Friday 11 May 2018

Apa Yang Bakal Berlaku

Gambar hiasan semata-mata
Saya teringat satu hari almarhum bekas Mufti Negeri Sembilan berkata kepada kariah di sebuah masjid lebih kurang seperti ini "Lepas aku mati nanti kau tengoklah apa yang berlaku". 

Pada ketika itu konteks percakapan beliau tidaklah positif. Tetapi sudah tentu manusia itu sebagai fitrahnya insan tidak mengetahui apa yang berlaku pada masa akan datang. Malah manusia itu bukan sahaja tidak tahu apa yang mendatang tetapi juga tidak mengetahui secara tepat apa yang sedang berlaku dan apa yang telah berlaku.

Apa yang boleh dilakukan oleh manusia adalah membuat jangkaan untuk masa hadapan. Dengan jangkaan inilah keluar yang dipanggil "projection". Ilmu yang berasaskan matematik dan corak sebab akibat yang pernah berlaku. Dengannya manusia dapat membuat ramalan berkenaan sesuatu pada masa akan datang. 

Itulah yang berlaku pada zaman ini, ada sesetengah akibat sesuatu peristiwa dapat diramalkan dengan tepat atau hampir tepat sebagaimana ada pihak dengan menggunakan kaedah tertentu meramalkan keputusan Pilihanraya Umum dalam negara baru-baru ini.
Manusia juga mengimpikan yang ideal. Oleh itu ada perbincangan samada sesuatu yang terlalu idealistik itu boleh dicapai atau tidak. Adakah melaksanakan sesuatu itu adalah semudah mengeluarkan kata-kata.

Seorang boleh berkata-kata mendakwa sesuatu boleh atau mudah dilaksanakan tetapi pada realitinya ia tidak dapat dilaksanakan. Jika itu berlaku, sudah tentu ada kekurangan dari segi "projection" itu tadi dan juga kemampuan dimiliki oleh seseorang itu.

Oleh yang demikian, tiada seorang pun boleh menjangkakan dengan tepat sebenarnya apa yang berlaku pada masa akan datang. Apa yang boleh dibuat adalah ikthiar serta usaha dan berdoa untuk sesuatu yang baik.

Bagi umat Islam, sudah tentu mempunyai tanggungjawab serta beban yang perlu dipikul. Sebagai umat yang beriman dan percaya bahawa di akhirat kelak manusia akan disoal mengenai nikmat yang dianugerahkan semasa di dunia. 

Sebagai umat Melayu di Malaysia, kita bakal ditanya bagaimana menjaga nikmat Islam sebagai nikmat paling besar. Adakah kita memilih untuk memartabatkan Islam atau pun memilih untuk meninggalkannya atau tidak meletakkannya pada suatu tempat yang sepatutnya.

Itulah yang sepatutnya menjadi keutamaan semasa melakukan pemilihan. Dan melakukan pilihan bukanlah semasa pilihanraya semata-mata. Dan berdasarkan yang diperkatakan tadi, adakah pilihan itu semakin sukar atau pun menjadi semakin mudah. 

Tetapi adakah semua pihak sedar akan kepentingan ini semasa membuat pilihan?

Betapa dengan mudah dan pantas sebahagian umat boleh memilih untuk meninggalkan nilai-nilai Islam dengan melakukan hasutan dan membalas dendam kepada sesiapa sahaja yang pada persepi mereka sebagai menghalang kepentingan mereka. Dengan alasan untuk memberikan pengajaran kepada kelompok tersebut?

Melaksanakan sesuatu yang idealistik itu bukanlah semudah menyebutnya dengan kata-kata. 

Apa-apa pun kita akan menerima akibat dari perbuatan kita, samada akibat itu baik atau pun buruk. Kita akan diminta untuk bertanggungjawab untuknya. 

Zaman ini, semuanya dirakam dan terakam oleh media sosial dan teknologi yang lain. Oleh itu mudahlah kita bermuhasabah jika ingin mempelajari pengajaran dari akibat perbuatan kita yang telah lepas. Semoga kita sebagai umat mempunyai hati yang ingin mempelajari dari apa yang telah berlaku. 

Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...