Sunday, 28 June 2015

Pencerobohan Tentera China ke dalam Sempadan Malaysia


Sedutan Ucapan Senator Datuk Jamilah @ Halimah binti Sulaiman pada 24.6.2015 di Dewan Negara, perbahasan RMK-11.

Sumber Hansard Parlimen.

Tuan Yang di-Pertua, isu perebutan wilayah di Laut China Selatan. Ancaman negara China terhadap perebutan kawasan di Laut China Selatan nampaknya semakin tegang. Kalau sebelum ini kita melihat telah berlaku persengketaan di antara negara China dengan Filipina dan Vietnam kerana perebutan wilayah. Nampaknya sekarang keadaan tersebut telah mula menular ke wilayah Malaysia. 

Baru-baru ini pada 3 Jun 2015 dalam info FB nya, Yang Berhormat Menteri Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Shahidan Kassim telah melaporkan bahawa sebuah kapal pengawal pantai dari China didapati telah berlabuh di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia selama dua tahun. Kapal ini dikatakan berada di kedudukan benteng lukoilnya Laut China Selatan yang hanya 156 kilometer sahaja dari pantai Sarawak.

Ini bukan kali pertama China bertindak sedemikian. Sebelum ini pada Januari 2014, tiga buah kapal tentera laut China telah menghampiri benteng James yang hanya 80 kilometer dari pantai Sarawak. Malah angkatan tentera China juga telah mengadakan dua latihan ketenteraan di kawasan tersebut. 

Tindak tanduk China dengan sewenang-wenangnya menceroboh perairan negara tidak boleh lagi dipandang ringan. Tindakannya itu bukan sahaja menceroboh wilayah negara, malah tidak menghormati kedaulatan negara dan mencabar kesabaran dan sifat toleransi yang kita telah tanamkan selama ini. 

Sepatutnya sebagai negara sahabat yang mempunyai hubungan baik dengan Malaysia, China tidak patut bertindak sedemikian yang boleh menjejaskan hubungan baik yang telah disemai selama ini. Tuntutan China terhadap sebahagian besar kawasan Laut China Selatan dianggap keterlaluan dan tidak berasaskan undang-undang antarabangsa. 

Tuntutan Beijing hanya berasaskan sejarah lampau adalah begitu samar sekali sehinggakan garis had sempadan tuntutan mereka tidak dapat ditentukan dengan jelas oleh mana-mana pihak termasuk China sendiri. 

"...
Sedikit lagi Tuan Yang di-Pertua. Saya habiskan ini, okey. Tindakan China yang telah mendirikan beberapa buah pangkalan tentera di beberapa buah lokasi di Kepulauan Spratly dan Paracel serta memperkenalkan beberapa peraturan penguatkuasaan seperti arahan peraturan menangkap ikan dan pengeluaran pasport khas bagi kawasan Laut China Selatan menunjukkan bahawa China telah bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan termasuklah tindakan ketenteraan. 

Melihat kepada perkembangan ini negara kita tidak bolehlah lagi berlembut dan memandang ringan terhadap isu ini. Sudah tiba masanya negara menyuarakan bantahan terhadap tindakan China ini. 


Apa yang membimbangkan saya apabila pegawai daripada Kementerian Luar China menyatakan bahawa Malaysia tidak menyuarakan apa-apa bantahan terhadap pencerobohan kapal-kapal tentera lautnya di perairan Malaysia. Kalau dibiarkan jangan terkejut mungkin dalam tempoh masa yang tidak berapa lama China akan mendirikan pangkalan tentera di benteng-benteng atau pulau-pulau di perairan wilayah kita pula. 

Oleh itu saya mencadangkan kepada kerajaan supaya kita memutuskan bantahan rasmi kepada Kerajaan China. Kita tidak mahu China mengambil kesempatan atas sikap berlembut dan tolak ansur kita sehingga membolehkan mereka mengongkong ataupun menggugat kita. Walaupun kita sebuah negara yang kecil, kita mesti berani dan tegas apabila keadaan memerlukan..."

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...