Sunday 6 August 2017

CABARAN GETIR IMIGRESEN - Utusan Malaysia


SELASA lalu genap setahun DATUK SERI MUSTAFAR ALI menerajui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebagai Ketua Pengarah.

Sebagai bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terkenal dengan integritinya, sudah tentu besar harapan masyarakat terhadap beliau bagi memulihkan imej JIM yang agak terpalit dengan persepsi negatif dan isu rasuah.

Dalam tempoh singkat selama 12 bulan menduduki 'kerusi panas’ itu, Mustafar yang mengibaratkan dirinya “ular menyusur akar takkan hilang bisanya” berjaya mengubah JIM sebagai sebuah agensi penguatkuasaan yang digeruni dengan menunjukkan ketegasan tanpa berkompromi dalam soal kedaulatan dan keselamatan negara.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI bersama jurufoto FAISOL MUSTAFA, Ketua Pengarah Imigresen itu berkongsi pelbagai cabaran dan kekangan yang dihadapi jabatan  itu dalam membanteras pendatang  asing  tanpa izin (PATI). 


MINGGUAN: JIM banyak terpalit dengan isu rasuah sebelum ini. Selepas setahun menjadi Ketua Pengarah, bagaimana Datuk Seri melihat jabatan ini?

MUSTAFAR: Walaupun masuk ke tempat yang orang persepsikan banyak rasuah, tetapi bila saya ambil tugas sebagai Ketua Pengarah Imigresen, saya tahu ada cabaran dan ancaman di situ. Tetapi di situ juga ada peluang. Peluangnya ialah saya ada 14,420 orang (kakitangan) untuk saya bersihkan, ataupun bersama-sama mengajak mereka memilih jalan yang lebih positif daripada persepsi masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta semua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR). Bilakah JIM akan berbuat demikian?

MUSTAFAR: Imigresen akan menandatangani IBR minggu hadapan.

Datuk Seri bukan sahaja dilihat ‘orang luar’ malah dari SPRM. Bagaimana penerimaan dan kerjasama warga Imigresen kepada Datuk Seri?

MUSTAFAR: Pada hari pertama, memang betul persepsi mereka bahawa saya orang luar dan dari SPRM pula. Pada hari pertama saya bertugas di JIM, perkara pertama yang saya sebut ialah kamu semua bukan pegawai saya tetapi keluarga saya. Jangan khianati ayah dan abang kamu.

Dalam brotherhood, pernahkah orang kata ini bekas bapa saya atau ini bekas abang saya? Tidak ada. Tetapi kalau sebagai bekas bos, ada. Jadi saya minta mereka anggap saya sebagai bapa dan abang. Mereka kata, tak pernah orang kata kami sebagai keluarga. Bila sebut sebagai keluarga, dari awal lagi ada pertautan dan kebersamaan.

Memang betul ada pegawai yang buat kesalahan, tetapi rata-ratanya mereka membina sendiri nilai-nilai baik dan positif. Pada masa yang sama, saya tunjukkan ketegasan. Saya tangkap pegawai yang buat salah. Contohnya, dalam beberapa bulan selepas saya masuk ke JIM, kita bekerjasama dengan beberapa agensi menangkap tiga pegawai Imigresen.

Apabila membaca berita tentang orang ramai mempersoalkan kebanjiran PATI, apakah yang terlintas di fikiran Datuk Seri?

MUSTAFAR: Misalnya, bila keluar tajuk berita “Kuala Lumpur dijajah” pada musim perayaan di muka hadapan akhbar, saya cakap beratnya dan apa saya hendak jawab. Saya bertanya kepada diri sendiri, apakah saya telah memikul amanah dengan baik?

Walhal puncanya bukan Imigresen. Tidak boleh salahkan Imigresen sebab kita buat operasi hari-hari. Tapi oleh sebab ada lebihan pekerja asing dan ‘lorong-lorong tikus’ atau ‘lorong-lorong gajah’, masalah ini wujud.

Sebagai sebuah agensi penguatkuasaan yang banyak dikaitkan dengan rasuah, apakah cabaran utama Datuk Seri dalam mengetuai jabatan ini?

MUSTAFAR: Kalau sebut cabaran, memang pelbagai. Di mana-mana jabatan pun, harapan itu adalah cabaran paling utama. Saya bawa lima expectation. Yang pertama, harapan diri saya terhadap diri sendiri. Apabila saya datang dari SPRM ke JIM, harapan saya ialah ke mana saya akan bawah JIM. Perlu ada satu hala tuju dan dimensi baharu sebab kita ada cabaran baharu.

Yang kedua, harapan masyarakat terhadap diri saya sebagai bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM kepada Ketua Pengarah Imigresen. Jadi, itu cabaran kepada saya untuk memenuhi harapan mereka ke arah penambahbaikan apa sahaja sistem yang ada.

Seterusnya, harapan majikan khususnya daripada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang meletakkan saya di sini, harapan keluarga dan harapan masyarakat luar negara.

Walaupun tugas JIM adalah pelbagai, tetapi masyarakat lebih melihat jabatan ini bertanggungjawab terhadap isu PATI. Setakat ini sejauh mana JIM berjaya mengurangkan PATI di negara ini?

MUSTAFAR: Persepsi masyarakat apabila nampak sahaja orang Bangladesh, Myanmar dan Indonesia, mesti PATI. Itu tidak betul. Jangan persalahkan Imigresen sebab ada orang asing ini betul-betul bekerja.

Contoh, kita buat pemeriksaan di sebuah tapak pembinaan di Nilai, Negeri Sembilan. Daripada 450 pekerja yang diperiksa, seramai 306 orang ditangkap kerana menyalahgunakan pas lawatan, tidak ada dokumen dan sebagainya. Yang selebihnya ada dokumen yang sah.

Saya tidak mahu cakap tentang kejayaan Imigresen sahaja. Ia mesti satu tindakan yang melibatkan usaha semua pihak. Kejayaan kerajaan, kejayaan KDN, kejayaan JIM dan kejayaan persatuan-persatuan majikan.

Imigresen menguatkuasakan undang-undang. Kalau kita tangkap, kita usir keluar dan ada yang didakwa di mahkamah serta dipenjara. Tetapi sampai bila? Banyak orang dan saya sendiri kata, penguatkuasaan adalah seperti berlawan dengan api. Tangkap, tuduh dan sebagainya. Kita sepatutnya tengok punca utama masalah itu berlaku.


Walaupun JIM melakukan operasi setiap hari tetapi masyarakat masih melihat jabatan ini gagal membanteras PATI. Di mana silapnya?

MUSTAFAR:Saya sebutkan dengan satu perkataan mudah iaitu pendidikan. Kita perlu mendidik masyarakat. Kita tidak boleh melihat sesuatu jabatan dengan satu tugas sahaja. Bila orang sebut Imigresen, tugasnya cuma berkenaan PATI, sedangkan kerja kita macam-macam termasuk dari segi visa, pas pelajar, pasport, permit dan sebagainya.

Sekarang ini, bila nampak tempat ramai pekerja asing, orang tanya apa Imigresen buat? Tapi di mana peranan pihak berkuasa tempatan (PBT)? Kalau premis itu adalah pusat hiburan, sepatutnya cuma pusat hiburan tetapi dicampur dengan mesin judi haram. Polis buat tangkapan tetapi kenapa PBT tidak tutup tempat itu?

Sepatutnya apabila tahu ada kegiatan tidak bermoral berlaku, PBT tutup tempat itu. Kalau perlu robohkan bangunan, robohkan. Ada satu premis di bawah Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang sudah 25 kali diserbu pihak berkuasa tetapi masih beroperasi kegiatan sama.

Apakah kekangan yang menyukarkan usaha membanteras PATI?

MUSTAFAR: Masalah memang banyak dan kita perlu tangani secara holistik. Maknanya, kalau hendak menangani kuota pekerja, kita perlu pergi balik ke Kementerian Sumber Manusia. Perlu ada naziran berapa ramai pekerja yang diperlukan dalam sesuatu industri itu bagi memastikan pekerja asing dibawa masuk mengikut kuota tertentu. Kalau tidak nanti, berlaku lambakan pekerja.

Sekarang ini, kita hendakkan pekerja tetapi pekerja tidak bekerja di tempat yang sepatutnya, sebaliknya mereka dijual oleh majikan dan ejen. Tan Sri P. Ramlee sudah sebut, menjual orang lebih untung daripada menjual unta. Ada yang minta sampai 10,000 orang tetapi sebenarnya syarikat yang minta itu tak minta pun.

Selain itu, ada pusat-pusat bahasa yang mendapat lesen daripada Kementerian Pendidikan Tinggi untuk membawa pelajar-pelajar tetapi bila kita semak, institusi itu tidak ada atau institusi itu ada tetapi cuma ada sebuah bilik kecil dengan sebuah meja dan papan hitam. Bila semak kononnya ada institusi tapi sebenarnya penipu. Institusi bahasa ini pun hendak menjual orang. Mereka mungkin mendapat komisyen RM10,000 atau RM15,000.

Kita sudah bersama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi menangani isu ini. Dalam masa sama, kita tangkap pelajar yang tidak belajar tetapi bekerja. Yang paling ramai ditangkap ialah orang Nigeria dan Bangladesh.

Satu lagi, ekspatriat kategori pertama dengan gaji RM5,200 ke atas boleh bawa keluarga tetapi keluarga pula pergi bekerja. Bayangkan kalau ekspatriat ada 100,000 kali dengan keluarga yang dibawa, orang nampak ini orang asing.

Satu lagi masalah ialah pelarian Rohingya yang diberikan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). Kerajaan buat projek perintis dan berikan mereka kerja di ladang Sime Darby tetapi mereka lari kerana tidak mahu bekerja di situ. Bila menjadi pemegang kad UNHCR, kita tidak boleh tangkap mereka sebab mereka ada perlindungan antarabangsa.

Sejauh mana seriusnya penyalahgunaan permit dalam kalangan pekerja asing?

MUSTAFAR: Saya boleh katakan ia serius. Sebab ada pekerja bekerja dengan majikan A tapi dia lari dan jadi PATI. Ada majikan pada mulanya ada projek tetapi apabila tidak ada projek, pekerja disewakan kepada majikan lain. Mereka yang datang sebagai pelajar tetapi tidak belajar dan bekerja juga menjadi PATI. Ada jadi pembantu rumah tetapi bekerja di industri lain juga menjadi PATI.

Ada majikan memohon pekerja ladang dan membayar levi RM640 tapi rupa-rupanya dia hantar orang itu bekerja di industri pembinaan. Sebab industri pembinaan levinya RM1,850. Dia menciptakan satu peluang bagaimana hendak bayar levi lebih murah.

Dalam tempoh setahun ini, apakah penambahbaikan yang dibuat oleh JIM?

MUSTAFAR: Ada tiga transformasi yang dibuat iaitu transformasi modal insan, struktur organisasi dan kawalan yang melibatkan visa. Bila saya masuk, saya tengok struktur organisasi, tidak ada jawatan Timbalan Ketua Pengarah Operasi. Yang ada jawatan Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan dan Timbalan Ketua Pengarah Kawalan. Bahagian operasi hanya ada seorang Pengarah Penguatkuasa.

Saya berjumpa dengan Ketua Setiausaha Negara dan saya beritahu saya memerlukan seorang Timbalan Ketua Pengarah Operasi dan di bawahnya akan ada empat bahagian yang akan saya bentukkan iaitu penguat kuasa, depot, risikan operasi khas dan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).

Selepas dua minggu bertugas, saya ubah slogan JIM kepada integriti, profesional dan mesra. Sebelum ini JIM sudah buat pelan strategik 2015-2020. Apabila saya masuk, saya buat pelan strategik 2016-2020. Kita tengok balik apa yang ada sekarang dan hala tuju.

Kita juga memperkenalkan visa elektronik yang dipanggil e-visa. Selepas itu, kita bentuk pusat komunikasi e-visa, satu prasarana logistik yang membolehkan kita memantau secara real time di seluruh dunia tempat-tempat atase kita yang mengeluarkan pasport dan visa.

Mulai 1 September 2016, kita memperkenalkan sistem pembaharuan pasport dalam talian atau MyOnline Pasport. Pemohon cuma perlu memuatnaik foto seperti spesifikasi yang dikehendaki dan membayar RM200 melalui kad kredit. Esok mereka pergi ke pejabat Imigresen yang dipilih untuk mengambil pasport. Prosesnya tidak sampai 10 minit.

Sejak awal tahun ini juga kita memperkenalkan inisiatif sistem kawalan imigresen automatik bagi penunggang motosikal (M-Bike) di pintu masuk Malaysia untuk mengurangkan kesesakan di laluan motosikal.

Macam di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru, Johor sahaja, ada 60,000 buah motosikal yang akan masuk dan keluar dari Singapura setiap hari. Kalau dahulu kena pergi ke kaunter dan itu mengambil proses yang panjang tetapi sekarang cuma lapan saat.

Sekarang kita sedang usahakan bagaimana untuk mengesan sama ada pelancong sudah keluar atau tidak sebelum tamat tempoh tinggal. Tahun ini, seramai 35 juta pelancong dijangka memasuki negara kita. Walaupun sukar untuk mentadbir jumlah itu tetapi kita akan buat. Kita akan buat automasi menerusi Internet.

Apa kerajaan boleh buat bagi menangani masalah kebanjiran PATI?

MUSTAFAR: Ada dua langkah yang boleh dibuat oleh kerajaaan iaitu reformasi undang-undang dan reformasi pentadbiran. Sebagai contoh tindakan terhadap majikan yang menggajikan PATI, kita mengambil tindakan membekukan aset mereka.

Banyak lagi reformasi undang-undang yang boleh dibuat. Ada 54 perkara yang sedang kita teliti dan kita memberikan kepada keutamaan tertentu. Kemudian dari segi reformasi pentadbiran, ia tidak memerlukan undang-undang. Ia cuma memerlukan kuasa ketua pengarah yang boleh mengeluarkan arahan tetap dari segi mempermudahkan cara. Tetapi dalam masa sama, kita tidak berkompromi.

http://m.utusan.com.my/rencana/utama/cabaran-getir-imigresen-1.511579#.WYalw6mVVRg.whatsapp                        

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...