Tuesday 21 February 2017

Korea Utara Yang Tidak Faham


Mereka yang lari daripada Korea Utara menceritakan bagaimana kerajaan mereka mengenakan had kepada kebebasan hidup seharian. Mereka tidak boleh boleh memilih pakaian untuk dipakai seharian sesuka hati. Mereka tidak boleh bebas menyanyi lagu-lagu kecuali lagu tertentu yang diluluskan oleh kerajaan mereka. Sehinggakan style rambut pun perlu mengikut sebilangan gaya potongan rambut yang digazetkan dan dibenarkan untuk diikuti oleh umum. Dikatakan potongan rambut presiden mereka tidak termasuk di dalam gazet yang diluluskan dan presiden yang disayangi rakyat itu dikecualikan daripada peraturan potongan rambut ini. 

Maka di Korea Utara segala-galanya terbatas dan dikawal ketat oleh kerajaan. Pelancong pun, hatta pelancong Malaysia yang masih boleh masuk ke Korea Utara sehingga detik tulisan ini dibuat dikenakan beberapa larangan. Pelancong tidak boleh mengambil gambar sesuka hati walaupun di tempat awam. Walaubagaimanapun oleh kerana ada teknologi kamera seperti Go Pro dan sebagainya yang boleh disembunyikan, ramai pelancong yang dapat merakam suasana di negara itu secara senyap-senyap.


Sudah tentu rakyat yang dikawal dan dibataskan pergerakan dan pemikiran mereka seperti itu akan menjadi satu manusia yang terbatas kemampuan dan potensinya. Masyarakat dunia khususnya masyarakat barat sudah tentu memburuk-burukkan lagi Korea Utara yang berfahaman komunis dan anti demokratik. Korea Utara bukan sahaja komunis tetapi sangat anti kepada apa juga fahaman atau perbuatan yang mereka anggap sebagai kapitalism. Oleh itu rakyat mereka tidak dibenarkan membuat perniagaan sesuka hati dan perniagaan secara bebas tidak wujud. 

Korea Utara juga dilihat sangat mementingkan ketenteraan dan membelanjakan banyak wang kerajaan ke arah itu. Dilihat juga kerajaan Korea Utara sangat menumpukan kepada propaganda digabungkan dengan sekatan kepada media massa bagi mengawal kebebasan rakyatnya. 

Tetapi semua itu tidak ada kena mengena pun dengan Malaysia,  malah Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan Korea Utara sehinggalah berlakunya insiden pembunuhan abang tiri kepada Kim Jong Un, di KLIA 2 baru-baru ini yang mengejutkan satu dunia. Spekulasi menyatakan pihak yang membunuh Kim Jong Nam ialah pihak yang mendapat manfaat sekiranya dia dibunuh. Kim Jong Nam pula sebelumnya pernah diisytiharkan sebagai pewaris kepada ayahnya tetapi telah dibatalkan atas sebab-sebab tertentu. Kemudiannya diambil alih oleh adik tirinya Kim Jong Un. Sejak itu Kim Jong Nam hidup dalam pelarian dan dikhabarkan satu perintah telah dibuat oleh Kim Jong Un bagi membunuh abang tirinya itu dengan spekulasi menyebut dalam tahun 2012, satu percubaan membunuh beliau telah diadakan tetapi gagal. 

Malaysia bukan sahaja boleh diakses oleh Korea Selatan malah Korea Utara. Ini menyebabkan ianya menjadi satu risiko kepada Kim Jong Nam. Namun mungkin kerana yakin dengan penyamaran identiti dan juga telah masuk beberapa kali ke Malaysia, Kim Jong Nam merasakan yakin dengan keselamatan dirinya dan rasa selamat dan aman setiap kali masuk ke Malaysia. Walaupun risiko masih ada mungkin beliau merasakan tahap risiko itu kecil dan bukanlah signifikan. Yang akhirnya menyebabkan beliau dapat dikesan oleh pihak tertentu yang mempunyai kepentingan ke atas nyawanya. 

Sebagai transit antarabangsa, Malaysia melalui KLIA dan KLIA 2 boleh diakses oleh sesiapa sahaja yang secara legalnya boleh memasuki negara ini dengan mematuhi peraturan tertentu. Ini termasuklah sesiapa sahaja dari kalangan intelijen atau pun perisikan. Tidak hairanlah sekiranya berlambak-lambak perisik-perisik dari pelbagai negara keluar-masuk melalui KLIA dan KLIA 2 yang mereka mempunyai urusan masing-masing. Urusan perisikan tersebut mungkin sahaja melibatkan Malaysia atau pun negara-negara lain. Atau mungkin sahaja mereka menggunakan KLIA dan KLIA 2 sebagai transit semata-mata. 

Oleh itu, secara logiknya tidak munasabah sekiranya kerajaan menahan seseorang itu hanya disyaki sebagai perisik. Kerana untuk mengenal pasti seseorang itu sebagai perisik bukanlah mudah. Sekiranya dapat dikenali pun mungkin sahaja perisik berkenaan tidak mempunyai urusan dengan negara dan hanya transit atau pun berada di Malaysia untuk bercuti bersama keluarga dan urusan lain yang sah di sisi undang-undang. Pendek kata, tidak semua kerja mereka itu mencari musuh (hostile) kepada negara. 

Apa yang boleh menjadi hostile atau mencari permusuhan ialah perlakuan jenayah ataupun sebarang pelanggaran terhadap undang-undang negara. Dalam kes ini, pembunuhan seorang warga Korea Utara oleh sekumpulan yang disyaki berasal daripada Korea Utara adalah satu perlakuan jenayah dibuat di dalam negara iaitu Malaysia. Oleh demikian, negara mempunyai tanggungjawab melalui undang-undang yang termaktub untuk melakukan siasatan yang sewajarnya. 

Tindakan Korea Utara yang cuba masuk campur sehinggakan cuba menghalang autopsi dibuat adalah sangat mencurigakan. Adakah mereka mempunyai persepsi keperluan untuk autopsi itu boleh dikompromi dengan hanya memberikan permintaan secara verbal? Apabila mereka gagal, mereka meminta pula siasatan bersama diadakan bersama pihak Malaysia dan Korea Utara. Permintaan ini dibuat setelah mereka mendakwa tidak percaya dengan kredibiliti pihak Malaysia melakukan siasatan.

Sudah tentu perlakuan biadab seperti ini tidak boleh dianggap ringan oleh pihak kerajaan Malaysia. Keputusan menarik balik Duta Besar Malaysia ke Korea Utara adalah satu tindakan tegas yang menunjukkan Malaysia tidak berkomprosi dalam melaksanakan undang-undang di dalam negaranya dan bukanlah satu negara yang boleh diarah-arahkan oleh satu kuasa asing lain. Selain itu, Duta Korea Utara ke Malaysia yang mengeluarkan kenyataan itu dipanggil oleh Kementerian Luar bagi memberikan penjelasan.

Adakah Korea Utara berfikir dengan memiliki kekuatan senjata nuklear, negara itu boleh membuli negara lain yang tidak memiliki senjata nuklear? Tindakan Korea Utara mengeluarkan kenyataan seperti itu memandang remeh kepada perlaksanaan undang-undang oleh pihak berkuasa Malaysia dan tidak mempunyai rasa hormat terhadap Malaysia sendiri. Apatah lagi melibatkan satu pembunuhan adik tiri Kim Jong Un yang disyaki dilakukan oleh warga Korea Utara sendiri di dalam KLIA 2 yang menjadi tempat ikonik bagi perlancongan negara. 

Sudah wajib bagi Malaysia bertegas dalam urusan seperti ini. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...