Tuesday 22 August 2017

Orang Yang Paling Susah


Maksud hadis menyatakan orang yang paling susah adalah para Nabi. Kemudian orang yang mengikut mereka. Kemudian orang yang mengikut mereka. Dalam makna yang lain pula, orang yang seperti mereka. 

Sheikh Hamzah Yusuf mengatakan dunia adalah sebagai "place of broken hearts". Atau dalam bahasa Melayunya dunia ini adalah tempat berdukacita. Kerana kehidupan dunia sebenarnya adalah ujian. Orang yang tertipu ialah yang menganggap kehidupan di dunia sebagai bahagia kekal abadi. Atau mencari yang seumpamanya di sini. 

Apabila kita merasa susah atau ditimpa pelbagai ujian, ingatlah bahawa kita bukannya nabi. Sebab selepas Nabi Muhammad SAW sudah tidak ada Nabi kerana penamatnya bagi sekian rasul dan nabi. Tetapi entah-entah kesusahan yang bertimpa-timpa itu melayakkan seseorang itu menjadi pengikut-pengikut yang rapat kepada para Nabi sebagai dalam hadis itu. Wallahua'lam.

Kesusahan yang menimpa orang-orang beriman adalah ujian atau training kepada hati. Supaya hati lebih layak untuk memiliki sifat-sifat yang Allah redai. Sekiranya seseorang itu memiliki sifat-sifat bermutu tinggi seperti ini, itulah sebenarnya harta atau milikan yang sangat berharga dan lebih bernilai dari apa-apa pemilikan terhadap harta dunia atau wang ringgit, dollar atau euro sekalipun.


Adalah rugi sekiranya kita tidak beranggapan sedemikian sedangkan kehidupan dunia ini hakikatnya adalah ujian bagi manusia siapa yang diantara mereka yang melakukan amalan atau pekerjaan yang terbaik. Dengan melalui ujianlah manusia dapat memiliki sifat-sifat terpuji kerana telah berjaya melalui dugaan dan cabaran getir. Ibarat melalui latihan yang keras, sudah tentu para pelatihnya bersungguh-sungguh menghadapinya dan ingin mengakhiri latihan dengan memiliki skil kemahiran yang mantap. Skil yang terhasil daripada latihan yang keras dan di tahap tinggi pula bakal menghasilkan pendapatan yang tinggi di kemudian hari.

Sudah tentu berbezanya latihan keras yang dijalani oleh seorang askar biasa dan latihan keras yang dijalani oleh seorang komando. Masing-masing melalui latihan dan keluar dengan kedudukan martabat  yang berbeza. Begitu jugalah maqam kerohanian manusia-manusia itu.

Susah dan senang itu silih berganti. Susah adalah ujian dan senang juga adalah ujian. Syukur dan sabar itu silih berganti pula. Pendek kata, apabila diuji semoga kita dapat memilih satu jalan yang terbaik. Sebagai amalan yang terbaik. 

Kehidupan dunia yang jelas sementara tempohnya. Segala yang bermula akan ada akhirnya. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...