Friday 17 March 2017

Cerita Politik : Ijmak Umat Melayuwiyah

Cerita Koboi Hanya Gambar Hiasan
Dahulu PAS pernah menjadi koboi. PAS berpakat-pakat dengan DAP dan PKR menentang apa yang mereka persepsikan sebagai "musuh". Jika pertempuran berlaku dan musuh kalah, PAS terpaksa pula selepas itu bertembak-tembak koboi dengan DAP atau dengan PKR sekali pun. Tapi itu sudah menjadi sejarah. Kumpulan tertentu dari PAS telah keluar dan membentuk PAN. Selepas kumpulan itu keluar, politik PAS semakin stabil dan tidak lagi menjadi haru biru. 

Sejak itu PAS sanggup bergerak sendirian walaupun jelas jika bersendirian impak dari segi politik tidaklah realistik. PAS keluar dari Pakatan Rakyat. PAS tak mahu masuk Pakatan Harapan. Walaupun Tun Dr M mendesak-desak dan mengancam, PAS tegas dengan pendirian tidak mahu bersama DAP. 

Sudah tentu terdapat perbezaan di antara UMNO dengan PAS. Tetapi terdapat juga persamaan. UMNO terdiri dari orang-orang Melayu dan beragama Islam. Begitu juga PAS. UMNO pernah menjadi objek sasaran perjuangan PAS. Pernah mendapat gelaran kafir atau kufur kerana menentang hudud atau undang-undang Islam. Dahulu ahli-ahli UMNO ramai yang berpendidikan sekular dan beramalan dengan fahaman tersebut. Itu yang menjadi "bahan" kepada pusat markas PAS yang memberikan tarbiyah kepada ahli-ahli. Perjuangan PAS adalah menentang UMNO dan Barisan Nasional!

Selepas pengalaman buruk dengan Pakatan Rakyat, PAS kembali bergerak sendirian. 

UMNO pula tidak seperti dahulu. Ramai ahli-ahlinya kini berpendidikan Islam dan memahami hala tuju perjuangan Islam. Ini termasuklah antara pemimpin-pemimpin utama UMNO. UMNO tidak seperti dahulu. Dalam tahun lepas sahaja kita lihat Ustaz Shamsul Debat dengan lantangnya telah memberikan ucapan di dalam Perhimpunan Agung Umno dan meminta supaya UMNO tegas dengan hala tuju menegakkan Islam dan tidak tergugat dengan desakan pihak lain yang tidak ada kena mengena dengan Islam. Hal ehwal Islam adalah urusan umat Islam. Takkanlah berwuduk pun kena tanya sami, ujar Ustaz Shamsul.

Kerajaan pun mengadakan indeks Syariah. Memantau amalan syariah di Malaysia dan berusaha memperbaiki praktis syariah samada dari teorinya atau praktikal. Sudah tentu usaha ini adalah berterusan dan tidak dapat dicapai dalam masa yang singkat. Pokoknya, UMNO bukanlah seperti dahulu. Malah bukan seperti UMNO di bawah pemerintahan Tun Dr Mahathir. 

PAS juga bukanlah seperti dahulu. Walaupun ada segelintir orang-orang berfahaman PAS ini masih lagi tidak tahu apa yang berlaku kepada parti dan apa parti sedang buat sekarang. PAS sudah  terbuka hati berkerjasama dengan UMNO dalam urusan yang melibatkan kepentingan agama serta maslahah umat Islam. 

Banyak bukti-bukti menunjukkan keadaan kerjasama yang dilihat berlaku dengan selesa ini. Semua maklum yang orang-orang PAS turut menaiki kapal Nautical Aliyah ke Myanmar dan Bangladesh bagi menghantar bantuan makanan kepada orang-orang Rohingya. Kerjasama membantu orang-orang Rohingya ini berterusan dengan program-program susulan. Inilah yang dikatakan kerjasama untuk maslahah umat Islam. 

Dari segi politik belum ada lagi kerjasama yang signifikan setakat ini. Malah PAS masih merancang untuk bertanding sekurang-kurangnya satu lawan satu dengan UMNO dalam Pru-14 akan datang. Tetapi dalam urusan RUU 355 yang mendapat tentangan dari parti-parti politik bukan Islam samada dari pembangkang atau pun kerajaan, UMNO dilihat mempunyai satu suara dengan PAS. Walaupun dilihat ada sebilangan ahli UMNO yang tidak bersetuju tetapi jumlahnya mungkin tidak mempengaruhi keputusan kepimpinan. 

Tetapi hari ini kita dikejutkan dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, DS Zahid Hamidi;

“RUU 355 akan dibentang sendiri oleh kerajaan di Parlimen tidak lama lagi. Insya Allah dengan doa untuk kita menyatukan orang Melayu. Biarlah kita kehilangan segelintir ‘kawan’ kita, tapi kita akan dapat ‘kawan baru’ yang kumpulannya lebih besar bersama kita.
“‘Kawan baharu’ kita ini mungkin dulu musuh politik kita, tapi mereka sudah faham untuk sama-sama tangani masalah (berkaitan Islam) dengan tidak mengetepikan agama lain,” katanya dipetik akhbar itu hari ini.


Kenyataan Timbalan Perdana Menteri ini menunjukkan UMNO bersedia kehilangan segelintir rakan politik (yang tidak memberikan kesan pun dalam pilihanraya umum) dan menerima PAS sebagai rakan politik yang baru. Ini kerana membentangkan RUU 355 tersebut sudah tentu mendapat tentangan hebat pihak tertentu dalam BN dan mungkin ada reaksi drastik drastik dari mereka.

PAS pula bukanlah calang-calang parti politik. Ia mendapat sokongan yang kuat dari kalangan orang Melayu. PAS juga didokong oleh ramai professioanal dari berbagai latarbelakang. Mereka sanggup memberikan khidmat percuma fi sabilillah sekiranya mendapat arahan dari pihak atasan. PAS juga dibantu oleh syarikat-syarikat serta badan-badan yang mempunyai kekuatan kewangan yang besar. Sekiranya diperlukan, dana berjuta-juta dapat disalurkan dalam masa yang singkat. Ini adalah fakta. Fakta inilah yang membuatkan parti seperti PAN menjadi tidak signifikan.


Kini sekurang-kurangnya persefahaman di antara PAS dan UMNO adalah berdasarkan maslahah ummah. Tidaklah mustahil pula persefahaman dari segi politik berlaku. Persefahaman di antara PAS dan UMNO adalah kesatuan orang Melayu dan Umat Islam. Ia boleh menjadi satu ijmak. Ijmak umat Melayu dan Umat Islam. Sekiranya berlaku ijmak, maka dikhuatiri yang lain adalah di luar ijmak. 

Kerana diluar ijmak hanyalah serpihan kecil dan serpihan itulah bersekali dengan mereka yang menentang Islam seperti penyokong-penyokong LGBT. 

Wallhahua'lam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...