Saturday 12 November 2016

TPM, Oxford dan Sheikh Ibnu Arabi

Sumber Youtube RTM
Aku pun terbacalah yang TPM, DS Dr Zahid Hamidi dah sampai di Universiti Oxford itu hari dan menyampaikan ucapan di situ. Full text ucapan beliau bolehlah dibaca di blog Panglima Perang Cyber di sini. Petikan berita oleh RTM 1 di sini. Teks berbahasa Melayu bolehlah dicapai di portal rasmi TPM sendiri iaitu di sini. 

Antara yang disentuh ialah konsep wasatiyah yang menjadi perjuangan umat Islam. Konsep wasatiyah ni sebenarnya bertentangan dengan ekstrimisme dan perlakuan melampau yang sebenarnya keluar dari ajaran Islam. Wasatiyah ni maksudnya pertengahan. Pertengahan di sini adalah dalam konteks keseimbangan. Kerana di tengah-tengah itulah keseimbangan antara dua neraca dicapai.

Berada di tengah-tengah inilah umat Islam menjadi check and balance kepada umat manusia yang lain. Kerana umat Islam yang menjalankan agama Islam yang benar dan diredai mempunyai takrif yang tepat apa itu baik dan apa itu buruk. Ketika umat manusia lain atau ugama lain berkompromi dengan perlakuan LGBT yang melibatkan hubungan songsang antara sesama jenis, umat Islam tegas dengan pendirian atas petunjuk wahyu Tuhan yang perbuatan gay dan lesbian itu adalah sesuatu yang mungkar dan sepatutnya ditegah. 

Umat Islam memilih ketepatan yang menepati fitrah. Bukanlah melarang gay dan lesbian itu yang melampau tetapi perbuatan gay dan lesbian itulah yang ekstrimis lagi melampau-lampau. Begitulah peranan check and balancenya umat Islam ini. Juga termasuklah rasuah itu pun Islam larang dan haramkan. Termasuklah juga perbuatan pengganas yang lahir daripada kumpulan-kumpulan palsu yang mendakwa membawa panji-panji hitam yang dinisbatkan dengan hadis Nabi akhir zaman.

Ok, cukuplah ulasan ringkas selepas membaca teks TPM itu. Sebenarnya aku nak menyentuh tentang Ibnu Arabi, seorang tokoh Islam yang super genius tetapi sangat kontroversial. Kenapa Sheikh ini kontroversial? Apa kena mengena tokoh ini dengan Oxford?

Apabila membaca sumber rujukan teks ucapan TPM ini aku dapati ada berunsurkan sumber kesufian. Yang paling ketara sekali adalah yang bersumberkan Hujjatul Islam Imam Ghazali. Seorang tokoh genius Islam yang juga seorang ahli sufi yang tak perlu diperkenalkan lagi. Ada juga beberapa sumber rujukan yang berkaitan dengan kesufian di dalam teks ucapan TPM itu.

Bila bab-bab sufi macam ini. Dibacakan pula di Oxford, aku teringatkan sesuatu. Mungkin akan ada pertanyaan apa kena mengena Oxford ini dengan ilmu kesufian.

Sebenarnya di Oxford terdapat satu society ataupun pertubuhan yang dinamakan Ibnu Arabi Society. Pertubuhan yang berdedikasi untuk mengkaji karya-karya Sheikh sufi ini dan mentafsirkannya serta mengambil manfaat daripada ajaran Sheikh Ibnu Arabi ini.

http://www.ibnarabisociety.org.
Bagi yang baru mengenali Sheikh ini, mungkin akan terkejut kerana pada suatu ketika ahli-ahli sufi sendiri melarang orang awam daripada membaca karya-karya tulisan Sheikh ini. Larangan ini bukanlah disebabkan tulisan itu tidak betul. Ini berlaku kerana ingin mengelakkan salah faham orang awam apabila membaca teks tulisan Sheikh besar ini.

Pada pandangan aku yang faqir ini, bolehlah faktor-faktor salah faham itu terjadi disimpulkan seperti di bawah.

1. Sheikh ini yang memang super genius dan bukanlah sembarangan minda yang boleh membaca karangan beliau di peringkat pemikiran beliau itu.

2. Ilmu bidang sufi yang diperbincangkan oleh Sheikh ini adalah terkait dengan istilah-istilah dan konteks bidang khusus yang perlu dikuasai terlebih dahulu.

3. Ianya berkaitan dengan mukasyafah atau pun pengamalan kerohanian yang diperolehi oleh Sheikh Ibnu Arabi dan diulasnya secara ilmiah pada peringkat pemikirannya yang super genius itu. Mungkin kita dapat menguasai nombor 1 dan 2 di atas tetapi adakah kita mendapat nombor 3 supaya kita setanding  untuk memahami dan dapat mengulas pula tulisan-tulisan beliau.

Sumber.
Usaha manusia dari kalangan orang Islam atau bukan Islam untuk menterjemahkan karya-karya Ibnu Arabi supaya manusia secara umumnya dapat mengambil manfaat dari syarahan beliau tentang kosmologi, alam dan hakikat kemanusiaan. 


Dakwaan dan tuduhan terhadap beliau

Kebanggaan mereka berjaya menjadikan umat Islam berfahaman literal
tanpa kefahaman dengan Lawrence of Arabia sehingga difilemkan.

Terdapat puak-puak literal yang dihasut oleh Lawrence of Arabia, yang sangat-sangat menentang ajaran ilmu Ibnu Arabi ini. Sebenarnya puak-puak literal ini tidak faham apa yang ditulis. Nama pun puak literal. Mereka ini menuduh Ibnu Arabi sebagai ahli falsafah yang sengaja mereka-reka cerita dan sengaja memutar belitkan ajaran agama Islam.

Itulah ironiknya.

Ketika Oxford sibuk mengkaji dan menggali khazanah ilmu warisan Islam, segelintir umat Islam yang berfahaman literal lagi eksterimis memaksakan ajaran Islam literal versi Sheikh mereka dan asyik membidaahkan umat Islam yang lain. Ketika aku membaca ulasan pengkaji-pengkaji daripada Oxford ini yang terdiri daripada orang Islam dan bukan Islam, tak ada pulak orang bukan Islam dari Ofxord ni yang menuduh Sheikh Ibnu Arabi itu ahli falsafah.

Sedangkan orang dari Oxford ni bukanlah calang-calang orangnya. Kalau bab falsafah ini sudah tentulah mereka lebih arif dan pakar kalau nak mengatakan itu falsafah dari pemikiran manusia atau sebaliknya.

Pengaruh dan kesan tulisan Sheikh Ibnu Arabi





Hakikatnya dari tulisan ulasan mereka mengenai karya Sheikh, mereka sendiri tertanya-tanya adakah alam kerohanian yang ditempuh oleh Sheikh Ibnu Arabi itu benar dan sekiranya benar bagaimana manusia sekarang hendak memasukinya. Begitulah kuatnya pengaruh tulisan Ibnu Arabi yang pengkaji bukan Islam dari Oxford sendiri merasakan perkara itu bukan falsafah malah sesuatu yang real.

Antara ulasan lain dari pengkaji non-muslim ialah dari segi bidang fizik. Seorang pakar fizik mengatakan beliau tidak dapat memandang ilmu bidang fizik seperti sebelum beliau membaca karya tulisan Sheikh sufi ini. Ini kerana karya tulisan Sheikh ada menyentuh aspek kosmologikal dan unsur-unsur alam dan insan. Apatah lagi ulasan Sheikh setelah mendapat pengalaman kerohanian yang tidak didapati oleh manusia umumnya.

Kesan kuatnya pengaruh tulisan beliau dengan izin Allah yang lain ialah ada kalangan pengkaji-pengkaji dari kalangan Kristian yang akhirnya akan mengatakan Muhammad SAW itu adalah prophet atau pun Nabi. Walaupun tidak jelas mereka ini sudah memeluk agama Islam secara rasmi atau tidak. Ini kerana sekiranya mereka menerima konsep-konsep yang ditulis oleh Sheikh Ibnu Arabi, maka mereka juga terpaksa dan "dipaksa" mengakui konsep-konsep yang hakiki itu datangnya dari Nabi Muhammad SAW.

Mungkin ruangan ini tak cukup untuk mengulas semuanya tentang Ibnu Arabi. Cuma aku nak mengulas sedikit sahaja mengingatkan Universitu Oxford ini. Anehlah cerdik pandai di Oxford mengkaji sedalam-dalamnya karya seorang umat Islam yang mana sebaliknya segelintir umat Islam menuduh orang itu penipu dan palsu. Kalau begitu bodoh sangatlah orang-orang di Oxford ini yang benda palsu dan tak ada nilai keilmuan pun dianggapnya ilmu.

Tapi hakikatnya kita kena terimalah. Orang bukan Islam mengkaji warisan ilmu Islam dan mengambil manfaat sehingga membangunkan tamadun. Setengah umat Islam pula sibuk dengan tafsiran literal selapisnya dan membidaahkan warisan-warisan ilmu Islam dari tokoh-tokoh Islam yang lain. Tak hairanlah sekiranya kita lihat kini umat Islam tertinggal jauh dari segi keilmuan. Sedangkan ilmu hakikat itu ada di dalam Al-Quran dan hadis-hadis yang diwarisi.

Daripada dua sumber ini lahirlah warisan ilmu Islam yang sebenarnya luas lagi mendalam. Malangnya ia diganggu gugat dengan pengkritik-pengkritik yang menuduhnya sebagai bidaah yang diada-adakan.


Kelemahan ilmu umat Islam masakini

Adakah kita memahami warisan peninggalan kajian ulama-ulama Islam terdahulu? Yang mana konsep "standing on the shoulder of giants" di amalkan oleh umat Islam? Antaranya ialah modul pelajaran yang kita ketahui sebagai ilmu Sifat 20.

Contohnya jika seorang itu dikatakan pakar ilmu hadis tetapi anti kepada ilmu sifat 20 misalnya, sudah tentu ia melambangkan kurangnya kefaqihan dari segi fahaman agama seseorang itu. Sekiranya dari segi ilimiah dan empirikal, orang yang mengkritik satu modul seperti sifat 20 atau 13 ini perlulah pertama sekali memahami apa yang dikritiknya itu. Jika dia gagal memahami apa yang dikritik itu maka apa yang menjadi kritikan itu sudah tentu tidak sah dan terbatal. Kegagalan itu melambangkan tahap cetek kefahaman pengkritik itu sendiri. Ini jelas apabila dia mengulas sesuatu dari modul itu ianya jelas salah dan terpesong.

Ajaran Islam dari hadis-hadis Nabi SAW meminta supaya orang yang hadir mendapat hadis menyampaikan kepada orang yang tidak hadir. Kerana orang yang tidak hadir itu mungkin lebih memahami. Dari segi lain pula, apabila seseorang itu dikehendaki Allah akan kebaikan, dia akan difaqihkan dalam memahami agama. Kefaqihan itu berkait dengan kefahaman. Bukannya pergantungan kepada teks tanpa kefahaman.

Jelas dengan memiliki tekstual sahaja tidak memadai sekiranya tiada kefahaman yang betul.

Apabila manusia secara umumnya telah mengambil langkah untuk mengkaji apa yang ditemui oleh Sheikh Ibn Arabi ini dalam perjalanan kerohaniannya dengan syarahan ilmiah yang memberikan manfaat, mungkinlah umat Islam perlu menilai semula sikap terhadap pengkajian ilmu seperti ini. Ini kerana umat Islamlah sebenarnya yang lebih memahami apa yang disampaikan oleh Sheikh yang sudah tentu beliau menyandarkan dapatan keilmuan itu atas asas Al-Quran dan juga hadis-hadis Nabi SAW.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...