Tuesday, 5 May 2015

Terfikir berkenaan kes kemalangan maut - Pakcik

Kemalangan maut memang menyayatkan hati, apatah lagi melibatkan bayi, kanak-kanak, kehilangan orang yang tersayang, anak-anak menjadi yatim piatu dan sebagainya. 

Ramai yang marah dan terganggu emosi apabila membaca berita ini di akhbar. Ramai yang menyalahkan pihak tertentu akibat kesalahan atau kelalaian mereka. Baru-baru ini selepas kejadian Pajero dilanggar Myvi di lebuhraya Duke, Gombak - Kuala Lumpur kita dikejutkan pula dengan kejadian bayi tercampak daripada MPV Exora di Senai, Johor yang mengakibatkan kematiannya.

Bermacam-macamlah percakapan orang mengulas berita tersebut. Disebabkan tekanan emosi sehingga ada menyalahkan sang ibu yang tidak meletakkan bayinya dalam car seat di belakang. 

Sejak bila pula ibu tak duduk di depan meriba bayi? 

Ini perkara biasa dan memang munasabah pada akal. Cuma malang tidak berbau dan ajal itu sudah ditentukan. Sudah tentu sang bapa dan sang ibu tidak mahu perkara itu terjadi dan jika mereka dapat mengetahui perkara mendatang mereka tidak melakukan perkara yang menjadi kebiasaan umum itu. Kita manusia hanya boleh berikhtiar. Berikhtiar ini bermaksud membuat pilihan yang baik berdasarkan ilmu yang benar.

Apabila saya memandu kereta setiap hari, saya dapat melihat perkara-perkara yang luar kebiasaan yang berkemungkinan besar mengundang pertambahan statistik. 

Contohnya kereta-kereta yang memotong di selekoh yang tajam yang berbukit. Seolah-olah pemandu mengetahui tiada kereta yang mendatang dibalik bukit tersebut. Atau pun memotong menaiki bukit yang mana kereta mendatang pun turut terselindung.

Saya melihat kereta-kereta bergerak laju di laluan motorsikal. Tidak merasa bersalah sedikit pun. Walaupun dihon oleh penunggang-penunggang motorsikal yang tidak berpuashati.

Dan banyak lagi contoh-contoh yang berpotensi menjadi statistik ini.

Saya terfikir sendirian dan merasa sangat hairan. Tidakkah mereka ini sedar yang mana perbuatan ini mengundang bahaya? Tidakkah mereka baca suratkhabar semalam, kelmarin, minggu lepas, bulan lepas berkenaan kemalangan yang diakibatkan kecuaian?

Inilah pada pandangan saya ajaibnya perangai manusia ini. Ketika selepas sahaja membaca akhbar, kita boleh membayangkan apabila memandu nanti kita dapat melihat ramai pemandu yang memandu seolah-olah tidak pernah membaca surat khabar berkenaan kemalangan maut. Dan sememang itulah yang berlaku, jika anda tidak percaya tengoklah keesokan hari apabila anda memandu.

Memanglah walaupun berhati-hati mana pun kita, kita tidak dapat menolak qada' dan qadar yang ditetapkan Robbul Jalil. Boleh sahaja kemalangan berlaku diakibatkan kelalaian orang lain. 

Tetapi kita sebagai manusia haruslah berikhtiar dan berdoa.

Doa menaiki kenderaan


سُبْحَانَ اْلَذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَ مَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِيْنَ وَ اِنَّا اِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُوْنَ

Maksud:

Maha Suci Allah yang mempermudahkan ini (kenderaan/perjalanan) untuk kami. Dan tiadalah kami berkuasa menggunakannya (secara hakiki). Sesungguhnya kami pastilah akan kembali kepada Tuhan kami.

Perkara-perkara yang berlaku seharian seperti ini membangkitkan rasa keinginan saya untuk menulis di dalam blog seperti ini. Ini kerana saya juga teringat akan pesan Nabi SAW yang menganjurkan kita supaya sentiasa ingat mengingatkan. Ingat mengingatkan memberi manfaat kepada orang yang beriman. Juga agar ia menjadi satu amal saleh yang diterima Allah di akhirat kelak.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...