Thursday 24 September 2015

Edisi Siasat : Betul ke Jason Statham peluk Islam?




Baru-baru ni sampai kepada Incikposmen satu posting di facebook kononnya Jason Statham, seorang pelakon terkenal Inggeris, memeluk Islam. Biasalah, ramai orang akan percaya berita yang disebar dan diviralkan. Kebanyakan orang suka mempercayai berita viral tanpa menyelidiki kebenaran sesuatu perkhabaran yang tiba.

Seperti juga edisi siasat yang lalu. Apabila ada orang tertentu telah menyebarkan berita Undertaker penggusti terkenal itu masuk Islam, kerana dilanda tahap menyampah yang tinggi, (menyampah sebab orang senang percaya cerita yang tidak ada kredibiliti), Incikposmen telah menghantar penyiasat persendirian untuk memastikan kebenaran berita itu. Hasilnya bolehlah para pembaca membacanya di sini. Sehingga ketika artikel ini ditulis, masih ramai yang mencari di Google mengenai kebenaran Undertaker masuk Islam ini.

Oleh sebab itulah, demi kepentingan umat, Incikposmen telah sekali lagi menghantar penyiasat persendirian bagi memastikan kebenaran berita mengenai Jason Statham ini. Dalam usaha menyiasat itu, Incikposmen telah terjumpa dengan blog yang juga telah melakukan siasatannya sendiri. Bagi Incikposmen, ini adalah satu perkembangan yang menarik dan baik sekali. 

Kita umat Islam memerlukan para penyiasat yang membuat kerja-kerja kebajikan seperti ini. Dengan menyiasat berita-berita angin yang datang kepada umat Islam.  Ini juga dapat memberikan latihan kepada umat Islam berfikir secara kritis. Supaya dapat mengharungi zaman fitnah yang serba mencabar ini.

Maka apakah benar Jason Statham telah peluk Islam?
Link yang tersebar di Facebook Incikposmen pada mulanya menuju ke sumber ini.


Sumber link : Jurnalmuslim.com

Berita daripada sumber di atas disampaikan dalam keadaan teruja dan bersemangat. Siap memuji-muji Allah dan terus mengatakan Jacky Chan telah memeluk agama Islam. Bagi umat Islam di Malaysia sudah tentu maklum mengapa berita mengenai Jacky Chan, aktor terkenal filem aksi Kung Fu itu dikatakan telah memeluk Islam. 

Berita angin itu tersebar setelah adanya orang tertentu memanipulasi gambar-gambar seperti dibawah. 

Pujian harus diberikan kepada individu yang telah berusaha membuat
grafik seperti ini bagi menjelaskan cerita sebenar.

Orang yang tidak tinggal di Malaysia sudah tentu tidak tahu apa yang berlaku dan majlis yang dihadiri oleh Datuk Jacky Chan itu. Mereka sudah tentu mudah terpercaya dengan perkhabaran angin apabila melihat Jacky Chan memakai songkok dan duduk di sebelah Ustaz Kazim Elyas.

Berbalik kepada berita dari Jurnalmuslim itu, kenyataan berita yang datang membawa beberapa point penting untuk diselidik.

1) Sumber berita adalah daripada Firdaws FM.
2) Ia ditulis pada Facebook stesyen radio Arab berkenaan pada posting bertarikh 17 September 2015.
3) Jurnalmuslim memberikan komen bahawa sehingga ia menyiarkan berita itu, belum ada berita lanjut mengenai Islamnya Jason.

Secara logiknya juga sudah tentu ada berita daripada Inggeris atau pun sumber US yang sudah menceritakan mengenai pengislaman Jason jika dia benar-benar peluk Islam. Berita daripada bloggers juga boleh kita percayai kalau ada kredibiliti, contohnya jika dia ada terlibat secara langsung dengan majlis pengislaman Jason itu.

Tetapi sehingga hari ini, tiada berita tambahan yang dapat menyokong khabar angin yang tersebar pada awalnya itu. Gejala ini ada persamaan dengan khabar angin mengenai Undertaker dahulu, cuma dalam kes Undertaker ianya sudah berlangsung bertahun-tahun. Maka dengan mudah kita dapat mencari kelemahan kepada pembawaan berita itu. Berita mengenai Jason ini pula baru muncul dalam tahun 2015.

Untuk menyanggah berita ini atas alasan periwayat telah membawa berita yang salah mengenai Jacky Chan juga adalah satu keputusan yang kurang matang. Mungkin ramai yang melakukan begini, tetapi jika kita perhalusi boleh sahaja seseorang itu tersilap pada satu perkara itu tetapi betul pula pada perkara yang lain. Oleh itu siasatan diteruskan dengan melihat bukti-bukti yang lain.

Apa yang mencabar penyiasat ialah persamaan yang begitu ketara pada wajah individu yang dikatakan Jason Statham itu. Cuba lihat gambar di bawah.

2 foto dari 3 foto yang viral.
Kiri : Individu yang menyerupai Jason Statham.
Kanan : Jason Statham yang sebenar.


Replika wajah Jason Statham yang sebenar.

Serupa betul kan.. Bentuk muka, kumis dia, bibir, hidung, mata, pelapik bawah mata, dua kerutan menegak diantara kening, lekukan dibawah bibir atas dagu.

Apa yang membezakan sedikit ialah bulu kening dan jaraknya di antara mata dan bulu kening. Tetapi mungkin sahaja replika itu dibentuk dalam keadaan Jason Stathams sedang mengerutkan dahinya maka terjadilah bulu keningnya sebegitu rupa?

Sebab sesiapa pun boleh pakai songkok dan kopiah, Jacky Chan pun pakai songkok dan pernah dalam satu sesi penggambaran pakai baju Melayu. Mungkin itu Jason Statham yang sebenar yang melawat masjid itu dan diberikan pakaian orang Islam. Atau mungkinkah dia sedang melakukan penggambaran filem tertentu yang melakonkan watak orang Islam?

Sebenarnya penyiasat Incikposmen tidak dapat membuat keputusan berdasarkan rupa paras dua gambar berkenaan. Tetapi Incikposmen sudah melihat satu siasatan dari blog lain yang memutuskan hasil siasatan berdasarkan perbandingan dua wajah itu. Ini adalah kemahiran tertentu seseorang penyiasat, warisan ilmu zaman dulu-dulu. 

Takkanlah Incikposmen nak cakap itu bukan Jason Statham sebab ada nur terpancar di wajahnya pulak. Yang satu lagi muka tak ada nur. Baik kita lihat bukti-bukti lain pula.

Apakah masjid dalam gambar itu. Macam Masjid Biru Turki kan? Apabila disiasat ianya adalah masjid  bernama Masjid Ahkmad Kadyrov di wilayah Grozny yang termasuk dalam Russia. 


Mungkin sahaja ada satu penggambaran filem di Russia, tetapi carian google tidak menunjukkan apa-apa penggambaran filem baru yang melibatkan Jason Statham di Russia. Setakat inilah. Apatah lagi yang melibatkan masjid.

Oleh itu Incikposmen pun pergilah melihat kepada posting facebook yang dikatakan sumber tersebarnya berita yang viral ini. 

Stesyen radio Firdaws FM!!

Sekarang mudah sebab ada translation yang membantu.
Kalau nak lagi perincian kita semak komen-komen dia.
Berita itu juga tidak membawa khabar yang meyakinkan mengenai pengislaman Jason (walaupun cara pemberitaan yang gah dan menggemparkan), selain turut membawa berita Jacky Chan masuk Islam. Dalam ruang komen terdapat komentar yang menafikan Jacky Chan masuk Islam. Walaupun turut ada komentar yang menafikan Jason Statham masuk Islam, orang itu tidak membawa bukti bagi penafiannya. 

Posting facebook itu adalah pada 17 September 2015.

Tetapi setelah mencari akhirnya Incikposmen berjumpa dengan satu komen yang mengatakan gambar itu adalah bersumber dari orang-orang Chechnya. 

Berdasarkan petunjuk itu, penyiasat telah berjumpa dengan apa yang dipercayai sumber asal gambar tersebut!

Nampok.. nampok..
Bertarikh 12 Julai 2015.

Itu dipercayai dalam Bahasa Russia dan mungkin bercampur dengan bahasa Chechen. Foto ini dipost oleh seorang yang bernama Magamed Gamaev. Dipercayai seorang Muslim Chechnya. Dia tulis di situ "Jason Statham" dalam bahasa berkenaan. Tetapi pada posting itu dia tidak mengatakan Jason Statham itu memeluk agama Islam.

Kengkawan dia pun terkejutlah dengan gambar tu. Dalam ruang komen pula ada seseorang bertanya adakah itu Jason Statham yang betul? Dia pun menjawab seperti di bawah ini.

Oh my God! Is it really him?
(Entah betul atau tidak terjemahan ni aku tak jamin.)

Faham ke tak? Maksud jawapan dia tu. "Bukan Jason Statham, tapi seseorang yang serupa!"

Kalau ada yang mempertikaikan kemampuan Incikposmen berbahasa Russia, bolehlah merujuk kepada terjemahan yang lebih tepat dari Kedutaan Russia yang berdekatan di kawasan anda.

Kesimpulannya?

Memandangkan sehingga hari ini tidak ada berita sahih sebagai bukti yang menyokong membenarkan  pengislaman itu, apa yang dijumpai oleh Incikposmen di atas sudah memadailah bagi kami untuk membuat kesimpulan. 

Terpulanglah kepada anda untuk menggunakan input di atas untuk membuat kesimpulan anda sendiri. Anda bolehlah juga menggunakannya untuk membuat siasatan sendiri. Apa yang Incikposmen harap ialah kita semua berhati-hati dalam menerima sesuatu berita itu.

Terima kasih kerana sudi membaca.

(Update baru!*) Pada 28 September 2015, Firdaws FM telah reply kepada Incikposmen.


Bertuah betul! Padahal cerita dah viral satu alam semesta.

*Dikemaskini selepas Firdaws FM membalas pertanyaan Incikposmen.

Rujukan

Sumber link : Jurnalmuslim.com
Sumber Magamed Gamaev.

Keywords:

Jason Statham Islam Jason Statham muslim

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...