Friday 18 May 2018

Kecenderungan untuk mengikut gerombolan orang ramai - Sheikh Hamzah Yusuf


Di dalam psikologi terdapat kajian yang menunjukkan bahawa manusia cenderung untuk mengikut arus orang yang lebih ramai. Terdapat sifat pada manusiawi itu yang menunjukkan kita adalah mahkluk yang berkumpulan, sebagaimana binatang yang cenderung untuk bergerombolan. Ia dinamakan sebagai "Herd Mentality".

Tidak banyak makhluk ciptaan Allah di muka bumi ini yang tidak cenderung berkumpulan. Manusia adalah salah satu daripada makhluk itu. Al-Quran banyak mengisahkan cerita-cerita kumpulan yang lebih kecil melawan kumpulan yang lebih besar.

Guru kepada Sheikh Hamzah sendiri iaitu Sheikh Abdullah Ibnu Baiyah apabila memberi ulasan mengenai revolusi rakyat, mengatakan ketika itu berlaku fenomena timbangan kebenaran itu diukur atas sentimen revolusi yang berlaku. Bukannya atas timbangan atau ukuran yang sewajarnya.

Dalam erti kata yang lain apa yang dianggap betul dan benar adalah berdasarkan persepsi orang ramai yang menjayakan revolusi berkenaan. 

Maka apabila sesuatu revolusi itu bermula, Anda samada dikategorikan sebagai menyokong revolusi atau melawan revolusi berkenaan. Keadaan ketika itu menghalang perdebatan yang sihat berlaku. Kerana ketika itu sedang berlakunya fitnah. Tiba-tiba sahaja tidak ada orang yang boleh bersuara secara terbuka kecualilah orang itu dipancung atau diserang oleh penyokong-penyokong revolusi. 

Inilah yang telah berlaku di Perancis. Apabila berlakunya revolusi, sebahagian orang yang dulunya bersama terpaksa disingkirkan. Sehinggalah proses penyingkiran itu berlaku melibatkan pembunuhan orang-orang yang asalnya menyokong revolusi berkenaan. 

Itulah yang boleh berlaku apabila revolusi itu yang menjadi asas menentukan apa yang benar dan apa yang salah. Pada masa yang sama rakyat cenderung kepada mengikut sentimen kumpulan ramai. (Herd mentaliti).

Fitnah berlaku sehinggalah orang yang berilmu tidak boleh memberikan pandangannya. Kerana orang berilmu tersebut mungkin mempunyai satu pandangan berlainan. Ahli falsafah cina Confucious pernah menyatakan jika semua orang mengatakan sesuatu itu bagus, sebenarnya ia tidak. 

Dan dalam tradisi keilmuan Islam sentiasa terdapat kumpulan yang berlainan pandangan dengan pandangan yang majoriti. Ini kerana jika anda menindas pandangan minoriti yang khilaf dengan majoriti ia mungkin menutup pintu kepada pandangan alternatif yang sebenarnya sangat penting.

Ini kerana orang yang memegang prinsip tidak akan menggadaikan prinsip yang dipegangnya pada ketika orang ramai menyatakan pada ketika itu prinsip itu boleh dikompromi. Sudah tentu mengenalpasti betul atau tidak itu adalah bergantung kepada keadaan setiap sesuatu yang berlaku itu. 

Orang yang memberikan pandangan yang dianggap wajar adalah yang mempunyai asas kepada apa yang membentuk pandangannya itu. Itulah sebab kita menggunakan pendekatan ilmiah serta kaedah tertentu untuk mengenalpastinya. 

Dalam tradisi Islam kita mempunyai adab-adab dalam memberikan pandangan. Jika kaedah serta proses yang diambil bagi mengeluarkan pandangan adalah sah tetapi berakhir dengan berbagai pandangan yang berbeza, satu pandangan itu perlu menghormati pandangan yang lain. 

Jika pendalilan atau kaedah yang diambil adalah salah dan ia boleh ditunjukkan dengan jelas maka itu satu perkara yang berbeza. 

Maka itulah yang perlu diawasi sekiranya berlaku kecenderungan untuk "herd mentaliti" dimana orang akan mengkategorikan kebenaran mengikut label kumpulan dan tidak berdasarkan dalil-dalil yang dipegang bagi menunjukkan apa sebenarnya kebenaran itu.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...