Wednesday, 20 September 2017

Isu-isu di dalam insiden kebakaran Maahad Tahfiz Datuk Keramat


6 daripada 7 suspek yang membakar Maahad Tahfiz Darul Quran Al-Ittifaqiah di Kampung Datuk Keramat disahkan positif dadah jenis ganja ketika melakukan perbuatan yang dikategorikan kesalahan jenayah di bawah Seksyen 475 di bawah Kanun Kesiksaan melibatkan mencetuskan kebakaran dengan sengaja. Siasatan polis juga dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Kesiksaan bagi kesalahan membunuh.

Motif perbuatan mereka itu disifatkan pihak polis sebagai membalas dendam akibat tidak puas hati diejek oleh sebilangan pelajar tahfiz berkenaan. Perbuatan mereka membakar maahad tahfiz berkenaan yang mana perbuatan tersebut dilakukan pada awal pagi / malam ketika kesemua penghuni maahad tahfiz berkenaan sedang lena tidur menimbulkan satu persoalan di khayalak ramai.

Adakah mereka mengetahui akibat perbuatan itu dengan menggunakan tong gas dan bahan yang boleh menyebabkan api marak dengan cepat bakal berakhir dengan kebakaran yang menyebabkan kematian?

Pihak PDRM telah mengeluarkan kenyataan melalui sidang media menunjukkan kesemua suspek berniat atau pun mempunyai motif untuk membakar maahad tahfiz berkenaan. Ada kemungkinan mereka tidak mempunyai niat untuk membunuh walaupun cara perbuatan dilakukan boleh dilihat mengakibatkan kematian. Pihak polis mengatakan mungkin atas faktor umur, minda mereka tidak dapat melihat akibat daripada perbuatan tersebut. Apatah lagi 6 daripada mereka positif ganja dan berkemungkinan besar mempunyai pengaruh kepada minda. 

Pengaruh dadah

Kajian secara umumnya mendapati 60% jenayah yang dilakukan adalah membabitkan dadah. Suspek-suspek didalam kes ini pula adalah positif dadah ganja ketika jenayah dilakukan. 


Diberitakan pihak polis juga telah berjaya menangkap individu yang membekalkan dadah ganja kepada remaja-remaja berusia dari umur 12 hingga 18 tahun ini. 
Pemasangan CCTV berkualiti tinggi

Pemasangan CCTV dapat membantu mencegah jenayah dan juga menyelesaikan kes jenayah. Di dalam kes ini, pengecaman telah berjaya dilakukan terhadap seorang suspek melalui CCTV yang dipasang di bangunan PPIM. Melalui pengecaman ini suspek telah ditangkap dan seterusnya kesemua suspek dapat dikenalpasti dan ditahan. 


Pemasangan CCTV yang mempunyai definisi tinggi dan mempunyai kemampuan zooming akan lebih membantu pihak berkuasa membuat siasatan. 

Isu Maahad Tahfiz

Walaupun punca kebakaran telah dikenalpasti secara jelas, perbincangan mengenai kawalan dan keselamatan maahad-maahad tahfiz telah tercetus sehingga pelbagai pihak telah mendesak supaya kawalan undang-undang serta peraturan tegas dikenakan bagi kesemua maahad tahfiz. Ini adalah bagi tujuan agar keselamatan bangunan serta penghuni diberikan keutamaan oleh pentadbiran maahad selain peruntukan yang mencukupi disalurkan bagi tujuan itu. 

Umum mempunyai persepsi maahad tahfiz persendirian mempunyai infrastruktur yang daif dan tidak mempunyai kelengkapan yang mencukupi. 

Isu ini telah membuatkan pihak kerajaan mengumumkan pindaan segera terhadap Akta Pendidikan 1990 bagi mewujudkan keperluan pendaftaran kepada maahad-maahad tahfiz ini.



Isu Safety

Walaupun seolah-olah tenggelam tetapi isu ini bukanlah baru. Pihak BOMBA telah mengingatkan tentang perkara ini sejak bertahun-tahun kebelakangan. Malah manual bertulis dan bergambar pun telah lama dikeluarkan. Ianya berkenaan dengan isu gril atau jeriji tingkap yang dipasang mati menyebabkan apabila pintu utama gagal dibuka sewaktu kebakaran, penghuni premis terperangkap dan akhirnya menjadi mangsa maut di dalam premis. 

Contoh jeriji tingkap yang boleh dibuka dari dalam bagi tujuan keselamatan
penghuni apabila berlaku kebakaran. 

Perlu diingat isu ini bukanlah isu maahad tahfiz semata-mata tetapi bagi mana-mana premis yang memasang jeriji tingkap pasang mati dan tidak mempunyai exit atau jalan keluar alternatif. Khususnya jenis flat atau pun apartmen / pangsapuri yang mempunyai satu pintu. 

Syor oleh BOMBA
Kedudukan Jeriji tingkap boleh buka dari dalam.

Jenayah semakin kompleks. 


Selepas kejadian kebakaran yang meragut nyawa, salah seorang suspek berpura-pura pergi ke maahad tahfiz berkenaan dan bertanyakan apa yang telah berlaku kepada salah seorang pelajar tahfiz. Ini menunjukkan tahap minda penjenayah yang dimiliki oleh suspek. Kejadian seperti ini bukanlah pertama kali berlaku kerana pernah berlaku sebelum ini dalam kejadian jenayah yang lain. Apabila penjenayah semakin pandai dan licik, ia menjadi cabaran kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan. 

Juga viral dikhabarkan ada suspek yang tidak menyesal ketika disoalsiasat walaupun sudah mengetahui perbuatan mereka menyebabkan banyak kematian. 

Apatah lagi jika bukti-bukti amat sedikit dan petunjuk tidak diperolehi untuk membantu siasatan. Sebagai contoh, dalam kes penculikan kanak-kanak terkenal yang berakhir dengan kematian, iaitu Nurin, gambar CCTV suspek pelaku jenayah dan motorsikalnya terlalu kabur manakala bukti-bukti lain gagal ditemui sehingga menyebabkan siasatan menjadi buntu sehingga sekarang. 

Suspek-suspek ini bukanlah asalnya penjenayah. Tetapi mereka membuat satu perbuatan yang menjadikan mereka suspek penjenayah. Ada bekas guru mereka yang menyatakan suspek-suspek dikenali sebagai orang-orang baik dan mendengar kata ketika masih bersekolah. 

Isu keibu-bapaan dan anak-anak bermasalah

Semua orang berkahwin inginkan zuriat. Tetapi tak semua dapat menjaga anak-anak dengan baik. Pelbagai faktor dapat mempengaruhi anak-anak. Persekitaran sesuatu kediaman itu turut menjadi faktor penting. Pergaulan dengan rakan-rakan adalah bergantung dengan apakah jenis rakan-rakan yang ada di persekitaran tersebut yang ada untuk dibawa berkawan. 

Boleh jadi dalam satu kes, penduduk di kawasan berkenaan sudah tidak kisah dengan remaja-remaja nakal yang menghisap dadah dan membuat kerosakan harta benda. Ini kerana bagi mereka tidak ada yang dapat dilakukan. 

Bagi ibu-bapa mereka, kesempitan hidup dan kesukaran atau kesibukan mencari rezeki mungkin menjadi faktor kepada anak-anak terbiar. Apatah lagi mereka merasakan sukar untuk mendidik atau pun memperbetulkan anak-anak mereka yang bermasalah. Jalan akhir ialah membiarkan anak-anak bermasalah ini terus hanyut dengan dunia mereka dan untung nasib mereka sendiri.

Sejak tahun 1989 hingga insiden terbaharu itu, sebanyak 39 kebakaran maahad tahfiz telah berlaku melibatkan 56 kematian dengan 54 daripadanya adalah pelajar.

Isu takdir

Mana ada satu kejadian berlaku dalam alam ini yang bukan takdir. Kalaulah sesuatu benda berlaku tapi ia bukan takdir membuatkan seseorang itu berfikir Tuhan Pencipta Alam itu terlepas dari mentakdirkan sesuatu. Itu adalah mustahil. Kerana Allah Maha Berkuasa dan Kuasanya tidak disekutukan dengan sesiapa pun.

Tetapi sebagai makhluk ciptaan dan hamba Tuhan yang menjalani ujian dalam alam maya ini, kita diperintahkan untuk menisbatkan apa yang buruk telah berlaku, kepada diri kita sendiri. Kerana hakikatnya ia berlaku atas sebab kesilapan atau kelemahan manusia itu sendiri. 

Oleh itu perlulah kita mengkaji apa jua kelemahan yang telah berlaku dan berusaha membuat pembaikan. Kerana kita di alam sementara ini diuji terhadap apakah amalan terbaik yang kita lakukan. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...