Thursday 16 March 2017

Siapakah Rohingya?



Asal usul orang Rohingya

Menurut Tin Soe, mereka adalah daripada pelbagai keturunan migran seperti pedagang Arab, pelaut, sebahagian besar kontijen tentera dari Bengal, orang-orang Islam yang ditangkap lanun di dalam abad ke 17 dan 18, keluarga dan keturunan bangsawan Putera Monghul Shah Shuja dan juga termasuklah sebilangan ramai orang-orang mualaf Islam. 

Menurut Tun Khin, orang Islam telah tinggal di Arakan berabad-abad yang lalu. Ahli sejarahwan yang bebas telah mengesahkan perkara ini. Ini diperkuatkan lagi dengan penemuan masjid-masjid kuno di Arakan. Fakta juga menunjukkan pemerintah Arakan ketika itu menggunakan gelaran-gelaran Islamik serta syiling dengan tulisan-tulisan yang Islamik.

Penggunaan perkataan Rohingya pula telah dikesan digunakan oleh seorang penyelidik berbangsa Eropah iaitu Francis Buchanan yang mana beliau telah menyebut mengenai satu dialek dari barat Burma "dituturkan oleh [Orang Islam], yang mana mereka telah lama tinggal di Arakan, dan mereka menamakan diri mereka sebagai "Rooinga, atau penduduk tetap Arakan". Perkataan yang dipanggil Rohingya juga telah dikesan penggunaannya di dalam Journal of London yang diterbitan dalam tahun 1811. Selain itu perkataan Rohingya dijumpai juga di dalam Collections Vocabulorum yang diterbitkan di Berlin, Jerman dalam tahun 1815.

Hari ini ini dianggarkan jumlah orang Rohingya di seluruh dunia adalah 3 juta orang. Dalam anggaran 1.5 juta masih lagi tinggal di Myanmar manakala 1.5 juta menjadi pelarian di negara-negara seperti Bangladesh, Pakistan, Arab Saudi, Malaysia, Thailand serta sebilangan mereka pula berada di negara-negara Eropah, Jepun dan Australia.

Hari ini juga etnik Rohingya dikenali sebagai "the most persecuted people on earth" yang membawa maksud orang yang paling ditindas di atas muka bumi. Ini kerana etnik mereka tidak diiktiraf sebagai warganegara Myanmar maka diusir serta ditindas kerajaan Myanmar dengan kekejaman dan tindakan diluar batas kemanusiaan. 

Rohingya di Malaysia

Menurut UNHCR, bilangan orang Rohingya di Malaysia adalah dianggarkan seramai  56,000 orang.

Disebabkan faktor perundangan, pelarian Rohingya yang berstatus UNHCR di Malaysia tidak dapat bekerja dan juga mendapat pendidikan yang formal. Dengan itu, mereka menyara pendapatan secara tidak formal serta memberikan pendidikan kepada anak-anak melalui usaha NGO. Sejak tahun lepas, kerajaan Malaysia telah memulakan inisiatif untuk melaksanakan pilot projek mengambil 300 orang Rohingya berstatus UNHCR bagi diserapkan dalam sektor pekerjaan separuh mahir.

Melalui dana 50 juta USD yang disumbangkan oleh Qatar untuk Malaysia melaksanakan pelbagai program untuk orang Rohingya. Antara program itu adalah latihan sektor pekerjaan mahir dan separuh mahir kepada orang-orang Rohingya.

Selainnya itu persatuan-persatuan NGO akan digerakkan bagi memberikan pendidikan pra-sekolah dan juga pendidikan rendah kepada anak-anak Rohingya. DS Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri pula baru-baru ini telah menyatakan pendidikan tersebut akan mengikut norma serta modul pendidikan Myanmar.

Dengan perancangan ini diharap akan dapat membantu generasi Rohingya agar mendapat pendidikan serta kompetensi untuk bekerja seterusnya memperjuang nasib mereka agar satu hari nanti dapat diterima kembali sebagai warganegara Myanmar. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...