Monday 8 October 2018

Mencari Kegembiraan (Bahagian 1) - Sheikh Hamza Yusuf


Sebahagian Nota daripada syarahan Sheikh Hamzah Yusuf

Kegembiraan bukanlah sesuatu yang boleh ditentukan pada satu-satu masa tertentu dalam kehidupan manusia. Kegembiraan itu sendiri sebenarnya adalah sejumlah nilai daripada satu kehidupan manusia itu.

Oleh itu menjadi bahagia atau merasa susah, bukanlah diputuskan pada satu-satu masa dalam kehidupan kita. 

Sebab salah faham inilah, pemikiran barat suka mencari kegembiraan sebagai matlamat utama. Mereka menggangap kegembiraan adalah satu keadaan yang psikologikal. 

Hasilnya, mereka mengamalkan ubat anti-depresi untuk mencapai keadaan gembira itu. Kerana mereka ingin mencapai matlamat merasa gembira secara psikologinya. 


Pada masa yang sama mereka tidak menyedari bahawa kegembiraan sebenarnya adalah keadaan kerohanian (spiritual). Bukan keadaan psikologikal.

Keadaan kerohanian itu adalah disebabkan melaksanakan amalan yang terpuji. Ini juga yang ditakrifkan oleh ahli falsafah Aristotle.

Dalam ajaran Islam, ia termasuklah juga apabila kita berada bersama-sama dengan orang-orang yang sudah mendapat keadaan spiritual itu.

Surah Taha Ayat 2 : 

"Tidaklah Kami menurunkan Al-Quran ini untuk engkau (Wahai Muhammad SAW) merasa kesusahan". 

Kefahaman yang boleh didapati sebaliknya dari ayat itu adalah "Kami turunkan Al-Quran ini untuk engkau merasa bahagia". Dalam erti kata lain, Al-Quran diturunkan supaya engkau merasa gembira.

Nilai pelajaran daripada Al-Quran dan As-Sunnah itu lebih baik daripada segala yang dikumpulkan dari dunia ini bagi mencari kegembiraan hakiki. 

Sebenarnya apa-apa yang dicari dalam dunia ini akan berakhir dengan bermatlamatkan mencari kegembiraan.

Apabila seseorang ditanya apa yang dia cari dalam hidupnya. Dia pun menjawab "duit yang banyak". Duit itu bukanlah matlamat penghujungnya. 


Kerana apabila ditanya kenapa anda cari duit? Dia mungkin jawab "duit akan memberikan saya kebebasan". Kemudian jawapan itu boleh ditanyakan lagi. "Kenapa pula anda hendakkan kebebasan?".

Jawapan demi jawapan boleh mengundang soalan kerana ia bukan jawapan yang terakhir. Sehinggalah sampai kepada satu kesimpulan yang terakhir. Kesemua itu sebenarnya adalah untuk merasakan kegembiraan.

Oleh itu kegembiraan adalah peringkat terakhir kepada sesuatu urusan manusia. Bukanlah satu peringkat pertengahan yang digunakan untuk mencapai matlamat yang lain.

Seperti orang jatuh cinta dan sebab itulah dia merasa gembira. Bukannya merasa gembira sebab nak mendapatkan rasa cinta.

Kegembiraan itulah yang manusia cari. Tetapi hakikat kehidupan dunia ini kita akan merasa saat-saat kesusahan dan ujian melanda. Ini adalah fitrah dunia. 

Oleh itulah kita perlu mempersiapkan keadaan rohani bagi menempuh ujian-ujian berkenaan. 

Dunia juga adalah rumah kesusahan, kesedihan dan perjuangan. Kehidupan mengandungi kesengsaraan. 

Bangsa Rohingya yang sedang mengalami ujian duniawi
Ini menunjukkan kepada kita bahawa fitrah dunia yang tidak kekal. Sentiasa berubah-ubah.

Benda yang tidak kekal tidak akan memberikan kita kepuasan yang sebenarnya. Apa yang boleh memberikan kepuasan sebenar di dalam kehidupan ini adalah sesuatu yang bersifat kekal.

Sedangkan yang bersifat kekal itu hanyalah Tuhan Pencipta semesta iaitu Allah SWT.

Oleh sebab itulah, apa jua yang kita cari dalam dunia ini hanyalah ibarat ilusi khayalan sahaja jika kita tidak bermatlamatkan Allah SWT yang bersifat kekal itu.

Berada dalam keadaan mengenal Allah SWT. Dengan keadaan itulah datangnya kegembiraan yang sebenar. 

Para wali-wali Allah adalah mereka yang mendapat kepuasan yang paling maksimum di dalam hidup ini. Tiada benda lain yang dapat memuaskan mereka selain nikmat mengenal Allah itu.

Bukanlah bermaksud mereka tidak dilanda ketakutan dan kesedihan. Kerana Nabi SAW juga merasa sedih atas sesuatu. Apabila anak baginda meninggal dunia, baginda merasa sedih. 

Kesedihan adalah sifat manusia secara fitrahnya apabila merasakan satu kesusahan. Ia bukanlah sesuatu yang negatif. 

Malah ia boleh membuka kepada pintu dari hati yang tertutup sebelum dilanda kesedihan itu. Hakikatnya kesedihan itu adalah satu anugerah daripada Allah untuk kembali mengingatiNya dan kembali kepada jalanNya. 

Sebab itu kita perlu menerima anugerah itu dengan reda. Jika kita seorang beriman, kita harus percaya ia adalah anugerah. 

Mungkin tidak tercapai dek akal seseorang itu zahir sesuatu musibah itu adalah satu anugerah. Sedangkan pada hakikatnya ia adalah anugerah  dan nikmat. 

Satu kefahaman dari Hadis Sahih Muslim, ajaibnya orang mukmin itu, dia menganggap semua urusannya adalah baik (ketika mendapat senang dan susah). 

Jika dia diuji, dia bersabar. Jika dia mendapat nikmat, dia bersyukur.

Bersambung Bahagian 2...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...