Saturday 29 April 2017

Mencari Kalimah Yang Sama



Seorang rakan dari Sarawak yang saya kenali menceritakan kepada saya yang beliau telah mencipta sebuah lagu. Beliau pun memperdengarkan lagu itu kepada saya. Pada saya ia adalah lagu rock yang sememangnya sedap didengar dan mempunyai genre yang sama dengan lagu rock ciptaan Tam Spider.

Bukanlah satu kehairanan sekiranya bumiputera dari Sabah atau Sarawak menguasai bahasa kebangsaan dengan baik berbanding dengan bukan bumiputera tetapi saya lihat di sini mereka juga berkongsi citarasa yang sama dengan orang Melayu semenanjung walaupun mereka tidaklah dikenali sebagai orang Melayu dari konteks Perlembagaan Malaysia.

Mereka mungkin beragama Kristian tetapi tidak kekok menyanyikan lagu Dato' Siti Nurhaliza dijadikan lagu-lagu koir di dalam gereja. Seorang kenalan yang baru dikenali pula berbual dengan menyebut frasa Tuhan yang Satu atau Esa. Kemudiannya barulah saya dimaklumkan yang beliau beragama Kristian dan saya tidak mengecam sifat ini pada penampilan zahirnya. Kerana raut wajah orang Melayu Sarawak dengan bumiputera yang lain itu bagi saya bukanlah banyak perbezaannya. 

Kerana walaupun beliau menyebut Tuhan itu Esa, sudah tentulah dimaksudkannya dalam konteks agamanya yang mengadaptasi konsep triniti. 

Rakan saya yang pencipta lagu tadi beragama Kristian. Saya juga lihat rakan pencipta lagu ini juga cenderung kepada apa yang ditanggapi beliau sebagai lagu-lagu ketuhanan. Lagu-lagu ketuhanan itu adalah lagu-lagu Melayu yang diminatinya dan mempunyai unsur-unsur ketuhanan seperti mempunyai makna berdoa, bersyukur, pasrah atau pun unsur-unsur bergantung kepada Tuhan Pencipta Alam.

Apabila menjadi begitu, beliau sudah tentulah memahami dan menghayati lafaz-lafaz lagu Melayu tersebut yang dicipta oleh orang Melayu beragama Islam. Secara tidak langsung beliau menghayati serta menerima pakai banyak istilah-istilah dalam Bahasa Melayu yang berasal daripada kefahaman Islam.

Kuching, Sarawak

Sifat naluri kehambaan seorang manusia itu kepada Pencipta alam memerlukannya untuk mencari istilah-istilah bagi menzahirkan jiwa keagamaan. Dalam konteks Malaysia, sudah tentu bahasa ilmu dan bahasa pengantar utama adalah Bahasa Malaysia iaitu Bahasa Melayu selain Bahasa Inggeris. Bahasa Melayu pula adalah bahasa orang-orang Melayu yang beragama Islam dan kuat mengamalkan ajaran agama Islam. 

Jadi tidak hairanlah jika beliau juga menggunakan perkataan bersyukur, sabar, nikmat, beramal, beriman dan bermacam-macam lagi istilah yang berasal dari agama Islam tetapi telah digunapakai oleh semua rakyat Malaysia secara umumnya. Janganlah hairan pada suatu ketika mereka juga turut menerimapakai istilah yang lebih mendalam seperti ihsan, taqwa, riak, takbur, ujub, bertawakal dan lain-lain.

Saya secara peribadi tidaklah bersetuju pada penggunaan kalimah Allah diletakkan di dalam kitab Bible Kristian menggantikan perkataan Tuhan yang berkonsepkan triniti, tetapi pada masa yang sama saya merasakan simpati kerana mereka (pengikut) tercari-cari satu perkataan bagi menggantikan kalimah Tuhan itu. Saya juga mengesyaki isu ini disebabkan kegagalan mengenalpasti kalimah Rob (Lord) dan Ilah (God) dalam konteksnya di dalam ayat-ayat Bible tersebut. 

Tetapi saya rasakan isu kalimah di atas adalah berlainan dari isu yang saya bincangkan sekarang. Ini bukan isu nama zat Tuhan dan apakah perbuatanNya tetapi ini adalah isu perbuatan hamba kepada  Tuhan serta pengistilahannya. 

Walaubagaimanapun setelah saya mendengar dari rakan itu, saya mula mendapat fikiran yang baru. Betapa individu seperti ini ada perbezaannya tetapi banyak pula persamaannya. Mengapakah pendekatan kita cenderung kepada meraikan perbezaan. Sedangkan ajaran Islam itu meminta kita memanggil kepada kalimah / kefahaman yang serupa diantara umat Islam dan ahli Kitab. 

Mungkin kita terlebih melihat kepada "missionary". Tetapi rakan saya seperti ini jelas bukanlah missionary. Tetapi seorang manusia yang tercari-cari istilah-istilah bagi menzahirkan jiwa keagamaannya. 

Pada "zahir"nya mereka juga melafazkan beriman kepada Tuhan Yang Esa. Zahirnya itu sudah sama. Apatah lagi dengan citarasa lagu yang sama. Maka, berapa banyak lagi persamaan yang kita tidak tahu?


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...