Saya pada suatu hari saya berbual dengan seorang saudara saya ketika saya melawati beliau di rumahnya. Sudah tentu, ketika lawatan seperti ini banyak perkara dibincangkan selain daripada bertanya khabar mengenai diri dan keadaan keluarga masing-masing.
Sehinggalah kami berbincangkan mengenai suatu tajuk yang hangat diperkatakan sekarang ini malahan menjadi bualan orang ramai di seluruh dunia. Beliau iaitu saudara saya itu bertanyakan saya berkenaan kumpulan orang Islam di Arab yang dikenali sebagai "Islamic State".
Berdasarkan pembacaan saya yang daif ini, orang Arab sendiri di tempat mereka itu tidaklah memanggil mereka ini sebagai "Islamic State" atau gerakan Negara Islam. Mereka digelar sebagai "Daish". Apa maksudnya itu tidaklah saya tahu kerana kekurangan pengetahuan berkenaan perkataan arab itu.
Apa yang menjadi persoalan penting di sini ialah apabila saudara saya itu bertanyakan pendapat saya mengenai kumpulan yang diringkaskan sebagai I.S ini. Kumpulan I.S ini menggunakan bendera hitam sebagai bendera rasmi mereka. Pada bendera itu pula terteralah kalimah Shahadah dan Cop Mohor asal cincin Rasulullah SAW.
Beliau bertanyakan pendapat saya adakah jemaah orang Islam ini adalah kumpulan yang disebut-sebut oleh Nabi SAW di dalam hadis-hadis, khususnya yang meriwayatkan berkenaan akhir zaman.
Itulah satu persoalan yang berat bagi diri saya. Kerana untuk menetapkan satu pendirian yang berbentuk peribadi itu mungkin mudah. Akan tetapi jika pendapat saya itu ditanya dan menjadi pula pendapat yang akan dipakai oleh orang lain, itu sudah tentu sesuatu yang berat. Apatah lagi apa yang ditanya itu seharusnya di jawab oleh mufti-mufti atau pun orang alim lagi bijak pandai dalam bidangnya.
Dipendekkan cerita, saudara saya itu berpendapat kumpulan I.S ini mungkin benar kumpulan yang diperkatakan di dalam hadis itu. Buktinya mereka membawa bendera hitam atau panji hitam sepertimana di dalam matan-matan hadis zaman mutakhir.
Saya yang tidaklah alim ini hanya dapat mengatakan pendapat saya yang daif. Pandangan saya Nabi SAW melarang membakar semut lalu bagaimana perbuatan mereka itu yang membakar hidup-hidup tahanan yang beragama Islam sendiri. Suatu perbuatan yang tidak ada nas syaraknya.
Pendapat saudara saya itu bukanlah satu pendapat yang terpencil tetapi dikhuatiri ramai yang mempunyai zan seperti itu. Jika tidak, bagaimana pula dikhabarkan lebih lapan belas ribu warga dari luar Arab datang dan menyertai mereka itu.
Sefaham saya juga di akhir zaman ini akan berlakunya fitnah akhir zaman. Fitnah akhir zaman ini adalah seumpama semut hitam di atas batu yang hitam di malam yang gelap gulita. Sangat sukarnya untuk kita bagi mengenalpasti fitnah yang bakal menimpa itu.
Sudah tentulah kumpulan Panji Hitam yang sebenar membawa hakikat ajaran Nabi SAW. Ini bermaksud kedatangan mereka itu adalah membawa rahmat. Bagaimana pula suatu kumpulan yang tidak mengikut ajaran Nabi SAW kemudiannya dinisbatkan kepada Nabi SAW hanya kerana menggunakan panji hitam.
Inilah sekedar pandangan saya yang daif ini. Apa pun, saya berharap sangat kepada para alim ulama dan para pakar serta cendekiawan, memperjelaskan kepada umat Islam khususnya berkenaan perkara PANJI HITAM ini. Supaya zan-zan yang tidak berpijak pada yang hakiki seperti ini dapat ditangani sedari awal.
Persoalan panji hitam ini perlulah dijawab oleh alim ulama nusantara tidak kira apa jua ideologi politik mereka. Penerangan yang jelas sudah pasti dapat menghalang kepada umat Islam terjerumus ke dalam fitnah yang membinasakan.
Pakcik @ Incikposmen
No comments:
Post a Comment