Friday 10 October 2014

Konotasi "Selama Tuhanmu Ada"..


Bila membaca komen-komen pengunjung youtube yang mengandungi lagu hit Fynn Jamal, "Arjuna Beta" saya beberapa kali terjumpa komen yang berpandangan "Selama Tuhanmu Ada" itu adalah sesuatu frasa yang salah dari segi konotasinya.

Contohnya salah satu komen menyatakan,

"ayat -"selama tuhan mu  ada" tidak boleh dipakai kerana ia memberi konotasi bahawa tuhan mungkin akan takde."

Di sini saya cuba menganalisa dan secara peribadi memberikan pandangan. 

Pertama sekali kita bertanya Tuhan itu ada atau tidak? Sebagai orang Islam sudah tentulah Tuhan itu kita yakini Ada atau perkataan lain wujud.

Tetapi tidak semua orang beragama Islam. Tidak semua orang beragama. Ada orang tidak ada agama, mereka dinamakan sebagai Atheist. Orang yang tidak percayakan Tuhan. Bagi mereka, Tuhan itu tidak wujud atau tidak ada. Orang seperti ini mempercayai alam terjadi dengan sendirinya. Tidak ada pencipta alam.

Kedua, boleh tidak berlakunya keadaan orang itu percaya Tuhan itu wujud tetapi bertindak dan berfikir seperti Tuhan itu tidak wujud? Pernahkah anda bertemu orang seperti ini? Sebenarnya keadaan seperti ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuklah kepada orang Islam sendiri. Iaitu ketika dia lupa akan Tuhannya. Maka segala fikiran dan perbuatannya tidak berdasarkan apa yang disyariatkan. Itu satu contoh dalam kelupaan kepada Tuhan. 

Pernah saya mendengar satu kisah seorang tokoh agama memarahi seorang anak muridnya dengan berkata "Hang ni bercakap macam takdak Tuhan". Disini, konotasi perkataan guru agama itu bukanlah "Hang ni bercakap macam Atheist" tetapi bermaksud "Hang ni bercakap macamlah Tuhan tu tak dengar apa yang hang habaq tu" 

Maka pada pandangan saya "selagi Tuhanmu ada" bolehlah menjadi satu frasa yang sangat puitis. Mempunyai makna yang sedikit mendalam dan berlapis. Dari itu, perkataan ada itu tidaklah merujuk kepada persoalan zat Tuhan itu wujud atau tidak. Perkataan ada itu merujuk kepada persoalan keadaan seseorang  mempercayai Tuhan atau tidak.

Oleh itu, "selagi Tuhanmu ada" adalah frasa puitis membawa maksud "selagi engkau percaya akan Tuhanmu". Kerana ada atau tidaknya Tuhan kepada seseorang itu terpulanglah kepada kepercayaan dan iktikad seseorang. Walaupun hakikatnya, wujudnya Tuhan itu adalah wajib/pasti ada yang tidak menerima ketiadaan.

Ini juga dapat difahami melalui ayat lain di dalam lagu itu iaitu "bonda takkan ada  sentiasa". Ini adalah satu pengakuan yang zat bonda itu bukanlah kekal bernyawa/ada. Maka penulis lirik kemudiannya ingin menegaskan kepada anaknya bahawa jangan lupa kepada Tuhan kerana Tuhan itu sentiada ada. Berlawanan dengan keadaan zat bonda yang tidak abadi.

Tetapi untuk menerima frasa puitis ini juga seseorang itu perlulah memahaminya secara tepat begitu. Jika tidak mungkin sahaja fahamannya akan salah dan tersesat sebagaimana yang dirisaukan dalam komen di atas.

Maksud tawakal.

Dalam erti yang lain, ia juga boleh membawa maksud "selagi engkau bertawakal kepada Tuhanmu". 

Ini kerana percaya Tuhan itu ada tidak mencukupi sekiranya seseorang itu tidak yakin Tuhan itu Maha Mentadbir yang mana dia seharusnya bertawakal kepada-Nya.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...