Saturday 4 March 2017

RELA Sukarela Tapi Dibayar?



Biasa cakap-cakap orang kebanyakan ialah orang RELA jaga kenduri dan orang JPAM tangkap ular. Tapi itu sebenarnya cakap-cakap orang berdasarkan apa yang mereka lihat. Sudah jadi kebiasaan apa yang dilihat secara berulang-ulang itulah yang mereka anggap sebagai satu fahaman yang kemudiannya diterima pakai oleh semua.

Sebenarnya tugas dan peranan kedua-dua pasukan ni termaktub atau ditulis di dalam undang-undang. Mereka menjalankan tugas dan peranan yang sudah ditentukan di dalam undang-undang. Malah tugas dan peranan mereka bukanlah sekadar menjaga kenduri dan menangkap ular. 

Ada juga kes dimana khidmat mereka ini diminta oleh orang ramai atau pun organisasi tertentu untuk membuat satu tugasan. Tetapi selalu juga terjadi salah faham kerana orang kebanyakan beranggap apabila RELA bertugas, tugas itu adalah sukarela semata-mata. Tak melibatkan sebarang perbelanjaan. Cukuplah sekadar dengan memberikan mereka makan dan minum yang sewajarnya selama tempoh penugasan itu. 

Mereka yang salah faham ini kemudiannya terkejut yang sebenarnya khidmat seorang anggota RELA perlu dibayar mengikut jumlah jam penugasan. Ada yang mempertikaikan perkataan "sukarelawan" atau "rela" yang digunapakai. Kenapa mereka menjadi "sukarela" tetapi dibayar? Pakai sahaja perkataan "PaksaRela" kata seorang itu.

Sekarang kita cuba lihat apakah perbezaan antara sukarelawan dari RELA ini dengan sukarelawan yang ikut Tok Ompek dengan Tok Imam masjid bergotong royong membersihkan masjid dan tanah perkuburan.

Sebenarnya anggota RELA itu adalah dari apa yang dikenali sebagai pasukan sukarelawan di bawah undang-undang bertulis. Terdapat dua pasukan utama yang boleh dijadikan contoh pasukan sukarelawan di bawah undang-undang bertulis ini iaitu RELA dan JPAM / APM. (JPAM sejak tahun lepas telah menggunakan nama Angkatan Pertahanan Awam / APM selari dengan lulusnya pindaan kepada Akta Undang-undang yang digunakan mereka).



Kedua-dua pasukan sukarelawan ini asalnya daripada sebelum perang dunia kedua dahulu dan mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Pada awalnya kedua-dua pasukan ini mempunyai peranan "passive defence" yang membantu elemen pertahanan negara iaitu ketenteraan. Yang mana kemudiannya berkembang dan dikenali sebagai "Civil Defence". Namun, dalam perjalanan sejarah memperlihatkan kedua-dua pasukan ini mengambil haluan masing-masing yang tersendiri. Yang akhirnya, Pasukan RELA mempunyai Akta yang baru dalam tahun 2012 manakala JPAM atau APM mempunyai satu pindaan Akta yang signifikan dalam tahun 2016. Macam mana pun kedua-duanya masih lagi Pasukan Sukarelawan utama negara dengan tugas serta peranan yang termaktub dalam Akta masing-masing.

Tugas SAR (Search And Rescue) JPAM
yang kini dikenali sebagai APM
Tugas-tugas RELA dan JPAM / APM ini bukanlah calang-calangnya. Ia melibatkan aspek melindungi keselamatan negara dan juga aspek perlindungan kepada orang awam dari ancaman buatan manusia atau bencana. Nak melaksanakan tugas yang macam ini memerlukan latihan tertentu. Kalau tak bagaimana nak memberikan pertolongan cemas kepada mangsa yang mengalami kecederaan. Bagaimana nak membantu pihak keselamatan lain seperti polis dan tentera di dalam suasana darurat dan sebagainya. 

Pasukan RELA berkawad senjata M16
Itu semua melibatkan kos dan mereka tidak dibayar mengikut duit "welfare" semata-mata dalam melaksanakan tugas-tugas khusus itu. Undang-undang bertulis menetapkan elaun untuk dibayar kepada anggota Sukarelawan yang bertugas. Dan sekali lagi, tugas dan peranan kedua-dua Pasukan Sukarelawan ini bukanlah semata-mata menjaga kenduri dan menangkap ular. Ia lebih dari itu. RELA mempunyai peranan di dalam membantu  menjaga keselamatan negara manakala JPAM / APM merupakan agensi operasional utama yang berperanan melindungi orang awam dari kesan bencana dan apa-apa kesan dari ancaman buatan manusia. 

Mereka menjalani latihan khusus untuk melaksanakan tugas dan peranan itu. Itulah yang membezakan sukarelawan dalam erti kata biasa dan Anggota Pasukan Sukarelawan di bawah undang-undang bertulis. Kalau sukarelawan dari NGO mereka akan mengikut konsep dan peraturan di bawa NGO pula. Kalau sukarelawan bergotong royong di kampung, itu kena menerima arahan dari Ketua Kampung yang berkaitan. 

Kesimpulannya, sesiapa yang hendakkan khidmat dari anggota RELA perlulah mengambilkira kos elaun tugas sebagaimana yang termaktub di dalam undang-undang. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...