu reda ini banyak mengandungi hikmah-hikmah dan pengajaran kepada semua umat Islam, Parti PAS dan rakyat Malaysia sendiri. Ianya seolah-olah petunjuk Tuhan kepada segala kepincangan yang berlaku dalam hala tuju PAS dalam Pakatan Rakyat itu. 

Persoalannya sekarang, adakah PAS sudah sedar dan akan bertindak tegas atau pun masih lagi dalam keraguan dan masih belum dapat membebaskan diri daripada kawalan jarak jauh oleh pihak tertentu itu?

Pak Long ialah salah seorang author incikposmen

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...