Saturday 1 August 2015

Nasihat kepada adik-adik yang sedang belajar - Antara politik dan kenegaraan.



Antara politik dan kenegaraan.


Adik-adik yang sedang belajar di kolej atau pun di universiti sudah tentu mengalami satu fenomena dimana adik-adik akan didedahkan atau pun didekati oleh kumpulan-kumpulan yang mewakili kepentingan parti politik tertentu.


Sudah tentu adik-adik bebas untuk memilih atau menyertai mana-mana kumpulan ini sesuai dengan citarasa dan kecenderungan politik adik-adik.


Jika tidak pun, pada zaman teknologi maklumat yang meletup-letup ini, adik-adik sudah tentu memiliki alat komunikasi canggih bagi tujuan berhubungan dengan keluarga dan rakan. Dengan adanya apps seperti facebook, whatsapp, telegram, wechat dan berbagai lagi, adik-adik sudah tentu disogok dengan bermacam-macam maklumat politik samada dihantar oleh friends atau pun sesiapa jua yang mempunyai kepentingan. Tidak kira daripada mana-mana pihak sekalipun.

Sekali lagi, adik-adik bebas untuk membaca info-info berkenaan sepertimana ia telah masuk ke dalam henfon-henfon adik-adik. Kalau dahulu jika ada henfon pun, mungkin kita tak faham apa yang dibaca. Tetapi apabila sudah belajar di tahap diploma atau pun ijazah, kita mula memahami dan perasaan ingin tahu itu adalah lebih.

Itu adalah pilihan masing-masing. Baik atau buruknya akan ditanggung oleh orang yang membuat pilihan. Cuma sebagai seorang pelajar, adik-adik sebenarnya baru terdedah kepada satu suasana mempelajari apa itu dunia politik. Walaupun adik-adik tidak menceburkan diri di dalamnya.

Apa jua posisi atau pun pandangan yang diambil, sebenarnya apa yang terbaik buat seorang pelajar itu adalah belajar. Maksudnya timbalah ilmu sebanyak yang mungkin bagi memahami apa yang sedang berlaku dalam negara. Untuk memahami itu, kita memerlukan ilmu. 

Ilmu di dada.

Penuhkanlah dada masing-masing dengan ilmu berkenaan kenegaraan. Fahamilah sistem pemerintahan negara. Bagaimana ia berfungsi. Fahamilah juga sistem perundangan dan ekonomi negara.

Jika kita mengambil bidang engineering atau pun medic, janganlah kita tidak membaca mengenai sejarah negara. Supaya kita faham apa yang telah berlaku, sedang berlaku dan perancangan di masa hadapan.

Sudut Islam

Inilah teras yang harus dijaga. Belajarlah mengenai fiqh kenegaraan jika berpeluang. Adik-adik akan mendapati apa yang ditulis dalam kitab-kitab fiqh ini berlainan dengan apa yang dipropagandakan oleh mereka yang menggunakan Islam bagi tujuan politik. 

Hadam dan jazamkan ilmu berkenaan akidah Islam. Kerana itulah teras yang paling teras. Tiada gunanya seseorang itu mendakwa memperjuangkan Islam jika dia atau kumpulannya membuat kompromi terhadap akidah Islam. Tiada ruang untuk itu. Jangan sekali-kali mengikut kumpulan seperti itu.

Ramai juga ahli politik yang mendakwa memperjuangkan Islam tetapi berkompromi atau  menggadaikan soal akidah. Itu tidak sepatutnya berlaku.

Realistik

Student di universiti kebanyakannya boleh jadi begitu idealistik. Dan ramai yang menjadi terlalu idealistik. Tetapi tidaklah salah jika para pelajar bersikap begitu dalam ruang lingkup suasana universiti. Di situlah mereka membuat praktikal tentang idealisma mereka melalui pemilihan wakil-wakil pelajar di kampus. 

Seterusnya membuat ujikaji dengan melaksanakan idealisma mereka itu setelah dipilih oleh pelajar-pelajar. Yang penting semua dalam suasana kampus. Bukan di luar kampus!

Adik-adik mula mempelajari adakah idea yang dipegang itu dapat dilaksanakan. Adakah perlaksanaan semudah ucapan kata-kata yang indah didengar. 

Hakikatnya hanya dengan bersusah payah sahaja baru kita dapat melaksanakan apa yang ideal itu. Itu pun tidak semua yang dapat dilaksanakan.

Hanya pengalaman sahaja yang akan mengajar adik-adik berkenaan perkara ini. 

Melabur dalam menimba ilmu

Yakinlah dan melaburlah dalam menimba ilmu. Janganlah membuat perkara selain itu. Kerana itulah pelaburan yang adik-adik tidak akan menyesal. 

Kerana untuk mendapat CGPA yang tinggi kadang-kala ada yang boleh mencapainya dengan pelbagai cara yang lain. 

Ada juga yang bersusah payah belajar tetapi CGPA yang diperolehi tidak mencerminkan usaha itu. Bagi yang golongan begini janganlah berputus asa. Kerana dunia pekerjaan yang diceburi nanti sangatlah berbeza dengan dunia belajar.

Ada yang cemerlang dalam akademik tetapi tidak dalam dunia pekerjaan. Ada pula yang sebaliknya.

Negara kita bina bersama

Samada adik-adik menceburi bidang politik atau tidak, itu bukanlah menjadi persoalannya. Persoalannya ialah adakah kita hendak membina dan memakmurkan negara ini atau hendak menjatuhkan martabatnya atau menghancurkannya. 

Politik dan kenegaraan

Politik pula adalah berkenaan kuasa memerintah. Ada yang menceburi politik dan menjadi ahli politik dan ada pula menjadi jentera politik walaupun tidak berminat untuk bertanding.

Tetapi memberi sumbangan kepada negara tidaklah semestinya seseorang itu menjadi ahli politik atau pun menjadi jentera politik. Apa yang jelasnya jika matlamat dan cara itu baik, iaitu bagi membangunkan dan memakmurkan negara, dia sudah boleh menyumbang kepada negara yang dicintainya.

Oleh itu kita mestilah mempunyai pandangan terhadap kenegaraan yang baik dan jelas. Mungkin ada yang merasa jelek dengan perangai orang-orang politik tertentu dan meluat dengan propaganda jatuh-menjatuhkan yang berlaku di antara kumpulan-kumpulan politik yang berlawanan.

Tetapi ingatlah. Satu pandangan yang baik dan jelas terhadap kenegaraan itu adalah jauh berbeza daripada itu. Pandangan yang murni tidak terikat dengan mana-mana individu atau pun kumpulan yang berkepentingan. Inilah kekuatan terpendam yang mampu merubah mana-mana parti politik pun daripada mengamalkan keburukan kepada amalan kebaikan. Jika ramai yang mempunyai pandangan seperti ini, kita dapat melihat negara akan semakin aman, maju dan berjaya. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...