Friday 24 April 2015

Hati-hati dengan kad debit / kredit anda !!



Ketika membayar di Kaunter.

KEJADIAN DI SEBUAH PREMIS PERNIAGAAN DI LOWYAT, KUALA LUMPUR

Pada satu hari saya membeli peralatan komputer di sebuah kedai komputer di Lowyat. Kedai komputer itu bermula dengan huruf P. Ianya menjual banyak alat-alat komputer dan gajet-gajet yang lain. Di situ saya membeli sebuah hard disk external.

Ketika saya ingin membayar di kaunter pembayaran. Saya menggunapakai kad debit yang dikeluarkan oleh sebuah bank tempatan yang terkenal. Apabila saya menyerahkan kad debit itu kepada cashier, seorang wanita cina yang berwajah garang, saya terkejut.

Cashier itu dengan pantas menaip dalam komputer nombor kad tersebut dan sudah tentu beliau dapat melihat nombor security. Saya ketika itu sangat kaget alias tergamam. Walaupun pada pengetahuan saya ia tidak sepatutnya berlaku, tetapi akibat perbuatan spontan cashier itu dengan wajahnya yang mencuka saya tidak pantas memberikan reaksi.

Saya terfikir pada ketika itu adakah ini normal? Fikiran saya pun pantas berfikir tentang akibatnya jika cashier itu benar-benar telah merekod semua nombor siri kad termasuklah tiga digit nombor keselamatan. 

Saya pun beredar daripada kedai “P” itu setelah membayar hardisk external yang saya beli tanpa bertanyakan perkara itu kepada cashier tersebut kerana saya berasa sangat keliru. 

MENGHUBUNGI OPERATOR BANK

Tetapi kerana saya perlu berhati-hati dan risau akan akibatnya saya menghubungi operator bank secara 24 jam bagi menanyakan perbuatan cashier itu.

Operator bank yang saya hubungi mengatakan ia tidak sepatutnya berlaku. Dan fahaman saya mengenai kesemua nombor siri dan no keselamatan 3 digit itu menyebabkan orang yang memilikinya boleh membuat transaksi pembelian di internet  adalah benar.

Sebagai langkah yang sepatutnya, saya sebagai pelanggan Bank terlibat membuat arahan membatalkan kad debit itu.

AKIBAT SEKIRANYA KAD DEBIT ITU TIDAK DIBATALKAN

Orang yang memiliki no Kad Debit beserta No 3 digit keselamatan boleh membuat transaksi pembelian di Internet.

Sebab kita dah biasa tengok cerita CSI, kita pun dalam hal ini akan berfikir sebagai seorang penyiasat. Kita meletakkan diri kita dalam minda penjenayah yang ingin melakukan langkah jenayahnya.

Kemungkinan besar, sindiket tidak akan menggunakan terus nombor-nombor yang dimiliki untuk membuat pembelian online kerana ini akan menyedarkan pemilik kad mengenai kehilangan sejumlah amaun dalam simpanan atau pun mendapat mesej satu transaksi telah dilakukan dan Bank meminta pemegang kad bagi menghubungi Bank sekiranya benar tidak dilakukan olehnya.

Matlamat sindiket sudah tentu untuk menggunakannya untuk membuat beberapa transaksi pembelian atau pengeluaran wang yang menguntungkan sebelum pemegang kad menyedarinya dan membatalkan kad debit terlibat.

DIHUBUNGI SINDIKET

Seperti jangkaan saya, sindiket mengambil masa yang agak panjang sebelum memulakan langkah. Dalam tempoh lebih 1 tahun kemudian tetapi tidak sampai 2 tahun, saya menerima satu panggilan oleh “No Caller ID”. 

Seorang wanita India telah mendakwa sebagai kakitangan Bank dan ingin membuat semakan berkenaan penggunaan kad debit saya. Dia meminta saya menyatakan no siri kad saya bagi tujuan itu. Oleh kerana saya tidak memiliki kad debit lagi sudah tentu saya tidak dapat memberikannya.

Sudah tentu modus operandi seperti ini bukanlah daripada Bank sebenar. Inilah yang boleh mengelirukan orang-orang awam. Bayangkan para pakcik dan makcik yang kurang arif mengenai perkara ini, mereka dengan mudah sahaja boleh ditipu. 

Sudah tentu kita berasa kasihan kerana mereka kehilangan wang hasil pendapatan atau simpanan yang mereka usahakan. Apatah lagi bagi golongan yang sederhana dan tidak mempunyai pendapatan yang tinggi.

BERCERITA KISAH SAYA KEPADA SEORANG PEMIMPIN ORGANISASI.

Saya menceritakan kisah di atas kepada seorang wanita yang memegang jawatan sebagai pengurus besar sebuah organisasi. Beliau terkejut kerana perbuatan cashier-cashier mengambil nombor kad ini adalah biasa terjadi kepada dirinya. Beliau tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah saya menceritakan kisah ini.

Beliau hanya mengatakan kepada saya “Patutlah setiap bulan I rasa duit I short seribu dua”.

MINTA BANK MENGAMBIL LANGKAH KESELAMATAN DAN PENGGUNA KAD DEBIT BERHATI-HATI

Bank-bank seperti Maybank, CIMB, Bank Islam dan lain-lain perlu mengambil perhatian mengenai perkara ini. Memanglah notis mengenainya telah diperingatkan kepada pelanggan, tetapi tidak semua yang mampu menjaganya. Satu kaedah lain perlu difikirkan khususnya melibatkan pemegang kad warga tua yang mungkin mudah tertipu.

Kepada pelanggan dan lain-lain, silalah periksa penggunaan kad anda dan juga keluarga anda, khususnya emak, bapa, datuk dan nenek anda. Elakkan jadi mangsa sindiket yang ingin mengambil bahagian dalam rezeki orang lain secara haram.

Silalah sebarkan untuk kebaikan semua.

Ps: Mungkin juga boleh berlaku kepada kad kredit. Kerana  sifat transaksi adalah sama online, perlukan No Kad dan No sekuriti 3 pin.

1 comment:

  1. Baru terjadi pada saya pagi tadi. Nasib baik saya perasan cashier tgh key in no kad saya. Walaupun lambat sedar.kalau x saya nak paywave tp tak boleh katanya.lepas tu suruh saya guna pin. Nasib baik sempat menjeling pada skrin cashier tu dan perasan. Alhamdulillah baru lepas ambil kad baru di bank

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...