Bagi rakyat marhain mereka tidak mungkin dapat mengira dengan perkiraan yang begitu kompleks apakah kesan Gst terhadap diri mereka dan impak pula kepada ekonomi negara secara skala besar.
Apa yang mereka tahu adakah teh tarik yang mereka minum di restoran atau kedai minuman pada setiap pagi mempunyai kenaikan harga atau tidak.
Secara mudahnya rakyat dengan mudah dapat memberikan kesimpulan yang macam ini.
1. Ada peniaga yang menaikkan harga selepas Gst.
2. Ada peniaga yang tidak menaikkan harga selepas Gst.
Fikirkan munasabahnya
Kalau ada peniaga yang tak naikkan harga kenapa peniaga lain naikkan harga?
Mesti ada sebab dan alasan mereka. Adakah alasan mereka itu munasabah?
Kita juga dapat saksikan ada peniaga menaikkan harga sebelum Gst dijalankan lagi. Pada waktu itu mereka menyalahkan kerajaan kerana INGIN menjalankan Gst. Sudah jelas yang mereka ini telah pun memanipulasikan harga tanpa justifikasi dan mendapat keuntungan yang tidak munasabah.
Selepas Gst peniaga-peniaga sejenis inilah yang menggunakan alasan Gst untuk menaikkan lagi harga barang-barang jualan mereka.
Sedangkan tidak semua barang selepas dikenakan 6% Gst akan menjadi mahal. Sebab ada yang sebelum itu cukainya adalah sehingga 10%. Dah tentulah kadar 6% itu lebih rendah dan menyebabkan barangnya sekarang sepatutnya jadi lebih murah.
Ada juga barang-barang yang tak dikenakan Gst, setidaknya pun dulu dikenakan cukai 6% dan sekarang Gstnya 6%. Sudah tentu tidak ada sebarang perubahan harga.
Peniaga yang tamak dan berniat jahat inilah yang dahulunya menyebarkan rekaan harga barang naik disebabkan harga minyak tidak turun. Mereka kantoi setelah ditakdirkan harga minyak turun dan kita dapat menyaksikan mereka tidak menurunkan harga barang mereka.
Kalau kita hendak menjadikan negara kita maju maknanya budaya kita pun hendaklah maju. Kita hendaklah membudayakan kebijaksanaan dalam tindakan kita.
Dalam hal ini kebijaksanaan ialah membeli barang yang sama atau kualitinya sama pada harga yang lebih murah. Ertinya jika ada peniaga lain yang menaikkan harga dengan tidak munasabah janganlah kita membeli daripadanya.
Kita beli daripada peniaga yang tidak menaikkan harga.
Peniaga juga ada yang waras, bijaksana dan bertimbangrasa. Antaranya mereka yang sanggup menyerap kos 6% Gst itu. Dan ini bukanlah dilakukan semberono.
Ianya diputuskan mereka setelah membuat kiraan dan pertimbangan untung dan rugi. Bagi mereka memang munasabah untuk tidak menaikkan harga.
Tindakan mereka ini menjadikan jurang di antara peniaga yang waras ini dan juga peniaga yang rakus, tamak, tidak bertimbang rasa dan berniat jahat.
Tetapi akhirnya rakyatlah yang memilih. Rakyatlah yang menjadi hakim kepada kedua jenis peniaga itu. Siapakah yang betul dan siapakah yang salah.
Kuasa membeli di tangan anda.
No comments:
Post a Comment