Saturday 22 April 2017

Kisah Bisnes : Strategi Blue Ocean dalam Bisnes


Strategi Lautan Biru

Sesetengah orang memahami Blue Ocean Strategy sebagai melaksanakan peranan yang lebih meluas dalam membuat satu gerak kerja dan tidak membuat kerja di dalam keadaan silo (bersendirian). Ini bergantung kepada kefahaman seseorang itu yang mungkin diberi tugas khusus dalam posisi tertentu untuk mengembangkan peranannya supaya dapat memberikan impak kepada output organisasi. 

Sebenarnya makna Blue Ocean itu adalah bukan terhad kepada anti-silo semata-mata.

Blue Ocean Strategy VS Red Ocean

Strategi Laut Biru sebenarnya adalah bermatlamatkan kepada bisnes mencari keuntungan tanpa persaingan. Ia berlawanan dengan Red Ocean atau Strategi Laut Merah. Laut itu menjadi merah disebabkan banyaknya jerung di dalamnya yang bersaing mendapatkan makanan. Laut menjadi merah kerana banyaknya darah akibat jerung-jerung yang terpaksa membunuh jerung-jerung lain yang menjadi pesaingnya. 

Itulah berlaku kepada bisnes yang penuh dengan persaingan. Sudah tentu berlaku perlumbaan sesama sendiri bagi merebut pelanggan-pelanggan. 

Bagi pengamal Strategi Lautan Biru, dia memilih membuat bisnes di dalam bidang yang tidak ada lagi pesaing. Bagi tujuan ini sudah tentu ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian.

Mengkaji kekuatan diri sendiri. 

Ataupun seseorang itu bolehlah membuat kajian SWOT. Dia mengamati apakah Strength (Kekuatan),  Weakness (Kelemahan), Oppoturnity (Peluang) dan Threat (Ancaman) kepada jenis bisnes yang ingin diceburinya. 

Apa yang penting, produk atau servis yang ingin dijual itu hendaklah berasal daripada kelebihan atau kekuatan yang sedia ada pada diri seseorang itu. Jika tidak sudah tentu produk atau servis itu tidak mencapai kualiti yang signifikan atau pun tidak memenuhi kepuasan pelanggan. 

Mengkaji persaingan di pasaran dan lokaliti.

Jika anda menjual pizza di Mexico contohnya, sudah tentu anda mendapat persaingan yang sengit. Kerana Mexico ada ramai yang mahir dan pandai menghasilkan pizza yang sedap. Tetapi jika anda menjual nasi lemak di sana, mungkin ianya adalah unik dan mampu menarik perhatian pelanggan. Dengan syarat anda kenalah mengkaji juga selera orang tempatan.

Bagi orang Malaysia sebagai contohnya, mungkin tidak biasa makan nasi bercampur dengan susu. Bagi sesetengah orang nasi hendaklah bersama dengan rempah atau pun bahan-bahan yang pedas. 

Nasi orang Melayu dimakan bersama
ramuan berempah atau pedas.
Tetapi tidak bagi sesetengah orang Afrika, mereka memakan nasi bersama dengan susu. Jika orang Melayu boleh muntah makan nasi sedemikian, mereka pula boleh muntah jika makan nasi dengan lauk berempah atau pun pedas.

Kelebihan orang Melayu Malaysia ialah memasak dan menghasilkan nasi lemak yang sedap. Walaupun hidangannya mungkin simple tetapi ia tetap sedap dan kelebihan ini unik kepada orang Melayu. Orang bangsa lain mungkin boleh meniru masakan ini tetapi ramai yang gagal menghasilkan  nasi lemak yang benar-benar sedap walaupun berbagai inovasi dikenakan.

Bersaing dengan pesaing-pesaing yang kompetitif
ibarat laut merah yang dipenuhi jerung-jerung ganas.
Tetapi jika nasi lemak orang Melayu dijual di semenanjung Malaysia, sudah tentu ia menghadapi persaingan yang sengit. Kerana ramai yang pandai memasak nasi lemak yang sedap. Tetapi jika ia dibawa keluar sedikit dan dijual ke Sabah dan Sarawak, nasi lemak ini mungkin mendapat pelanggan-pelanggan yang baru kerana nasi lemak bukanlah makanan asal di situ. 

Dalam satu kes, dikhabarkan sebuah gerai  nasi lemak di Singapura mendapat perhatian daripada pelanggan-pelanggan dan mampu menghasilkan pendapatan kasar beratus ribu dolar Singapura. Apabila dirasa nasi lemak terbabit, rasanya memang sedap tetapi ia adalah standard sedap biasa sahaja bagi nasi lemak di Malaysia. 

Dalam kes ini, penjual nasi lemak berkenaan yang juga orang Melayu telah melaksanakan Blue Ocean Strategy kerana tidak semua orang Melayu boleh berniaga di Singapura. 

Sudah tentu produk orang Melayu tidak terhad kepada nasi lemak semata.

Peranan RND (Research and Development)

Membuat kajian membangunkan sesuatu produk atau servis itu dapat menghasilkan satu produk baru yang bakal menarik perhatian pelanggan. Produk baru itu sendiri adalah sesuatu yang unik dan berlainan dengan produk-produk lama. RnD di sini bukanlah bermaksud kajian makmal atau pun di dalam kilang yang besar tetapi secara kecil-kecilan seperti di rumah atau di dapur anda. Atau mungkin semasa anda bersembang bersama rakan-rakan di restoran mamak. Sambil membincangkan idea-idea dan mengembangkannya.

Betapa banyak jenis kopi di Malaysia tetapi...
seorang minah saleh mengatakan dia sukar
mendapatkan ground coffee di Malaysia.

Dengan pemikiran kreatif mungkin anda dapat menghasilkan satu karipap yang berlainan daripada karipap di pasaran. Sebagai contoh sudah ada orang yang menghasilkan karipap yang dipanggil nama Karipap King Kong. Yang bukan sahaja sedap tetapi saiznya luar biasa. 

Hendak seribu daya tak nak seribu dalih. 

Disini hanya menerangkan serba sedikit mengenai Blue Ocean Strategy. Jika anda berjaya melaksanakannya, anda berada di dalam satu market yang tiada pesaing-pesaing. Tetapi terpulanglah kepada diri anda sendiri bagi memilih samada untuk membuat Strategi Lautan Biru atau pun Strategi Lautan Merah. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...