Setelah membaca segelintir rakyat Indonesia melakukan protes di depan Kedubes Malaysia di Jakarta, saya pun kemudiannya baru mengetahui kuih yang dinamakan popiah di Malaysia ini dinamakan sebagai “LUMPIA” di Indonesia.
Sepanjang hidup saya sebagai rakyat Malaysia dan juga orang Melayu, saya sedari awal mengetahui kuih popiah ini adalah di bawa daripada orang-orang Cina yang datang ke semenanjung tanah Melayu pada ketika itu. Malah boleh dikatakan semua rakyat Malaysia mengetahui yang kuih ini berasal daripada China.
Kuih ini asalnya disebut “POH PIAH”, namun kemudiannya sebutan itu dievolusikan kepada “POPIAH” berdasarkan sebutan orang-orang Melayu. Malah menurut Wikipedia, nama kuih “POPIAH” telah dimasukkan ke dalam bahasa Inggeris berdasarkan sebutan bahasa Melayu itu. Nama “LUMPIA” juga adalah berasal perkataan Cina yang berbeda dialeknya.
Kaum Cina adalah kira-kira 20% daripada rakyat Malaysia dan mereka juga diberikan kebebasan mengamalkan budaya warisan leluhur termasuklah berbahasa Cina, berpakaian dan mempunyai nama Cina. Antara warisan leluhur mereka ini adalah resipi kuliner Cina yang diwarisi daripada satu generasi ke satu generasi.
Selain daripada kuih popiah, banyak lagi kulineri Cina yang menjadi terkenal dan juga disukai oleh kaum-kaum lain di Malaysia. Antaranya adalah seperti kuih Cakoi, Nasi Ayam, Char Kuey Teow yang digoreng seperti Mi Goreng atau Mihun goreng, kuih Pau dan banyak lagi.
Kebanyakan kuliner asal kaum Cina ini juga kemudiannya telah dipelajari juga oleh orang-orang Melayu dan mereka juga mahir membuatnya. Apabila orang-orang Melayu membuatnya maka terhasillah versi Melayu yang mungkin berbeda sedikit dari segi rasanya. Ramai orang Melayu turut membuat sendiri popiah dan menjualnya. Tetapi popiah tetaplah dipanggil popiah.
Popiah ini ada bermacam-macam jenisnya. Yang popular disebut di Malaysia ialah popiah basah dan popiah kering. Popiah basah itu kulitnya lembut kerana ia tidak digoreng. Sos/sausnya pula sama ada diletak di dalam gulungan popiah atau dihidang terasing.
Membuat Poh Piah basah
Yang kering pula adalah yang digoreng rangup atau garing dan sos/sausnya dihidangkan asing. Ianya menyerupai Lumpia Semarang itu cuma isi utamanya di Malaysia diperbuat dari bahan-bahan berbeda.
Popiah goreng / kering - Gambar Wikipedia. |
Pokoknya semua rakyat Malaysia tahu yang Popiah itu asalnya dari China. Jika ada rakyat Malaysia mengaku kuih popiah itu adalah milik Malaysia ini adalah memalukan. Kerana sudah terang-terang popiah itu makanan khas orang-orang Cina dan sudah tentu ia datang daripada tanah besar China.
Anehnya, sehingga kini rakyat negara China belum lagi berdemonstrasi di depan Kedubes Malaysia mengklaim Popiah itu adalah milik negara China.
Rakyat Malaysia juga tidak perlulah berdemonstrasi sebagai membalas demonstrasi seperti Indonesia itu. Kerana demonstrasi seperti itu adalah warisan sejati budaya rakyat Indonesia yang diamalkan sejak zaman berzaman.
Apabila diselidik, ternyata aksi demonstran itu adalah bertitik tolak daripada cakap-dengar (hearsay) yang disampaikan oleh seorang TKI kepada pemilik Lumpia Semarang. Hanya dengan mendengar dari TKI itu sahaja, pemilik Lumpia Semarang telah menanggapi Malaysia akan mengklaim produk Lumpia yang diwarisi daripada keturunan Cinanya.
Mungkin juga itu adalah satu cara pembuat Lumpia Semarang untuk mengiklankan kuliner mereka. Dengan mengupah para demonstran dan membuat kontroversi, produk mereka dikenali seluruh Indonesia dan ini dapat meningkatkan permintaan.
Oleh Kawan Encik Posmen
Sumber Wikipedia- Popiah
Link Sinarharian
Berita Indonesia Jogjatribunenews.
No comments:
Post a Comment