Teringat aku lagu Proton tu ketika zaman-zaman dulu. Waktu itu hanya mampu tengok gambar Proton Saga dalam setem sahajalah. Model pertama Proton yang dibangunkan dengan kerjasama Mitsubishi.
Bila aku dapat membeli kereta antara kereta yang aku beli adalah dari jenis Proton. Akhirnya dapat juga aku membeli kereta kebanggaan Malaysia ini. Cuma sudah tentulah model keluaran Proton itu berbeza-beza dan setiap individu mempunyai keperluan dan kecenderungan untuk memilih spesifikasi yang dia ingini. Oleh itu tidaklah semua model itu sama kepada semua orang.
Cuma aku peliklah sebahagian rakyat Malaysia ini. Yang suka dan tidak malu-malu untuk menghina perusahaan automotif negara sendiri. Ia ibarat menonton perlawanan bolasepak Manchester United menentang Pasukan Harimau Malaysia. Yang disokongnya bukan pasukan Malaysia tetapi pasukan lawan itu. Dengan sorakan dan memakai baju jersi pasukan kelab England itu.
Samalah bagi mereka yang memperlekehkan perusahaan automotif negara yang diusahakan oleh anak-anak tempatan. Sehinggakan bagi mereka ini, kerajaan seharusnya tutup sahaja Proton dan biarkan rakyat Malaysia membeli kereta buatan luar negara sahaja.
Bagi aku mereka ini sebenarnya menunjukkan tahap rendahnya kualiti diri mereka yang sebenarnya. Walaupun mereka berbangga-bangga mampu memiliki kereta selain Proton yang lebih mahal. Maksudnya kualiti mereka ini bukanlah kualiti rakyat negara maju. Yang tidak percaya anak tempatan mampu mengusahakan perusahaan kereta nasional. Hakikatnya, mereka ini memalukan diri sendiri.
Bayangkan ketika mereka menghina produk kereta nasional itu dalam media sosial seperti di facebook, orang-orang Jepun, Jerman, England, Russia yang membaca kenyataan mereka itu sudah tentu dapat membuat kesimpulan. Iaitu kenyataan seperti itu keluar daripada mereka yang tidak mempunyai keyakinan diri untuk membangunkan perusahaan atau teknologi kereta mereka sendiri seperti orang-orang Jerman dan Jepun.
Hakikatnya, untuk membangunkan satu perusahaan automotif seperti ini bukanlah sesuatu yang mudah tetapi bukanlah mustahil. Pencapaian Proton sehingga sampai ke peringkatnya ketika ini sebenarnya adalah membanggakan. Proton telah berjaya dengan usaha sejak dari mula mengeluarkan kereta yang bolehlah dianggap “rebadge” sehinggalah mengeluarkan model-model yang 90% adalah buatan tempatan.
Apabila Proton sudah berjaya menghasilkan enjin sendiri dan merekabentuk design serta platform keretanya sendiri, itu sudah mencapai satu tahap pencapaian yang signifikan. Apa yang perlu ialah terus maju untuk pencapaian yang berterusan.
Proton juga adalah persoalan budaya. Adakah budaya kerja dan budaya korporat yang diamalkan di Malaysia mampu bersaing dengan budaya kerja rakyat Jepun, Jerman dan Korea contohnya. Yang mana mereka mempunyai budaya turun temurun yang melambangkan kegigihan, kerajinan dan semangat tidak putus asa.
Bangsa Jepun terkenal dengan budaya mengkajinya. Dalam sejarah perang dunia, mereka mampu membina kapal terbang dengan meniru model kapal terbang orang Inggeris yang jatuh terhempas. Jelas mereka tidak perlukan teknologi transfer dalam perkara itu. Kegigihan bangsa Jepun ini juga diperakui oleh bangsa berkulit putih sendiri seperti mana diungkapkan antaranya dalam filem The Last Samurai.
Bangsa Korea pula memiliki sifat yang sama dengan bangsa Jepun. Dikatakan bahawa "Korea is ancient Japan”. Bangsa itu sekarang unggul dalam bidang teknogi dan brand Samsung itu adalah lambang kecemerlangan yang ditunjukkannya. Rakan saya yang pernah pergi ke Korea baru-baru ini menyatakan rakyat Korea ini berjalan laju seolah-olah berlari dan segala urusan seharian mereka berlangsung dengan pantas.
Bangsa Eropah pula adalah bangsa yang mencetuskan renaissance. Ketika dalam proses mencapai kemajuan itu mereka juga seperti kita juga ada kedai-kedai mamak kopi untuk bersantai-santai sambil minum berbual-bual dengan rakan-rakan. Bezanya mereka membincangkan tentang idea, bukannya gosip-gosip murahan, trolls tah apa-apa, fitnahs dan kekarutan yang tidak membawa manfaat. Ini diungkap sendiri dalam lagu Rap melayu yang didendangkan oleh Malique dalam lagu rapnya.
"Di Eropah orang bentang idea
Topik-topik intelektual di diskusi
Anjakan paradigma bila kena kopi"
Sebenarnya banyak kemajuan yang diusahakan oleh bangsa-bangsa maju ini dibangunkan dalam keadaan bersantai-santai seperti di dalam restoran, cafe dan sebagainya. Sehinggakan untuk membangunkan formula sains pun mereka bincangkan dalam restoran mamak cafe mereka.
Bagi akulah, budaya rakyat Malaysia ini belum lagi mencapai tahap budaya bangsa yang maju. Sedangkan tahun ini sudah 2015, ada 5 tahun lagi untuk mencapai status negara maju itu. Kemajuan itu bukannya diukur daripada infrastruktur tetapi pada tahap keilmuan dan kemampuan yang dimiliki. Jika ada banyak duit tidak semestinya bermakna sudah maju.
Bangsa arab dianugerahkan oleh Tuhan dengan hasil minyak dan mereka banyak duit. Mereka dengan mudah boleh membina bangunan yang tinggi-tinggi dan membeli teknologi yang mahal. Tetapi mereka tidak membangunkan minda dan kemampuan. Akhirnya mereka tetap menjadi pengguna dan bukan pembuat teknologi. Dalam aspek lain mereka tetap diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh kerana kurangnya perkembangan ilmu, minda dan kemampuan mentadbir dengan baik.
Bangsa melayu diberikan peluang untuk membangunkan minda dan kemampuan mereka. Proton adalah peluang itu. Dengan Proton bangsa melayu malah bangsa Malaysia seluruhnya dapat mempraktiskan dan membangunkan ilmu dan kepakaran.
Dengan Proton, bangsa melayu dapat mempraktiskan RnD dalam bidang automotif kereta. Hanya Proton sahaja yang ada peluang ini, Perodua belum ada. Bukan mudah perusahaan asing hendak membenarkan perusahaan lain untuk membangunkan RnD sendiri. Ini kerana pada persepsi mereka ia hanya menghasilkan pesaing-pesaing di masa hadapan dalam bidang automotif. Sudah tentu dalam bisnes ini akan mereka elakkan.
Orang yang menghina-hina dan memperlekehkan itu akan terus dengan perangai buruk mereka. Apa yang penting ialah Proton mesti terus ke hadapan dengan satu budaya yang mampu bersaing dengan bangsa-bangsa maju yang lain. Usaha yang diiringi dengan doa dan tawakal itulah jalan kita.
Selain teknologi dan design, Proton juga perlu bersaing dalam penampilan dan juga material yang digunakan. |
No comments:
Post a Comment