Friday 8 January 2016

Positif Blogging


Saya selalu terfikir dan berpandangan populariti bukanlah segala-galanya. Jika hendak popular sudah tentu ada resepi dan cara-caranya yang boleh diikut. 

Ramai yang telah lakukan dan terbukti keberkesanannya. Tetapi adakah itu segala-galanya. Adakah dengan cara itu ia dapat membuat perubahan yang positif dalam iklim blogging dalam Malaysia ini. 

Dalam suasana umpat, fitnah dan propaganda negatif berleluasa dan mendapat tempat dalam bacaan masyarakat, sudah tentu perlunya ada keseimbangan. Perlunya ada pihak memberikan masukan positif. Walaupun ianya kurang atau pun mungkin tidak mendapat perhatian. 

Satu lagi gejala yang saya cuba lawan dan sebahagian dari perjuangan saya dalam alam blogging ini ialah sifat mudah mempercayai khabar-khabar negatif tidak benar yang tersebar di kalangan rakyat kita. Apabila mereka mudah percaya maka mudahlah viral. Apabila sudah viral khabar negatif yang palsu itu sudah pasti memberikan impak yang buruk kepada mangsa-mangsanya.

Saya juga terbayangkan, jikalah ada facebook ketika zaman nabi-nabi dahulu kemungkinan besar nabi-nabi inilah yang mendapat paling sedikit like” kerana tugas mereka adalah menentang arus. Bayangkan Nabi Luth a.s sudah tentu mendapat like paling sikit berbanding keseluruhan rakyat yang lain tidak sealiran dengannya dalam isu pergaulan seks sejenis. Jumlah “like" kepada Nabi Luth ini bolehlah kita anggarkan hanyalah satu jumlah individu yang cukup untuk menaiki kapal kayu yang dibinanya itu. Dan yang kita maklum selain daripada di atas kapal itu seluruh manusia di atas bumi ketika itu telah pupus.

Selain mengumpat keburukan orang lain, fitnah dan propaganda songsang ada juga khabar palsu yang dikenali juga sebagai “hoax”. Ada pula yang dinamakan “hoax islami”. Hoax Islami ini adalah khabar direka oleh seseorang mengenai sesuatu yang melibatkan Islam dan mempunyai intonasi yang positif. 

Ia menyebabkan orang Islam yang membacanya mudah percaya dan menyebarkan “hoax” tersebut. Apabila sudah tersebar dalam tempoh yang lama barulah ada orang menyedari ia tidak benar dan realiti itu sudah tentulah tidak elok kesannya dan memalukan. 

Dalam blog incikposmen ini, ada 3 posting mengenai hoax semacam itu yang telah diselidiki dan terbukti ianya tidak benar. Ataupun belum lagi berlaku ketika ianya didakwa telah berlaku. 

Visi saya ialah supaya rakyat Malaysia ini mempunyai sifat teliti terhadap sesuatu maklumat dan menyelidik dahulu kebenarannya sebelum bertindak menyebarkannya. Mungkin ia cita-cita yang tinggi tetapi sekurang-kurangnya saya memberikan sedikit sumbangan.

Saya berharap selagi ada tenaga fikiran untuk menulis blog, akan memberikan masukan-masukan positif yang dapat memberikan keseimbangan kepada unsur-unsur negatif di dalam alam siber ini. Saya juga percaya penulis-penulis lain di dalam blog ini juga begitu. 

Semoga inilah yang akan menjadi perjuangan kita dan sumbangan kepada agama, bangsa dan tanah air.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...