Maksud hadis menyatakan orang yang paling susah adalah para Nabi. Kemudian orang yang mengikut mereka. Kemudian orang yang mengikut mereka. Dalam makna yang lain pula, orang yang seperti mereka.
Sheikh Hamzah Yusuf mengatakan dunia adalah sebagai "place of broken hearts". Atau dalam bahasa Melayunya dunia ini adalah tempat berdukacita. Kerana kehidupan dunia sebenarnya adalah ujian. Orang yang tertipu ialah yang menganggap kehidupan di dunia sebagai bahagia kekal abadi. Atau mencari yang seumpamanya di sini.
Apabila kita merasa susah atau ditimpa pelbagai ujian, ingatlah bahawa kita bukannya nabi. Sebab selepas Nabi Muhammad SAW sudah tidak ada Nabi kerana penamatnya bagi sekian rasul dan nabi. Tetapi entah-entah kesusahan yang bertimpa-timpa itu melayakkan seseorang itu menjadi pengikut-pengikut yang rapat kepada para Nabi sebagai dalam hadis itu. Wallahua'lam.
Kesusahan yang menimpa orang-orang beriman adalah ujian atau training kepada hati. Supaya hati lebih layak untuk memiliki sifat-sifat yang Allah redai. Sekiranya seseorang itu memiliki sifat-sifat bermutu tinggi seperti ini, itulah sebenarnya harta atau milikan yang sangat berharga dan lebih bernilai dari apa-apa pemilikan terhadap harta dunia atau wang ringgit, dollar atau euro sekalipun.


