Monday 22 October 2018

Mencari Kegembiraan (Bahagian 2) - Sheikh Hamza Yusuf


Sebahagian Nota daripada syarahan Sheikh Hamzah Yusuf

Apa yang Iblis mahu?

Iblis mahukan supaya kita tidak bersyukur. Itu adalah matlamat Iblis. Iblis mahu mengeluarkan sifat-sifat bersyukur dari hati manusia.

Hati manusia itu samada di dalam keadaan bersyukur atau pun bersabar. Ini kerana syukur adalah atas nikmat manakala sabar adalah menghadapi ujian dugaan.

Syaitan itu telah berkata kepada Tuhan "Engkau akan mendapati ramai mereka tidak bersyukur". Itulah kemahuannya. Kerana Syaitan itu sendiri tidak bersyukur. 

Perkataan kufur itu sendiri bermakna tidak bersyukur. Kufur kepada nikmat. 

Iblis adalah makhluk yang tidak bersyukur. 

Orang Islam pada zaman ini, merungut dan komplen bermacam-macam pada setiap waktu.

Mereka sentiasa merungut tentang kerajaan mereka, tentang keadaan sosial mereka dan bermacam-macam komplen lain. Kita orang Islam adalah orang pengkomplen paling hebat atas muka bumi ini.

Masalah dengan sifat suka merungut ini ialah kita akan dapati lebih banyak benda-benda yang boleh menjadi rungutan.

Anda merungut sekarang? Anda inginkan perkara yang betul-betul yang boleh dirungut dan dikutuk-kutuk. Kemudian perkara itu betul-betul terjadi kepada anda.

Tidak hairanlah, kemudian orang berkata-kata "Ingatkan yang dulu tu teruk, tapi yang sekarang lagi teruk".

Padahal, sekiranya kita bersyukur, nikmat akan ditambah lagi.

Sekiranya kita kufur nikmat, peringatan telah diberikan mengenai azab siksa di hari akhirat kelak. 

Kalau kita memilih untuk merungut dan tidak bersyukur, akibatnya kita akan menghadapi musibat yang lebih parah. 

Oleh yang demikian, sifat bersyukur seseorang manusia itu adalah keadaan yang paling terbaik.

Sekiranya anda berada dalam keadaan aman, bersyukurlah anda tidak berada di dalam kekacauan. Jika anda mendapat musibah kekacauan, bersyukurlah kerana anda ada iman.

Kerana dari iman itulah adanya ilmu untuk mentakrifkan musibah itu. Bukannya kekacauan melanda yang membuatkan seseorang itu hilang kepercayaan dan keyakinan.

Orang atheis mengatakan iman itu adalah kepercayaan yang tidak ada asas. Kepada kita orang Islam, ia tidak begitu.

Agama Islam adalah agama yang menganjurkan berfikir. Al-Quran menjelaskan tanda-tanda dan bukti-bukti yang mengajak manusia berfikir mengenainya.

Sebagai contoh, Al-Quran mengajak manusia melihat tanah yang kering gersang dan bagaimana ia dihidupkan dan memberi manfaat kepada manusia. Kesemuanya menggunakan fikiran dan otak.

Adakah alam ini bermula dengan sendirinya tanpa ada kuasa yang mengadakannya? 

Adakah kita dijadikan secara sia-sia sahaja?

Adakah manusia boleh melakukan apa sahaja ikut sukanya tanpa ada tanggungjawab?

Berbuat kejahatan sesuka hatinya. Melakukan penindasan. Mengambil harta orang lain tanpa hak. Memperkosa anak perempuan orang lain. 

Adakah manusia seperti ini yang berbuat kejahatan sesuka hati dan masih berfikir tidak ada apa yang akan berlaku kepada mereka?

Oleh itu, ada tiga kategori umat Islam. Mereka semua umat Islam, jika mereka beriman.

Pertama. Yang menzalimi diri mereka sendiri.
Kedua. Yang di tengah-tengah.
Ketiga. Yang mendahului yang lainnya dalam membuat baik.

Kesemuanya akan masuk ke syurga. Tetapi mungkin sahaja ada bagi sesetengah mereka tempoh bagi mensucikan diri mereka atas dosa-dosa yang dilakukan. 

Dua pentafsir besar iaitu Ibnu Abbas dan Ibnu Masud (keduanya sahabat Nabi SAW) mengatakan ketiga-tiga golongan tersebut adalah umat Nabi Muhammad SAW dan kesemuanya masuk syurga. 

Oleh yang demikian, janganlah kita mengecilkan orang Islam yang lain. Walaupun kita melihatnya membuat dosa seperti minum arak dan menghisap rokok, tetapi jika dia masih mengucap "La ilaha illa Allah, Muhammad Rasulullah" maka dia adalah umat Nabi dan dia ada kehormatan yang perlu dijaga oleh umat Islam yang lain. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...