Thursday, 19 March 2026

Awal, Akhir, Zahir & Batin : Untungnya Umat Melayu

Cuba tanya Mat Saleh yang berbahasa Inggeris tu, apa makna awal, akhir, zahir dan batin?

Kita akan mendapati jawapan yang berbeza-beza, khususnya apabila memberi makna zahir dan batin.

Ketika Chatgpt ditanya, ia memberikan makna zahir sebagai manifest/outward dan batin sebagai hidden/inward. Dilihat dua perkataan digunakan bagi memberikan makna kepada zahir dan batin.

Kalimah Awal, Akhir, Zahir dan Batin adalah daripada bahasa Arab yang juga merupakan bahasa Al-Quran. Bahasa wahyu. 

Konsep awal, akhir, zahir dan batin melibatkan fitrah manusia dan kosmologi. Untungnya umat Melayu Islam ialah memahami dan menggunapakai perkataan itu dengan lafaz asalnya tanpa perlu menggunapakai perkataan-perkataan yang lain seperti lahiran/luaran bagi zahir dan tersembunyi/dalaman bagi batin. 

Maka dengan satu lafaz perkataan ia boleh membawa pelbagai makna dan mendalam. Jika ia digunakan dalam bahasa lain mungkin tidak menzahirkan sepenuhnya makna yang mungkin ia bawa.

Kelebihan atau manfaat ilmu daripada kalimah Awal, Akhir, Zahir dan Batin

Fitrah diri dan alam

Kerana diri kita itu bermula dan berakhir. Dalam ingatan kita ini, kita mengetahui pada satu ketika dahulu kita tiada. Selepas kita lahir di dunia itulah hari lahir kita yang ternyata pada kad pengenalan. Sebelum tarikh itu kita tiada.

Apabila kita hidup dan mula memahami, kita melihat ada manusia lain yang meninggal dunia. Maka kita faham hidup kita ini bermula dan berakhir dengan kematian. 

Imam Ghazali menyatakan perkara paling pasti di dalam dunia ini adalah mati. Itu sudah pasti sedangkan yang lain seperti pekerjaan, makanan, keuntungan atau rugi belum pasti. Boleh jadi seseorang itu lahir sahaja dia mati beberapa saat kemudian.

Kemudian kita faham kita tidak mampu mengetahui apa yang di dalam hati orang lain. Kerana itu tersembunyi dalam batinnya. 

Tetapi kita berhukum atau menentukan keputusan berdasarkan apa yang terlahir daripada perbuatan manusia atau apa-apa bukti luaran daripada alam semesta.

Batin melahirkan zahir dan dengan itulah penzahiran makna-makna pada diri kita dan alam semesta.

Fitrah alam

Kerana alam itu bermula dan berakhir, ada yang tersembunyi dan ada yang dilahirkan pada tatapan manusia dan kehidupan yang mempunyai penglihatan.

Maka awal, akhir, zahir dan batin itu perlu difahami secara integrasi atau dalam erti lain setiap maknanya terkait dengan satu dan yang lain secara tidak berpisah-pisah.

Jika dilihat sesuatu itu bermula sudah tentu ada akhirnya. Jika ia bermula dan kita jangkakan ada akhirnya sudah tentu akan berlaku penzahiran dari sesuatu yang batin. Penzahiran makna.

Secara integrasi 

Empat itu difahami secara sepadu. 

Awal, Akhir, Zahir dan Batin + Integrasi (Kesepaduan)

Awal, Akhir, Zahir dan Batin + Tunggal/Kesatuan

Apa-apa yang menyatu dan sepadu itu menjadi kekuatan dan apa-apa yang berpisah-pisah itu punca kekurangan dan menjadi kelemahan.

Setiap sesuatu dalam alam semesta terkait awal, akhir, zahir dan batin.  Dengan konsep ini umat Islam membentuk tamadun. Umat Madani.

Bermula membina tamadun ini ialah dengan memandang kepada hukum sebab akibat. Sesuatu yang dimulakan itu akan ada kesannya iaitu pengakhirannya. 

Tamadun yang menzahirkan makna-makna. Makna yang menzahirkan kebenaran.

5 sifat 

Dengan memahami dan mendalami Awal, Akhir, Zahir dan Batin + Tunggal/Kesatuan, kita telah mendapat sedikit bahagian daripada makna yang lima di dalam Surah Al-Ikhlas. 

Ulama menyatakan Surah ini jika dibahas dan disyarahkan makna-maknanya sehingga dunia kiamat pun belum habis. Cuma perlulah kita memahami sekurang-kurangnya sesuatu yang menjadi asas pedoman kita sebagai khalifah di muka bumi Allah ini. 

Kalau ada makcik yang cakap bukan awal, akhir, zahir dan batin tetapi awal, akhir, batin dan zahir

Ketahuilah, dia bercakap tu mungkin sebab dengar lirik lagu Jamal Abdillah, Kekasih Awal dan Akhir. Tidaklah salah dari konteks ilmu. Ada perspektifnya.

Cuma bagilah tau susunan awal, akhir, zahir dan batin, adalah asal secara literal susunannya yang digunakan di dalam ayat Al-Quran iaitu Surah Al-Hadid (57:3).

Alhamdulillah. Wallahua'lam


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...