Tuesday 26 January 2016

Indonesia belajar daripada undang-undang anti terror Malaysia ?


Pihak Indonesia telah mengeluarkan kenyataan bahawa ia kini ingin melihat kepada undang-undang anti-terror Malaysia yang dianggapnya lebih ketat dan tegas berbanding Indonesia. Ia berbuat demikian bagi tujuan pindaan terhadap undang-undang anti-terror negara itu berikutan serangan terroris / pengganas di Sarinah, Jakarta baru-baru ini. (Sumber)

Apakah setting undang-undang anti-keganasan Malaysia yang ingin dilihat oleh Indonesia ini?

Malaysia baru-baru ini memasukkan lagi satu koleksi undang-undang anti-keganasan iaitu Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 yang memperuntukkan kuasa khas Perdana Menteri bagi mengisytiharkan sesuatu kawasan sebagai kawasan keselamatan dan seterusnya akan dikawal mengikut peraturan-peraturan dan protokol keselamatan yang terpakai ketika itu.

POTA
Sudah tentu akta yang baru diluluskan ini bukanlah untuk kegunaan kes-kes jenayah seharian seperti undang-undang anti-jenayah atau pun akta-akta penguatkuasaan yang lain. Tetapi ianya ibarat senjata yang di"simpan" dan bakal digunakan ketika keadaan memerlukan. Mungkin kerajaan telah mengambil iktibar daripada kejadian pencerobohan oleh militan Sulu di Lahad Datu.

Selain akta yang baru itu Malaysia dilihat mempunyai beberapa akta yang telah diluluskan oleh parlimen yang berkaitan dengan keganasan. Jika dilihat dengan lebih mendalam lagi, sebenarnya akta-akta ini adalah perundangan yang diluluskan selepas pemansuhan Akta ISA dan Ordinan Darurat dalam tahun 2011 - 2012.

Malaysia sendiri telah mengalami evolusi undang-undang selepas kedua-dua akta undang-undang pencegahan ini dimansuhkan. Evolusi ini berlaku kerana perlunya keseimbangan di antara keselamatan negara dan juga hak asasi manusia. Dilihat selepas itu terdapat sekurang-kurangnya 3 Akta undang-undang pencegahan digubal dan aktif bagi tujuan penguatkuasaan. 

SOSMA
Akta-akta itu adalah SOSMA, POCA dan POTA. POTA pula walaupun belum berkuatkuasa dijangka akan digunakan secara optimum berikutan meningkatnya serangan daripada pengganas di seluruh dunia dan juga tangkapan di dalam Malaysia sendiri khusus berkaitan dengan kumpulan pengganas antarabangsa yang digelar sebagai Daesh atau juga dikenali sebagai IS / ISIS / ISIL.

Indonesia mengakui ia ingin merujuk kepada undang-undang Malaysia tetapi ia tidak mahu menjadi seketat atau setegas Malaysia katanya. Mungkin Indonesia yang mahu dikenali sebagai negara yang liberal dan lebih meraikan human right berbanding Malaysia sedikit ragu-ragu untuk membuat undang-undang yang tegas terhadap aktiviti terroris.

Sebenarnya tegas atau tidak bukanlah menjadi persoalannya. Persoalan pokok ialah adakah undang-undang yang digubal itu berkesan untuk mengatasi ancaman yang mendatang?

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...