Tiga Sifat Penting.
Apa yang hendak disampaikan ini adalah melalui pemerhatian dan pengalaman saya menjalankan pekerjaaan atau pun bisnes saya seharian. Kerana apabila kita mengamalkan ilmu yang kita pelajari insyaAllah ilmu kita itu bertambah.
Dalam melakukan bisnes, ada kalanya kita akan membuat penyelesaian masalah. Problem Solution. Kita juga perlu mentakrifkan permasalahan di hadapan mata dengan benar jika kita menyelesaikan masalah tersebut. Kemudian kita mencari punca masalah. Lantas kita bermuhasabah dengan kudrat yang ada bagi mentadbir sebab dan akibat.
Lainlah, jika budaya kerja seseorang itu adalah mengelat, mengelak, mentaichi, lari daripada masalah, mengkambing hitam, sweep under the carpet dan sebagainya. Maka perbincangan ini tidaklah mendatangkan manfaat kepadanya.
Pengalaman saya melakukan perbincangan berkumpulan, adakalanya bagi memecahkan sesuatu masalah, saya mendapati satu perkara yang perlu saya ceritakan disini.
Kebanyakan perbincangan sebenarnya berbunga-bunga dan boleh menjadi retorik, sehingga satu pendekatan yang praktikal menjadi sukar.
Adakalanya saya terpaksa menegur beberapa takrif yang digunakan kerana pada pandangan saya to define the problem is crucial in order to solve the problem. Pentakrifan ini adalah penting. Anda salah takrif, kumpulan anda tidak dapat menyelesaikan masalah itu dengan sebenarnya. Saya suka ambil masa untuk takrif yang benar, kerana selepas itu urusan akan jadi lebih mudah.
Adakalanya pula, kita ini menjadi salah mentakrif kerana kita tidak dapat menakrifkan sesuatu perkara itu mengikut ilmu yang benar. Sehinggalah saya telah sampai kepada satu persepsi bahawa umat Islam sekarang ini telah terpesong akibat kita sendiri telah hilang ilmu warisan dan amalan yang sebenarnya.
Dalam perbincangan, kita mungkin terlalu komplikated atau pun retorik sehinggakan kita tidak menyedari sebenarnya urusan itu mudah. Dalam mengusahakan sesuatu, kita terlupa melihat kepada tiga elemen atau sifat paling asas tetapi sangat penting.
- Ilmu
- Irodah
- Qudrah
Inilah unsur asas dalam mentadbir, dalam erti kata lain ilmu pengurusan Islam. Percayalah walaubagaimanapun tingginya tahap perbincangan anda dengan kumpulan, walau sangat rumit sekalipun, 3 unsur di atas sebenarnya adalah asas kepada perbincangan itu.
Dalam menguruskan sesuatu, apatah lagi yang melibatkan manusia, tiga elemen tersebut perlulah diperhatikan dan diambil berat.
Secara idealnya anda hendakkan diri anda mempunyai pengetahuan yang mencukupi, adanya maklumat dan berpengalaman. (Ilmu)
Anda mempunyai kemahuan yang jitu untuk melakukan sesuatu urusan. Maknanya bermotivasi tinggi. Mempunyai pendorong. Tidak mudah berputus asa. (Irodah)
Anda mempunyai kemampuan untuk melakukannya. Kemampuan ini pula bolehlah dipecahkan kepada daya dan upaya. Antara contohnya, skill dan kekuatan badan seseorang itu. Seorang yang mengaplikasikan ilmu perkomputeran pula, kita tidak mengatakan kudratnya itu pada kekuatan jasadnya tetapi pada kemampuannya menzahirkan apa yang dia ketahui (Ilmu) kepada skill tertentu dengan peralatan komputer. (Qudrah)
Apabila digabungkan ketiga-tiga ini (Ilmu, Irodah dan Kudrat) maka kita akan mendapat sesuatu kemungkinan yang mantap dimana pekerjaan itu bakal berhasil dengan izin Allah. Setelah kita mengikut peraturan dan sunnatullah.
Mengikut pengalaman saya, perbincangan yang gagal akibat menjadi terlalu retorik, sebenarnya gagal memberikan perhatian kepada ketiga-tiga unsur tadi. Walaupun faktor gagal itu boleh datang daripada bermacam-macam keadaan.
Tersekatnya salah satu daripada unsur tadi bermakna kemungkinan untuk menghasilkan satu pekerjaan itu juga terbantut atau tiada langsung.
Contohnya jika tiada ilmu atau tidak tahu, bagaimana pula seseorang itu ada kehendak? Jika seseorang itu tidak tahu sesuatu jenama itu berkualiti sudah tentu dia tidak ada kehendak kepada jenama itu jika dia mencari sesuatu yang berkualiti.
Jika ada ilmu tetapi tiada kehendak, dia tidak akan memperbuat. Dia tahu kereta itu bagus, tetapi dia tidak mahu membelinya, mungkin ada sebab tertentu. Maka tiada pembelian.
Pepatah Melayu kaya, hendak seribu daya, tak nak seribu dalih.
Jika ada ilmu dan kehendak tetapi tidak ada daya dan upaya, bagaimana pula menjadi perbuatannya? Kalau tahu dan hendak tapi tidak ada fulus, tidak ada pembelian.
Mungkin perkongsian ilmiah kali ini terhenti setakat ini. Perbincangan ini lebih kepada konsep, dan mungkin ada pembaca belum lagi memahami dengan jelas apa yang ingin disampaikan. Maksudnya bagaimana ianya dipraktikkan. InsyaAllah perbincangan ini akan bersambung ke posting yang akan datang.
Modul-modul seperti ini yang dikongsikan disini, jika diajar di seminar-seminar, sangatlah mahal harganya. Kerana zaman ini, umat Islam itu kehilangan ilmu sebenar. Ilmu dunia yang ada pada umat Islam itu dipelajari daripada orang bukan Islam. Yang mereka menafsirkan alam itu bukanlah dengan petunjuk wahyu.
Wallahua’lam.
Bersambung insyaAllah.
No comments:
Post a Comment